Monday, January 14, 2019

Bossku Mohd Zian Johari - sifu, mahaguru dan mentor


Aku teruja sungguh apabila terserempak dengan bek kiri Kuala Lumpur, Nazim Din, sedang berbekam di sekitar Chow Kit. Sebagai peminat bola sepak, aku kenal dia, walaupun duduk dalam keadaan terang-terang malam.

Berborak ringkas dengannya, aku tahu aku sudah dapat story. Berita sembilan perenggan yang bertajuk Nazim jalani rawatan tradisional tersiar dalam Berita Harian edisi 13 September, 1991. Ketika itu kami pelatih Skim Latihan Pra-Kewartawanan NSTP yang ditugaskan mencari bahan berita sekitar Kuala Lumpur sebagai latihan amali.

Bagaimana berita itu tersiar membawa aku kepada pertemuan sulungku dengan Allahyarham Mohd Zian Johari.

Balai Berita ketika itu sudah ada dua bangunan - bangunan lama dan baharu. Harian Metro sudahpun berpindah ke tingkat empat bangunan baharu, manakala meja sukan Berita Harian masih bergelumang dalam asap rokok dan stres di bangunan lama.

Selepas menyimpan berita dalam disket atau floppy disk berukuran 5 setengah inci, aku diarahkan oleh Nashruladin Abdul Rahman, ketua pengarang berita BH yang juga pensyarah kami, untuk berjumpa dengan Zian.

Aku sekadar dengar-dengar namanya sebagai bekas wartawan yang menjawat tugas pengarang sukan BH. Namanya yang unik, mesti orangnya unik, detik hatiku. Tapi aku tidak tahu rupanya bagaimana. Dengan tersipu-sipu, aku terpaksa tanya geng-geng di meja sukan yang mana satu Zian.

"Encik Zian, Haji Nash minta saya bagi story ni kepada Encik Zian," kata aku kepadanya.

"Story apa?"

"Story Nazim Din berbekam."

Dia senyum, lalu memanggil Norbakti Alias untuk memindahkan story aku ke dalam sistem. Itu juga detik pertemuan sulung aku dengan Bakti yang akhirnya menjadi pengarang sukan BH.

Pertemuan ringkas itu tidak terlalu signifikan. Yang lebih penting adalah usaha aku melobi untuk menyertai meja sukan sekalipun memulakan tugasan sebagai wartawan secara rasmi pada 1 Disember 1991 bersama meja am (berita) BH, Dua rakan sepelatih - Mohd Saufi Hamzah dan Munir Ana'am Zuljadan - beruntung dikirim ke meja sukan - unit yang aku impi-impikan.


Haji Bakti, Zian, aku dan Fariq Rahman bergambar kenangan sempena kenduri di rumahku pada 2 Disember, 2017.