Moustapha Abdel Ghaly (kiri) bersama Loose Cannon
Artikel berikut adalah nukilan Loose Cannon yang disiarkan dalam kolum Garis Tepi akhbar Kosmo! hari ini. Boleh juga klik di sini
Artikel berikut adalah nukilan Loose Cannon yang disiarkan dalam kolum Garis Tepi akhbar Kosmo! hari ini. Boleh juga klik di sini
Ambil iktibar pengorbanan pemain Palestin
TANGGAL 11 Mac 2001 tidak banyak membawa makna kepada kebanyakan kita.
Namun masih segar dalam ingatan penulis bagaimana pasukan bola sepak kebangsaan bimbingan bekas pengurus Espanyol, Allan Harris diselubungi campuran rasa bersalah, gelisah dan sedih akibat satu kekalahan yang sukar ditelan.
Kekalahan bukan satu fenomena baru buat pasukan kita. Yang memeranjatkan wartawan membuat liputan Kejohanan Pra-Piala Dunia di Hong Kong ketika itu ialah kemenangan 1-0 berpihak kepada Palestin.
Aneh bukan, bagaimana barisan yang dibentuk di kalangan pemain dalam liga bergelar profesional tersungkur di tangan pasukan yang tidak pernah beraksi di tanah air mereka sendiri.
Bagi berlaku adil, penulis mengakui Malaysia menguasai permainan di Stadium Hong Kong itu.
Bobby Pian pula mencipta sejarah tersendiri, menjadi anak Sarawak dan kaum Kelabit pertama dianugerah lilitan kapten di lengan.
Namun apabila Bobby tewas dalam pergelutan dengan Mohammed Aljeesh yang kemudian melambungkan bola dari jarak 25 meter yang singgah di palang sebelum menggegar jaring Mazlan Wahid, ia membawa pelbagai tafsiran.
Ia adalah kemenangan sulung buat pasukan Palestin dalam Pra-Piala Dunia, apatah lagi misi sulung mereka dalam pertandingan anjuran FIFA sejak diiktiraf pada 1998.
Wajah Harris merah padam cuba merungkai di mana silapnya, apatah lagi beberapa hari terdahulu dua jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli menundukkan Hong Kong di gelanggang mereka sendiri.
Jurulatih Palestin, Moustapha Abdel Ghaly menyimpulkannya sebagai kesudahan daripada semangat dan daya juang anak didiknya yang luar biasa.
Penulis sempat berbual di kamar hotelnya membincangkan bagaimana beliau membina pasukan di sebalik konflik yang tiada noktahnya.
"Seorang daripada pemain tengah kami Tareq Al-Quto terbunuh dalam satu pertempuran ketika Intifada kedua pada 2000," kata Moustapha yang berasal dari Mesir.
"Tidak mudah mengumpul pemain yang terpaksa beraksi sambil menyedari bahawa ada di kalangan keluarga mereka yang terpaksa bermalam di khemah pelarian dan ada pula yang terbunuh."
Kapten Palestin, Saeb Jendeya, pemain pertahanan bertubuh tegap dan bermisai tebal umpama Tom Selleck, mengenang saat semua kegiatan bola sepak terhenti ketika Intifada yang pertama pada 1987.
"Saya berhenti belajar pada berusia 12 tahun dan sebaliknya menyertai rakan-rakan membaling batu ke arah tentera Zionis. Takkan saya hendak duduk diam ketika penduduk lain dibunuh."
Berbanding pemain tempatan yang rata-rata harus bersyukur mendapat punca rezeki daripada industri bola sepak tempatan, pemain Palestin menjadikan bola sepak sebagai satu bentuk escapism dan 'political statement'.
Lapan tahun berlalu dan nampaknya nasib pasukan Palestin terumbang-ambing.
Pemain negara khasnya dan atlet tempatan amnya harus mengambil iktibar daripada perjuangan atlet Palestin dan bagaimana mereka masih sanggup memberi komitmen 100 peratus biarpun dijajah, dihalau dan diseksa di halaman sendiri.
Kesusahan ini menjadikan mereka berdepan realiti berbeza lantas membuatkan mereka lebih bersemangat dan kuat dari segi mental.
Bercakap mengenai semangat, penulis mengucapkan tahniah kepada RTM kerana menyiarkan segmen Nostalgia dalam rancangan Sekilas Liga Malaysia.
Penulis berharap generasi masa kini, sama ada pemain, jurulatih dan penyokong tempatan meninjau bagaimana antara lain Soh Chin Aun membuat bentesan kemas bagi menafikan bintang Brazil, Tostao di samping tindakan-tindakan penyudah bintang-bintang terdahulu.
Alangkah lebih baik jika RTM berusaha menayang semula gol-gol dari era 2000 hingga 2008 sebagai usaha menaikkan semangat pemain dan penyokong menjelang pertemuan dengan Emiriyah Arab Bersatu dalam pra-Piala Asia Rabu ini.
5 comments:
bro,ada segmen "nostalgia" dalam sekilass liga@hilite liga malaysia setiap khamis pukul 7 pm. minggu lepas dah tunjuk malaysia lawan cruzeiro sebelum tu lawan arsenal...tapi tak panjang la, lebih kurang seminit..cukup untuk generasi sekarang ni hayati semua tu...thanks to rtm for the old skool visual. hope to see more after this.
Siapa sebelah the Palestinian guy tu? Loose Rifle kut...(sebelum dia jadi Cannon)
Apa lagi yang dimahukan oleh ahli sukan & atlet kita?
Apa yang dipaparkan kini oleh media kita adalah rintihan dan keluhan para atlet & ahli sukan.Jarang saya melihat kisah pengorbanan dan penghargaan oleh atlet & ahli sukan terhadap insan-insan yang membuka peluang kepada pencapaian mereka.Mungkin mereka ini sudah hilang ingatan terhadap latarbelakang kehidupan mereka yang sebelum ini kurang popular.
Apabila jutawan-jutawan Liga Perdana Inggeris menjadi idola,mereka lupa bahawa jutawan-jutawan tersebut memastikan tahap professional dikala di padang bola tidak kira apa jersi disarungkan.Sungguh memualkan kisah-kisah peribadi para atlet menjadi kisah utama berbandingkan kejayaan yang dicapai.
Adakah ini petanda atlet kita sudah hilang arah tuju bila mencapai tahap atlet negara?
Azam Jalil
Turkmenbashy,Turkmenistan
Salam Rizal. Semoga dirahmati Allah adanya. Well, sometimes its a bit bias to only blame the athletes/footballers should anything goes wrong. Takde niat nak memihak kepada mereka sebaliknya lebih kepada tiadanya didikan (education). Football in Malaysia is only about getting short term results. Itu yang berlaku.
Pemain-pemain kita tidak pernah diasuh, dididik untuk menjadi pemain yang mensyukuri akan nikmat dan kemudahan yang mereka miliki. Saya pernah teringat satu peristiwa tatkala saya di kedai sukan milik sahabat karib saya, Hj Muhamad Radhi Mat Din di Alor Setar. Ketika itu kedai ini didatangi oleh seorang jurulatih pasukan B16 negeri dengan hajat untuk menempah/membeli "boots" untuk pemain-pemainnya. Beliau ingin membeli boots yang berjenama dan berharga mahal untuk pemain-pemain remajanya. Bayangkan pada usia 15/16 tahun sudah diajar untuk memiliki kemewahan. Saya bertanya kepada jurulatih berkenaan, kenapa tidak kita saja yang menentukan jenis "boots" yang mereka boleh guna, maka dijawabnya dengan mengatakan "budak-budak yang nak kan "boots" ni jadi saya datang untuk membeli saja". Dalam hal ini, jelas kita tidak pernah mendidik sebaliknya memanjakan mereka dengan kemewahan sejak awal lagi. Maka jangan disalahkan pemain jika inilah hasil yang kita berikan kepada pasukan bolasepak negeri dan kebangsaan - pemain yang mewah dengan peralatan tetapi miskin dengan keupayaan, kemahiran dan kesungguhan. Akibatnya lahirlah pemain Malaysia yang melangkah ke padang dengan "boots" berjenama hebat tetapi mutu permainan macam "PUN***". Its time to educate our players and its time to stop producing short term results. Wallahualam
Salam brother. Setuju dengan kakibola. Ini semua berkaitan pendidikan. Pasukan MSL lebih utamakan kejayaan short term. Tidak ada persatuan negeri atau kelab yg memiliki atau beriltizam menubuhkan akademi khas utk bolasepak. Konsep sekolah sukan bukit jalil atau sstmi belum mencukupi. Ini kerana jika kita ada akademi khas bolasepak, maka pemain muda akan diajar segala aspek teknikal mahupun didikan hidup spt mengurus masa, mengurus tekanan, mengurus pemakanan, belajar bahasa asing, berfikir secara kritis, mensasar cita cita yg tinggi dan sebagainya. Apa saja yg dibentuk diluar akan diterjemah di atas padang. Jika mrk adalah pemain yg benar2 terlatih, maka prestasi di atas padang pasti berkualiti. Apa yg dipersembahkan oleh FC Barcelona atau Afc Ajax Amsterdam adalah hasil produk sekolah mrk yg dibentuk 20 tahun sebelumnya. Pemain skuad bawah 10 tahun hingga ke skuad senior semuanya menggunakan sistem, taktik yg sama. Maka pemahaman mrk sgt mudah dibentuk. Kegagalan pasukan kebangsaan adalah berpunca dari kurangnya sistem pembangunan yg kita ada skrg. Semua negeri atau kelab terlalu bergantung kpd FAM. Sepatutnya persatuan negeri atau kelab yg serius membina skuad spt Harimau Muda. Selagi tidak ada pembaharuan dari segi pendidikan bolasepak, dan juga selagi bolasepak tidak dianggap sebagai agenda nasional sebagaimana kerajaan meletak sukan permotoran sebagai agenda nasional, maka sukan bolasepak kita tak akan maju.
Post a Comment