Kasihan Datuk K. Rajagobal.
Habis reputasinya sebagai jurulatih pertama negara yang membawa Malaysia menjulang Piala AFF pada 2011 selain menamatkan penantian 20 tahun untuk memenangi emas di Sukan SEA pada 2009, hancur lebur gara-gara kekalahan kepada Canberra All-Stars.
Dalam sejarah penyertaan Malaysia dalam Sukan SEAP dan Sukan SEA, hanya ada enam jurulatih yang membawa pasukan negara mengutip pingat emas - Choo seng Quee (1961), Karl Weigang (1977), Mohamad Bakar (1979), Trevor Hartley (1989), Rajagobal (2009) dan Ong Kim Swee (2011).
Rajagobal juga jurulatih pertama bawa kita julang Piala AFF. Itulah yang dibangga-banggakan Rajagobal.
Usahanya selama ini diiktiraf bukan saja dari segi kenaikan gaji, bahkan dianugerah gelaran Datuk. Ke mana saja dia pergi, dia ditegur, dipuji, diangkat, dijulang...
Tapi itu dulu...sekejap saja roda hidup berputar.
Kini Rajagobal diasak kiri dan kanan...
Tajuk akhbar pula seolah-olah Rajagobal tidak pernah berjasa menyemarakkan semula kepercayaan peminat terhadap pasukan kebangsaan.
Berita Harian hari ini melaporkan
RAJA TAK MALU!
Kuala Lumpur: Seolah-olah tiada langsung perasaan malu, jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bertegas untuk enggan melayan sebarang kritikan dilemparkan terhadap skuad kendaliannya selepas tewas 2-3 kepada kelab pemain sambilan, Canberra FC di Canberra, Australia, Khamis lalu.
BH Sukan semalam melaporkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan betapa dia malu dengan kekalahan skuad Harimau Malaya itu dan berkata: “Saya tak tahu mana hendak letak muka kalau saya Rajagobal.”
Saya tidak mahu fokus atau nak ikut apa-apa laporan daripada surat khabar dan sebagainya. Fokus saya hanyalah untuk pasukan dan persediaan menghadapi perlawanan kedua serta ketiga," Datuk K Rajagobal, jurulatih kebangsaan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut berkongsi pautan laporan berita itu di laman Facebook rasmi miliknya, semalam dengan meminta pandangan rakan laman sosialnya itu dan menariknya lebih 200 individu tampil meletakkan komen masing-masing setakat petang semalam.
Fokus pasukan Namun menerusi laporan berita di sebuah stesen televisyen semalam, Rajagobal yang ditemubual di Sydney berkata, dia hanya mahu fokus terhadap baki dua perlawanan persahabatan menentang Sydney Olympic, esok dan Marconi Stallions, Khamis ini.
“Saya tidak mahu fokus atau nak ikut apa-apa laporan daripada surat khabar dan sebagainya. Fokus saya hanyalah untuk pasukan dan persediaan menghadapi perlawanan kedua serta ketiga. “Saya tidak mahu memberi apa-apa komen kerana kita tahu apa yang terbaik untuk pasukan kita dan persediaan yang perlu dilakukan,” kata Rajagobal.
Pengendali berusia 57 tahun itu kini tampak tertekan untuk kembali meraih kemenangan berdepan Sydney Olympic, esok bagi mengembalikan semula keyakinan umum terhadap prestasi semasa skuad Harimau Malaya.
“Saya akan turunkan pemain yang difikirkan cukup cergas. Saya akan lihat dahulu sebelum memikirkan siapa yang perlu saya turunkan (esok). Kalau boleh, saya nak turunkan pemain yang dirasakan sesuai untuk menghadapi Sydney Olympic ini,” tambah Rajagobal.
Apabila aku ditemu bual oleh Nadi Arena, aku mengajukan soalan apakah sebenarnya tujuan ke Australia...
Adakah untuk menjalin persefahaman pemain atau mencuba gandingan baru, atau mode pra-pertandingan dan conditioning?
Khabarnya Rajagobal mahu pemainnya berehat daripada kerancakan Liga Super dengan jadual yang padat sambil menyiapkan pemain dari segi physical conditioning (bentuk latihan fizikal khas bagi otot-otot tubuh). Disebabkan sukar mencari perlawanan persahabatan bertaraf A, ambillah mana-mana pasukan yang boleh membantu pemain dari segi persiapan fizikal.
Baca Canberra FC to call on top players, juga laporan perlawanan atau match report serta reviu Canberra Times.
Pada aku wajar jika kita jatuh hukum dalam perlawanan rasmi. Jadi kita tunggu Harimau Malaya melengkapkan jadual pra-Piala Asia.
Sekarang Rajagobal juga harus sedar rakyat Malaysia mudah lupa...
Tidak kira sama ada mereka orang besar kerajaan, pentadbir sukan, wartawan, politikus mahupun Menteri...kalau dulu mereka puji, sekarang mereka selar.
Dalam hidup ini, jangan sesekali sombong dan lupa asal-usul. Kejayaan yang datang selepas bergelut lebih dua dekad boleh dipadam terus dalam sekelip mata.
Dalam analisis akhir, hari-hari terakhir Rajagobal selaku jurulatih kebangsaan semakin hampir.
Pintu untuk Rajagobal melangkah keluar dari Wisma FAM sudah terbuka luas. Tidak kira sama ada Malaysia menewaskan Bahrain Oktober nanti dan Qatar November nanti.
Apabila Harimau Malaya melayan kunjungan Yaman Mac 2014, pengendalinya hampir pasti orang lain. Jurulatih asing.












