Sunday, April 5, 2020

Selamat Jalan Tokcik - legenda dunia penyiaran dan arena sukan


INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROJIUN.

Semoga Allah SWT mengampuni dan merahmati roh Allahyarham Tuan Haji Amran Hamid, serta meringankan musibah keluarganya.

Pemergian Allahyarham Tuan Haji Amran, pada usia menghampiri 80 tahun tanggal 4 April 2020, meninggalkan kesan buat diriku.

Maklumlah, aku bersama Hafizal Hamad menikmati minum petang, dengan dijamu jus mangga buatan Aunty Jun pada Jun 2012, selain bertukar pendapat untuk beberapa tahun dari 2011 hingga 2017.

Kami berdua terpanggil menziarah Allahyarham, yang menggelar dirinya Tokcik, untuk serba sedikit mengutip ilmu dunia penyiaran daripada beliau.

Sebelum itu, aku berkomunikasi dengan Tokcik menerusi blognya dan juga ulasan-ulasan menerusi Facebook. Aku menghubunginya menerusi mesej dalam FB, memperkenalkan diri sebagai bekas wartawan The Malay Mail.





Lama sebelum itu, aku hanya wartawan cabuk, budak hingusan yang mengundi dalam mesyuarat Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) ketika Tokcik antara pucuk pimpinan.


Pertemuan kami pada hari itu pertengahan 2012 di kediamannya di Subang Jaya diiringi tekad untuk membuat ziarah susulan ke atas Tokcik pada bulan-bulan mendatang.



Topik yang kami bincang berkisar sekitar peranan kami selaku penyiar di Astro Arena.

Tidak lama kemudian, aku menerima jemputan perkahwinan anak Tokcik, tetapi agak malang pada hari itu, ditakdirkan kami tidak sempat bersua muka - beliau dimasukkan ke dalam hospital.

Kali terakhir aku berkesempatan beramah mesra seketika dengan Tokcik pada 2017 pada majlis perkahwinan anak Kadri Taib.



Generasi hari ini barangkali sedikit kerugian tidak mengenali Amran. Tahukah anda Allahyarham antara individu yang menyumbang kepada satu rekod dunia – RTM menjadi penyiar pertama menyiarkan kesemua 52 perlawanan Piala Dunia FIFA Mexico 1986?

“Jika ada pertindihan jadual, satu perlawanan disiarkan secara langsung, satu lagi disiarkan secara tertunda.

“Ketika itu rakyat dari negara jiran akan berduyun-duyun ke sempadan untuk menyaksikan perlawanan yang kami siarkan secara langsung,” kata Amran dalam satu temu bual dengan Daniel Chan, wartawan The Malay Mail, yang disiarkan pada 2002 sempena mengenang sumbangan RTM yang bergabung dengan akhbar itu untuk menyiarkan Piala Dunia 1982 atas tajaan rakyat.

Waktu itu Tokcik ketua unit sukan TV RTM yang baru diwujudkan atas inisiatif beliau. Tokcik seterusnya menyelia penyelarasan siaran Piala Dunia FIFA untuk edisi 1986, 1990 dan 1994.

Tokcik memulakan kerjayanya di Radio Malaysia pada 1963 dan membuat liputan pertama menerusi corong radio untuk final Piala HMS Malaya pada 1964.

Senarai liputan yang dilakukan Tokcik, yang juga rakan sekelas Datuk Rahim Razali, cukup mengagumkan. Anak jati Ipoh itu yang meminati hoki, kriket, ragbi dan bola sepak, membuat liputan luar negara antaranya:

Hoki Piala Dunia di Belanda 1973

Sukan Komanwel Christchurch 1974

Sukan Asia Teheran 1974

Sukan Olimpik Montreal 1976

Piala Dunia FIFA di Argentina 1978

Argentina meninggalkan kenangan manis buat Tokcik.

“Saya pengulas Bahasa Melayu pertama membuat ulasan secara langsung final 1978 dari Buenos Aires. Waktu itu RTM hanya menyiarkan perlawanan pembukaan, dua perlawanan separuh akhir dan final.”

Di sebalik tabir, Tokcik mendedahkan bahawa perbincangan beliau dengan Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Buenos Aires membawa kepada format Piala Malaysia diubah berdasarkan liga sepusingan.

Sebelum itu, saingan Piala HMS Malaya, Piala Malaya dan Piala Malaysia semuanya dianjur mengikut format penyingkiran di peringkat zon.

Pada 1967 FAM memperkenalkan tiga zon, Utara, Selatan dan Pantai Timur, tetapi enam tahun kemudian, saingan Piala Malaysia dibahagikan kepada dua zon sahaja - Zon Utara yang menampilkan Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Angkatan Tentera dan Zon Selatan, ditandingi Melaka, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor.

Selaku dua gergasi dan pasukan pilihan, Selangor dan Singapura dipisahkan berpandukan mesyuarat jawatankuasa FAM setiap tahun.

Pada 1977, Piala Borneo secara rasminya dijadikan sebagai zon ketiga, membuka ruang kepada juara zon itu, Sabah, untuk menyertai Piala Malaysia untuk kali pertama pada 1978.

Musim sulung liga sepusingan diadakan dengan separuh akhir secara timbal balik. Edisi 1979 turut ditandingi Sarawak dan Brunei buat julung kali. Akhirnya edisi 1982 diiktiraf sebagai liga sulung secara rasmi yang dimenangi oleh Pulau Pinang.

“Beberapa dekad pasukan seperti Perlis, Kedah dan Johor tidak bertemu dalam Piala Malaysia , maka itu sebuah liga sepusingan menarik minat ramai kerana ia membabitkan pasukan dari seluruh pelosok negara,” kata Tokcik kepadaku.

Seperti yang Tokcik kongsikan dalam catatan blognya, kali pertama beliau diajak menonton perlawanan bola sepak Piala Malaya pada 1959 oleh Rahim yang bekerja sementara di Radio Malaya.

Empat tahun kemudian, Tokcik menyertai Radio Malaysia.

Apabila aku mencadangkan agar Anugerah SAM untuk kategori wartawan dinamakan sempena nama presiden pertama SAM, Norman Siebel, Tokcik meninggalkan ulasan di ruangan komen Facebookku.



Tokcik mengingatkan aku bahawa beliau bersama Allahyarham Zainuddin Bendahara antara yang menghidupkan semula SAM selepas lama tidak aktif.



Jasa Tokcik dalam dunia penyiaran dan arena sukan tidak tersenarai panjangnya.

Disebabkan peranannya yang menjadi bos atau penyelia di mana sahaja beliau pergi, sama ada di Pulau Pinang, Suara Malaysia, Ketua Perhubungan Awam RTM dan Pengarah TV, Tokcik mengenal pasti bakat untuk diasah menjadi penyiar.

Dari Pulau Pinang, muncul Jahaya Mahmud, di Johor ada Taroni Khalid, di Kuantan Hasbullah Awang, manakala Kelantan terkenal dengan Hussin Ibrahim dan Rahim Mohammad. Pembaca berita terkemuka, Allahyarham Datuk Hashim Embi turut mendapat asuhan Tokcik di Pulau Pinang.

Benarlah Tokcik berkongsi ilmu demi manfaat orang lain.

Sebab itu tindakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menamakan Tokcik dalam Dewan Kemasyhuran MOM selaku ikon media adalah sesuatu yang wajar.

Dalam dunia digital yang hanya mengenali social media influencers dan watak-watak yang lebih dahagakan glamour daripada wibawa, nama Tokcik tenggelam dalam lipatan sejarah.

Namun bagi generasi pra-digital di saat radio menjadi wadah penghibur dan dua saluran RTM, iaitu TV1 dan TV2 sebagai medan penyalur maklumat sahih, Tokcik antara golongan pengamal media yang tiada tolok bandingnya. Al-Fatihah.