Sunday, April 12, 2009

Annuar, FAM dan Kelate

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa, kini menjadi tumpuan dalam kapasitinya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). Baca temuramah Mingguan Malaysia dengan beliau di sini. Annuar sempat perli FAM nampaknya.

Cadangan aku:

1. FAM boleh tubuhkan jawatankuasa bebas menyiasat apa sebenarnya berlaku pada malam itu. Jawatankuasa ini boleh dianggotai media, pegawai MSN atau MOM dan anggota berseragam. Pengerusinya? Siapa lagi kalau tidak Datuk Dell Akbar Khan, bekas setiausaha agung FAM yang kini satu-satunya ahli jawatankuasa Stadium dan Keselamatan FIFA dari Asia selain pengerusinya, Junji Ogura. Dell juga bekas pemain dan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur. Jawatankuasa ini diberi mandat menemu bual pemain, pegawai, kelab penyokong dan orang ramai. Jawatankuasa ini harus menyiasat apa yang berlaku di Kota Bharu dan memberi cadangan kepada jawatankuasa disiplin atau sekretariat FAM.

2. FAM wujudkan satu jawatan baru - warden keselamatan sama ada secara sambilan atau sepenuh masa untuk memantau dan menyelaraskan tugas-tugas keselamatan di setiap stadium. Ataupun setiap persatuan harus melantik warden keselamatan untuk menyelaras fungsi setiap pihak.

3. Pastikan mesyuarat menjelang perlawanan dihadiri anggota keselamatan.

4. Pihak Polis menambah anggota preman di sudut-sudut tertentu yang dikenal pasti "hangat" kerana samseng-samseng bola sepak lazimnya beroperasi dari tempat yang sama.

5. FAM, persatuan negeri dan polis serta Rela bekerjasama sepenuh hati. Kita akur acara-acara sukan bukan keutamaan bagi Polis, jadi FAM dan persatuan bola sepak harus menggunakan khidmat Rela dan pasukan keselamatan sendiri.

6. Penguatkuasaan lebih ketat di pintu masuk setiap stadium agar mercun, botol dan barangan lain yang boleh dijadikan senjata tidak dibawa masuk.

7. Kerjasama pihak stadium dan pengusaha kantin atau tempat makan agar tidak menjual air mineral dalam stadium pada hari perlawanan.

Keputusan FAM melarang sebarang perlawanan diadakan di Stadium Muhammad IV wajar namun tempohnya agak melampau. Bagi aku lebih sesuai dikenakan hukuman selama dua bulan ataupun bermain tanpa penonton.

Bola sepak satu-satunya hiburan berbentuk pesta bagi warga Kelantan. Pasukannya pula kini menonjol. Stadium dipenuhi kapasiti 15,000, maka rugi jika Kelantan dihukum semata-mata akibat perbuatan segelintir kelompok yang tidak dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan.

Bola sepak kita merudum. Jumlah penonton berkurangan. Di Kelantan meningkat pula. Takkan kita nak bunuh semangat mereka?

Pernah pergi ke Stadium Senayan? Fuh, hebat, meremang bulu roma. Kali terakhir aku ke sana pada Disember 2004. Ketika Tsunami melanda Acheh, aku di Jakarta pasal buat liputan Piala AFF. Jangan terkejut kalau dilempar botol berisi air kencing. Di Hanoi, juga sentiasa penuh! Komitmen petugas keselamatan cukup padu.

Ggohok dok bbaloh nih, nyaknyo oghe Kelate

9 comments:

Bekas RELA said...

Bro,
Ini ulasan aku tang cadangan you:-

1. Jawatankuasa Bebas
Boleh ditubuhkan tapi mahu ke FAM dengar apa yang diputuskan oleh jawatankuasa tersebut?

2 WArden Keselamatan:-
Ni memang wujud. Tiap-tiap team memang diwajibkan ada pegawai keselamatan. TApi fungsinya tak tau la sama ada menyelaras aspek-aspek keselamatan atau pun hanya setakat hisap rokok kat luar stadium.

3. Ini memang disyaratkan dan dipercayai semua IPD menghantar wakil pada mesyuarat tersebut

4. Setiap perlawanan, pihak polis dibekalkan dengan 100 tiket complementry. Tetapi kemudahan ini ada yang disalahgunakan. Sepatutnya dikhaskan untuk mata-mata gelap yang bertugas tetapi digunakan oleh anggota yang bukan dalam tugas yang datang bersama ahli keluarga

5 Bro, Polis tetap bertanggungjawab tentang ketenteraman awam dan keselamatan rakyat tidak kira dalam apa jua aktiviti pun. Kuasa rela terbatas dan tiada kuasa untuk membuat tangkapan. Kalau Rela saja yang bertugas, lebih parah nanti

6 Ada dilakukan tapi tak sempat nak check puluhan ribu penyokong. Dah tau nak tengok bola, buat apa la nak bawak semua menatang tu....

7. Peraturan FAM memang ada. Tapi tidak digunapakai. Lebih teruk, ada team yang bagi botol minuman kat penonton sebagai tanda penghargaan...

Anonymous said...

CARA Annuar Muasa buat ugutan nak tarik diri pun dah jadi kesalahan. Ada peruntukan yang tidak membenarkan mana-mana pegawai atau pasukan daripada melakukan ugutan seumpama itu.

Tok Selampit said...

FAM ni mula2 gantung, kemdian lepas. Kes bagi walkover pada KL Plus pun sama...

Sikit Hari lagi Stadium Kota Bharu pun boleh pakai. Ini peraturan ala FAM.

Kredibiliti JK Disiplin dan JK Pertandingan dah down. Che Mat Jusoh dan Kamaruddin Abdullah dan ahli-ahlinya patut letak jawatan....

Anonymous said...

Setuju dengan Bekas Rela, Anuar Musa kekadang mcm bebudak atau setaraf dgn Halim Napi. Dia saja nak test FAM, & kalau aku jadi pegawai besar kat FAM aku cakap oklah sila tarik diri kita akan jalankan liga dgn team yang berminat je..Dah tau penyokong kat Kelantan perangai cam2 apasal tak ambik langkah lebih ketat bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan. Nuar Musa tak perlu bangkitkan semangat amarah macam zaman Awang Mahyan/Arwah Datuk Taha masa Sarawak kalah dengan KL dulu. Cukup la kes macam tu mewarnai bola Malaya ni. Nuar kena pro sikit la serta bersikap waras & lagipun dia ada budak Fendi Hamzah Naib Presiden KAFA & FAM yg gua rasa boleh jadi mediator / orang tengah dgn kes2 mcm ni. Tapi bila tengok kat Wisel Penamat cara Fendi jawab macam takut2 je. Serba salah sapa yang nak dibelasah. FAM ke KAFA. Kelantan ada potensi beb nak sentap ego Kedah atau Kelantan, so tindakan menggugurkan 'COW BOY' memang tepat. Concentrate la main bola weh..

Tok Siak said...

FAM memang suka buat cerita gempaq. Nak cari publisiti ekoran mutu bolasepak kita jatuh tersembam.

Mula-mula gantung reduan, lepas tu kurangkan hukuman...

Kes MBJB. Mula-mula kata semua keputusan bagi team yang dah main kekal dan yang belum main dgn MBJB akan diberi kemenangan 3-0. Tup-tup lepas tu tukar keputusan...

Kes Kelantan lwn KL Plus. Mula-mula kira Kelantan kalah 0-3, lepas tu dah suruh main semula pulak. Apa cerita ni?

Kita tengoklah apa akan jadi kes penggantungan Stadium Sultan Muhammed Ke-IY ni. Pada firasat saya, ianya akan ditarik balik macam kes-kes lain.

Kes Annuar Musa, mula-mula kata nak dakwa. Skrg kata, tengok la macam mana nanti...

YANG saya heran, tidak kah FAM boleh berfikir dua kali sebelum membuat apa-apa keputusan?

Fikirkanlah apa implikasinya jika sesuatu keputusan itu dibuat. Jangan bila orang bising, baru nak ubah semula apa yg dah diputuskan. Nampak sangat FAM ni lembek macam orang mati pucuk...


Tok Siak
Jeniang, Kedah

Anonymous said...

FAM PERLU AMBIL TINDAKAN KE ATAS ORANG INI KERANA BUAT KENYATAAN AKHBAR TANPA KEBENARAN FAM DAN JGN DOUBLES STANDARD:-


"Menurut Koordinasi Perlawanan dan Penilai Pengadil FAM, Mohd. Jamil Zakaria, masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana penyediaan anggota perubatan dan kecemasan adalah sebahagian daripada prosedur perlawanan.

Menurut Mohd. Jamil, berdasarkan peraturan FAM, pasukan tuan rumah bertanggungjawab untuk menyediakan pasukan pembantu perubatan dan pengusung dalam setiap perlawanan.

"Pada perlawanan semalam, pasukan tuan rumah gagal menyediakan pasukan JPA3 serta pengusung dan mengikut peraturan, mereka perlu menyediakan pasu- kan tersebut sejam lebih awal sebelum sepak mula.

"Ia bukan isu remeh (ketiadaan pasukan perubatan) dan perlawanan tidak boleh dimulakan tanpa mereka yang mempunyai peranan membantu pemain sekiranya mendapat kecederaan atau berlaku sebarang kecelakaan ketika perlawanan," ujarnya.

Anonymous said...

MAt Zan juga dah diberi surat tunjuk sebab. FAM mengamalkan dasar tutup pintu kepada media!!

Lan Kacang said...

Jangan risau MAt Zan dan Zakaria Ab. Rahim, Pengurus Selangor kerana FAM tidak akan berani mengambil tindakan terhadap anda berdua.

Surut tunjuk sebab tu saja buat gempaq je tu.

Alasan saya mudah, jika anda berdua diambil tindakan, BERANI ke FAM nak gantung Annuar Musa?


-Lan Kacang-

Anonymous said...

SEMUA yang diputuskan oleh Che MAt Jusoh dan Kamaruddin Abdullah suma tak boleh pakai... suma akan diubah balik oleh Jawatankuasa yang lebih tinggi.

Mat Jusoh dan Kamaruddin elok letak jawatan saja. Keputusan anda berdua tidak tepat!!!