Cadangan jurulatih yang memiliki blog ini pernah diemel kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007. Barangkali tidak mendapat reaksi positif sekretariat di Wisma FAM.
CADANGAN KE ARAH PENAMBAHBAIKAN BOLASEPAK NEGARA
(ASPEK PENTADBIRAN & TEKNIKAL ERA PROFESSIONAL)
Bolasepak Malaysia telah mengalami zaman kemuraman sejak 20 tahun yang lalu. Perkara ini mungkin tidak dipersetujui atau disangkal oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam era peralihan ini, namun hakikatnya adalah benar. Pelbagai pendekatan diambil dan dilaksanakan namun semua seperti tidak kena. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang yang juga Presiden FAM bersama Timbalan Presiden FAM Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang (ketika itu) telah cuba menjelmakan sesuatu yang baru dalam bolasepak Malaysia dan seharusnya dengan pendekatan yang sesuai dan sempura ditambah dengan pelaksana yang baik, segala perancangan yang diatur seharusnya menjelmakan keputusan yang baik. Sebaliknya, amat malang sekali apabila sebahagian besar yang menduduki kerusi penentu dasar terdiri daripada mereka yang hanya hadir sebagai memenuhi korum. Bertambah parah apabila kedua-dua DYMM Tuanku Presiden dan DYTM Tengku Timbalan Presiden tidak diberi pandangan dan nasihat yang tepat dalam pelbagai perlaksanaan dan pendekatan dalam mengangkat martabat bolasepak negara, baik dari segi polisi, pendekatan, keputusan dan perlaksanaan.
Rentetan dari pelbagai masalah dan kelemahan yang timbul, kemuncak ketidakpuasan peminat bolasepak tanahair tiba tatkala negara menjadi tuan rumah Kejohanan Bolasepak Piala Asia baru-baru ini ekoran persembahan hambar pasukan kebangsaan dalam pertandingan tersebut. Di seluruh pelosok ruang, FAM dikritik hebat sehingga suara-suara kepada penyingkiran keseluruhan kepimpinan FAM kedengaran di sana sini. Ianya jelas terpampang di dada-dada akhbar (media cetak & elektronik) yang mahukan mereka yang lebih arif dan jujur serta komited dalam mentadbir dan mengurus bolasepak negara, diberi tempat untuk melaksanakannya. Saya tidak terkecuali dalam menyuarakan pandangan dan kritikan demi kemajuan dan kebangkitan bolasepak negara.
Kini dengan peralihan kepimpinan bolasepak negara Generasi Keempat (pada tafsiran saya), adalah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia agar satu pendekatan yang lebih efektif dapat diambil dan dilaksanakan untuk mengembalikan semula kecemerlangan bolasepak negara. Seharusnya tugas ini menjadi tanggungjawab pelbagai pihak yang berkaitan namun FAM, selaku pembuat dasar bolasepak Kebangsaan tidak dapat lari dari menjadi peneraju utama dan umum mulai saat ini akan mula memerhatikan dan menilai setiap tindak tanduk yang diambil samada ianya dilakukan demi kepentingan bolasepak secara umumnya ataupun atas dasar kepentingan peribadi yang sering menjadi agenda utama mereka yang masuk menjejaki arena kepimpinan bolasepak negara. Wallahualam.
3. CADANGAN
Dengan pemilihan YBhg Datuk selaku pentadbir dan tenaga utama FAM dalam memastikan kelancaran setiap cadangan, polisi dan segala perkara yang berkaitan, maka sukalah saya dengan rendah hati memberi beberapa pandangan ikhlas selaku individu yang terlibat secara langsung dalam bolasepak negara sebagai Jurulatih, untuk membantu mencapai aspirasi peminat sukan negara (umumnya) dan pencinta bolasepak tanahair (khasnya) ke arah mengembalikan kegemilangan bolasepak negara, DALAM ERA PROFESIONAL & KOMERSIAL (bukan lagi AMATUR sepertimana SEBELUMNYA dan SEKARANG INI). Kepercayaan yang diberikan oleh DYMM Tuanku Presiden kepada YBhg Datuk dalam mentadbir FAM merupakan satu amanah yang besar dan berat dan lahir dari kepercayaan dan keyakinan Tuanku akan kebolehan dan kemampuan YBhg Datuk. Sebagai antara individu yang agak vokal dan lantang dalam mengkritik sistem bolasepak Malaysia, saya tidak mahu hanya digelar sebagai pengkritik atau tukang mencari kesalahan orang lain semata-mata, sebaliknya mampu melontarkan sedikit pandangan dan cadangan yang positif, demi peningkatan dan kebaikan bolasepak Malaysia umumnya, insyaAllah.
3.1 SEKRETARIAT FAM / PBN
Sepertimana yang YBhg Datuk sering tafsirkan peranan FAM selaku Sekretariat dalam melaksanakan segala polisi dan cadangan serta keputusan yang telah dibuat oleh Ahli Majlis FAM maka saya melihat bahawa beberapa perkara perlu dikemaskinikan dan dipertingkatkan.
3.1.1 FAM perlu miliki kewibawaan untuk membawa Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) bekerjasama dan mematuhi serta menghormati setiap keputusan dan polisi yang telah diputuskan oleh FAM. Tanpa perlu dinafikan, sekarang ini PBN lebih berkuasa untuk mempengaruhi FAM dalam menentukan banyak hal dan keputusan. Ini jelas mendedahkan kelemahan Sekretariat FAM maka seharusnya perkara ini perlu diatasi SEGERA.
3.1.2 Dalam era bolasepak profesional, pendekatan dan aspek pentadbiran yang diamalkan oleh FAM dan PBN adalah agak ketinggalan. Bolasepak profesional seharusnya diurus dalam konsep perniagaan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. PBN masih lagi bersikap umpama peminta sedekah, mengharapkan simpati untuk mendapatkan sumbangan kewangan. FAM wajar memperkenalkan satu sistem pentadbiran yang lebih efektif dengan mengadakan sesi penerangan bagi menjelaskan betapa pentingnya ia ditadbir sebagai sebuah entiti perniagaan.
3.1.3 FAM/PBN perlu menubuhkan Unit Korporat/Pemasaran dan melantik individu profesional dalam bidang ini bagi memasarkan produk masing-masing serta mendapatkan penglibatan penaja dalam memenuhi kantung kewangan masing-masing. Bayangkan setakat ini, tidak satu pun PBN yang memiliki laman web sendiri untuk memasarkan produk mereka. Ini era profesional dan bukan lagi era amatur.
3.1.4 Setiap individu yang terpilih atau dilantik ke mana-mana jawatan dalam FAM sewajarnya melepaskan jawatan mereka di peringkat PBN. Ini bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan antara PBN dan FAM. Ini membolehkan individu berkenaan dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih adil dan bebas.
3.2 LIGA MALAYSIA
FAM gah dan bangga dengan pengenalan Liga M (Liga Super dan Liga Premier) tetapi hakikatnya ia tak ubah seperti sebuah liga tepi jalan yang dianjurkan oleh “Kelab Kampung”. Bayangkan sebuah liga peringkat kebangsaan, ditontoni hanya oleh ratusan penonton, bahkan lebih buruk dalam Liga Premier yang menampilkan kelab-kelab, stadium hampir kosong. Adakah ini taraf sebuah liga profesional yang kita banggakan? Amat malang apabila PBN yang mana Presidennya kerap memperkenalkan “POLISI DANGKAL”. Antara yang popular ialah :-
3.2.1 Tak perlu guna pemain import
3.2.2 Hanya guna anak tempatan
3.2.3 Bimbing pemain-pemain muda dan beri mereka “TEMPOH” untuk menimba pengalaman
Ini bukan perkara yang boleh dipandang mudah oleh FAM dan PBN. Ini soal pendekatan dan soal polisi. Ianya berkait rapat dengan soal kualiti dan mutu. Bayangkan jutaan ringgit dilaburkan untuk membayar gaji jurulatih dan pemain tetapi pulangannya tiada. Apakah ini kaedah pentadbiran dan pengurusan bolasepak profesional? Hanya ratusan ringgit yang diperolehi hasil dari bayaran masuk penonton. Bayangkan bagaimana PBN mampu melunaskan hutang sewa stadium, yuran pegawai-pegawai perlawanan. Apabila tiada pendapatan maka timbul masalah PBN untuk membayar gaji jurulatih dan pemain. Tidakkah kita tidak terasa malu? Penonton membayar tiket untuk menyaksikan keputusan dan kemenangan. Andai polisi popular (mendedahkan pemain untuk menimba pengalaman, adalah lebih baik kita kembali ke era amatur). Dalam hal ini, sekali lagi FAM perlu menyedarkan PBN betapa soal kualiti dan mutu tidak boleh dipandang ringan dan ianya perlu menjadi penekanan utama dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk menarik minat penonton serta yang paling dilupakan, ialah penaja. Bolasepak profesional amat mementingkan soal kewangan, soal perbelanjaan dan pendapatan. Jika ini dapat disedarkan, maka sudah tentu kualiti bolasepak negara kita akan turut meningkat.
3.3 PENGELOLAAN LIGA – KOMERSIAL / KEWANGAN
Di negara kita FAM mengendalikan 3(Tiga) pertandingan utama dalam Liga Profesional :-
3.3.1 Liga Super / Liga Premier
3.3.2 Piala FA
3.3.3 Piala Malaysia
Ketiga-tiga pertandingan ini ditaja oleh hanya 1(Satu) penaja sahaja. Dalam hal ini saya mencadangkan agar FAM memperkenalkan pelbagai Penaja bagi setiap pertandingan yang berbeza :-
3.3.4 Liga Super atas nama Penaja A
3.3.5 Liga Premier atas nama Penaja B
3.3.6 Piala FA atas nama Penaja C
3.3.7 Piala Malaysia atas nama Penaja D
Secara tidak langsung, kantung FAM juga akan bertambah dari pelbagai sumbangan Penaja. Saya amat yakin kaedah ini mampu dilaksanakan dengan kebijaksanaan FAM. Tambahan pula saya amat yakin dengan ketelusan yang boleh diperbaiki, banyak penaja tempatan/antarabangsa yang sanggup tampil menaja Liga Malaysia. Wallahualam.
3.4 FORMAT PERTANDINGAN
Di negara bolasepak yang maju dan berjaya, liga bolasepak profesional merupakan pentas yang amat penting dalam menentukan tahap kejayaan bolasepak negara mereka. Liga profesional merupakan pentas pemilihan pemain-pemain terbaik dalam usaha membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap. Saya penuh yakin FAM tidak terkecuali dalam mengimpikan perkara yang sama.. Tetapi perlaksanaannya tidak seiring dengan perlaksanaan dan pencapaian negara-negara lain yang telah berjaya. FAM memilih untuk melakukan sesuatu yang unik yang kononnya merupakan tradisi bolasepak negara kita tetapi tidak membantu mencapai apa yang diimpikan. Mana mungkin kita dapat melahirkan pemain kebangsaan yang berkualiti dan berdaya saing jika Liga Profesional kita sendiri tidak menepati apa yang hendak kita capai?
“Liga profesional di negara lain tamat dengan kemuncaknya ialah satu Pertandingan Akhir (jika di Malaysia, ianya ialah Piala Malaysia), setelah liga profesional masing-masing sampai ke penghujung. Maknanya semua kelab/pasukan yang bersaing akan tamat serentak pada penghujung musim. Tetapi ianya tidak berlaku di Malaysia. Hanya separuh daripada 24-28 kelab/pasukan akan menamatkan saingan masing-masing di separuh musim liga, manakala selebihnya meneruskan musim liga masing-masing sehingga ke penghujungnya”.
Cuba bayangkan bagaimana kelab/pasukan yang telah terhenti saingan mereka di pertengahan musim, mengharungi sisa musim tersebut tanpa sebarang pendapatan untuk membayar gaji jurulatih dan pemain mereka sedangkan ikatan kontrak mereka berakhir di hujung musim. Tanpa sumber pendapatan bagaimana mungkin mereka menunaikan tanggungjawab mereka sebagai majikan yang baik? Tidak pernahkan FAM terfikir akan perkara ini? Dulu FAM memberi bantuan kewangan kepada PBN untuk mentadbirurus kewangan pasukan masing-masing, tetapi sekarang tidak lagi. FAM sendiri sudah tidak mampu membiayai perbelanjaan kewangan kakitangan dan jurulatih sendiri.
Saya yakin, kini tiba masanya satu perubahan demi kebaikan dan peningkatan bolasepak negara, YBhg Datuk usulkan kepada Jawatankuasa Pertandingan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan. Di pihak saya, berikut adalah cadangan kerdil yang mungkin mampu menyuntik sedikit ilham agar dapat merancang dan melaksanakannya dengan lebih baik dan efektif, insyaAllah.
3.4.1 Liga Utama
Liga Utama hanya disertai oleh PBN. Ini bagi membolehkan para penyokong hanya menumpukan sokongan mereka kepada pasukan negeri sahaja. Sekarang ini, sebuah negeri diwakili oleh 2-3 kelab yang secara tidak langsung telah memecah-belahkan kumpulan penyokong mereka. Lojiknya, stadium dipenuhi dan pendapatan PBN akan bertambah.
3.4.2 Liga Pelapis
Dengan PBN menghadapi masalah kewangan untuk mentadbirurus dan menyediakan sebuah pasukan pelapis, sewajarnya PBN melantik sebuah kelab gabungan yang mempunyai kemampuan kewangan yang baik untuk menguruskan sebuah pasukan pelapis dan diselia oleh PBN. Ini secara tidak langsung meringankan beban PBN untuk menanggung kos pengurusan. Liga antara IPT juga boleh diiktiraf sebagai sebuah lagi Liga Pelapis bagi mengisi ruang membekal barisan pemain pelapis yang berkualiti.
3.4.3 Liga Remaja (U18, U16, U14, U12)
Pembentukan dan pengendalian pasukan remaja diserahkan kepada sekolah-sekolah terpilih. Ini secara tidak langsung memberi ruang pemilihan yang lebih luas dan positif. Sepertimana pasukan Liga Pelapis, ianya juga perlu diselia oleh PBN untuk memastikan kualiti dan pendekatan seiring dengan polisi yang telah ditetapkan oleh FAM.
Dengan ini, pertandingan Liga Premier dan Piala FAM (yang dilaksanakan sekarang dicadangkan supaya dimansuhkan. FAM sewajarnya menitikberatkan soal KUALITI daripada KUANTITI). Format pertandingan yang sedia ada tidak menyumbang kepada sebarang kebaikan dan peningkatan mutu bolasepak negara sebaliknya hanya mengundang pelbagai masalah yang tidak sepatutnya berlaku dalam era bolasepak profesional ini.
-/8
-8-
3.4.4 Piala FA
Format Piala FA boleh dikekalkan sepertimana sekarang dan dibuka kepada semua pasukan yang terlibat di dalam Liga Utama.
3.4.5 Piala Malaysia
Pertandingan Piala Malaysia yang dianggap sebagai acara tradisi selepas pengenalan bolasepak era profesional, boleh diteruskan. Saya mengesyorkan supaya ianya dikendalikan selepas tamat Liga Utama dan penyertaannya dibuka kepada semua pasukan dengan format sedia ada yang membahagikan pasukan-pasukan kepada beberapa kumpulan tertentu.
Dengan format ini, setidak-tidaknya ia memberi lebih keadilan kepada pasukan-pasukan yang bertanding mengakhiri musim bolasepak serentak dan tidak ujud diskriminasi antara pasukan-pasukan yang terlibat. Pemain-pemain juga mampu mempamerkan konsistensi permainan mereka dan secara tidak langsung tidak menunjukkan jurang prestasi antara kelompok pemain-pemain tertentu (elit).
3.4.6 Piala AFC
Setakat ini, pemilihan pasukan-pasukan untuk mewakili negara ke pertandingan-pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dibuat atas pencapaian mereka dalam pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia. Ini sekaligus tidak mengiktiraf pencapaian dan konsistensi pasukan yang menjuarai Liga. Ini seharusnya diubah kerana sesebuah pasukan terbaik diiktiraf melalui pencapaian mereka melalui proses ketahanan, konsistensi dalam mengharungi Liga dan kaedah ini digunapakai di seluruh negara yang menganjurkan Liga Profesional, sebaliknya FAM memilih kaedah yang unik dan pasukan yang mengungguli Liga diketepikan daripada beraksi di peringkat yang lebih tinggi di peringkat benua. Dalam hal ini, saya suka mencadangkan agar pasukan yang menjuarai Liga dan Piala Malaysia dipilih untuk mewakili negara dalam pertandingan anjuran AFC di masa yang terdekat.
Demikian antara beberapa perkara yang mampu saya sumbangkan untuk renungan dan pertimbangan YBhg Datuk dan FAM dalam usaha kita meningkatkan mutu bolasepak negara. Tiada niat di hati saya untuk menonjolkan kebijaksanaan atau kehebatan saya seolah-olah saya sahaja yang lebih memahami akan apa yang diperlukan oleh bolasepak negara, sebaliknya lebih menjurus kepada berkongsi pandangan dan ilham hasil pengalaman dan penglibatan saya dalam arena bolasepak untuk membantu membangunkan bolasepak negara daripada terus diperlekehkan dan dikecam. Sebagai insan kerdil yang mencintai sukan bolasepak dan mengimpikan martabat bolasepak negara pulih dan dihormat, inilah satu-satunya cara yang mampu saya sumbangkan.
Ampun dan maaf jika saya terguna bahasa yang kurang wajar dan sesungguhnya semua itu tidak saya sengajakan. Wallahulam.
5 comments:
Bro Rizal;
My only question is, FAM ni nak belajar ke (dari pihak atasan hingga bawahan) sebab setahu saya pelbagai ruang pembelajaran telah terbuka luas untuk mereka belajar, dari FIFA Com Unity hingga ke AFC Vision Asia malah kajian dan resolusi dari PWC pun banyak membantu, tapi kalau dah bodoh sombong tu, tutup buku la, Sdr sendiri pun pernah dibawa kedalam kan, dok kejap terasa sdr buang masa kan sebab my stupid mind jangka sdr tau majoriti kat dalam tu samaada ahli majlis maupun secretariate bukan betul-betul ikhlas dalam membangun bolasepak negara terkecuali Tuanku Presiden dan KDYTM Timbalan Presiden sbb kedua baginda tak perlu platform untuk ke jawatan/benda lain, eg jadi popular at least menang pemilihan UMNO; betui tak sdr.
Saudara saya bersimpati dengan penulis berkenaan dengan surat yg telah di hantar pada 2007 sama lah dengan saya pandangan di hantar tapi bila kita tanya mereka kata kat saya;
1) Kita di fam sudah biasa lakukan sebelum ini dan tak ada masalah pun (so nampaknya mereka tak nak keluar dari kepong-pong atau tempurung mereka)
2 kami ada jawatankuasa kami dan mereka yang akan lakukannya( sapa yg akan pantau sama ada jawatankuasa berkenaan buat atau tak)
So kemana kah perjalanan fam kalau ada org yg ingin memimpin mereka berjalan dengan tongkat tapi di tolak dan tak di terima
DYMM tuanku di berikan information yg salah oleh mereka yg berkenaan mengenai keadaan semasa fam.
Kenapa kita nak lari dari kenytaan yg nyata
Renungan buat semua
Bro, Salam.
I didnt get to read the whole cadangan by the coach. Just a glance. Too long. But I am quite sure the gist are all there. But of course these constructive views are never in FAM's Manual for whatever reasons.
Dont suppose they cared either.
FAM ni nak kena revamp bro. Dari dulu lagi. Pra-rasuah era, sampai la ni they keep producing sh*t. And it stinks fyi . It's funny because, putting the immoral side aside, during the rasuah2 time the football was much more attractive. Honest. Either they played to win and to lose was another issue. At least they managed to entertain. I got my money's worth!!
But today, dgn segala infrastructure nyer, dgn segala financial supportnyer, we "succesfully" went down a few more notches in the FIFA rank. Bravo!!! You think those old farts (and semi-old farts)really care about the well-being of FAM? I seriously dont think so.
No foreigners. Groom the kidz. WhoTF came up with the eFFing ideas anyway? Surprisingly, some goons supported that too.
What bollocks.
bro...i was so touched that you took all the effort to post it here. hope to get the feedbacks from others.
thanks bro. see you wednesday.
Cadangan yang baik - tetapi memandangkan ada Khairy Jembalang dalam FAM ni, wartawan media-sukan Malaysia juga terpaksa kaku walau terasa terhina dengan apa yang berlaku dengan bola Malaysia hari ini. FAM akan terus sukar disentuh.
FAM mungkin perlu digoncang dengan sesuatu yang lebih besar untuk mereka bangun dari tidur.
Pecinta bola Malaysia perlu melakukan sesuatu , mungkin yang pertamanya boikot Jersi baru negara , jenama "Nike" itu terlalu besar untuk skuad yang main macam team Malaysia sekarang.
Kalau ke stadium cuba pakai baju yang berwarna putih atau setidak-tidaknya bawa kain putih , tapi dengan kegagalan MSL menarik penonton ke stadium kedua-dua cadangan di atas sukar memberi kesan.
Kita tidak boleh harapkan penulis sukan di akhbar perdana untuk menulis dengan jujur apa yang berlaku di FAM- mereka lebih senang "translate" berita dari internet untuk melaporkan berita EPL - mereka perlu menjaga periuk nasi mereka - kita memahami bagaimana media perdana ini dikawal .
Sesuatu harus dilakukan , ianya sudah bermula , kepada penulis sukan jangan gusar kita tidak akan digantung oleh FAM seperti Lagenda Bolasepak Malaysia- Allahyarham Dato Basri , kita bukan ahli gabungan FAM :).
Post a Comment