Mak, ibu, mentor, penasihat, kawan, guru kepada aku. Mei biasanya ada tiga sebab untuk kami berkumpul - ulang tahun Mak, Hari Ibu dan Hari Guru.
Masih aku ingat Mak menegur beberapa kesilapan dalam artikel Jaguh, sisipan Berita Harian satu ketika dulu. Aku tersilap eja perperangan...sepatutnya peperangan. Maklumlah, Mak menuntut ilmu di Institut Bahasa, kalau dulu terkenal dengan nama LI, Language Institute, di Lembah Pantai. Mak guru Bahasa, sejarah dan kaunseling.
1966 - Mak, Ayah diapit Jamil Sulong dan Mak Nani
Aku juga masih ingat bagaimana Mak mengalirkan air mata ketika menghiris bawang, melontarkan soalan: "Risau Mak, apa nak jadi dengan Riz ni,?" sambil aku menyapu di dapur. Maklumlah, Kak Lin belajar overseas, Man pula top student sekolah dan universiti.
Namun Mak dan Ayah menyuburkan cintaku terhadap buku. Kami membesar dikelilingi buku, kebanyakannya mengenai pengetahuan am, politik, sejarah dan pelbagai novel. Mak melanggan Life, Look and Learn dan Reader's Digest. Tidak ketinggalan komik Archie & Jughead, Beano, Bujal, komik terbitan DC dan Marvel - jadi aku baca daripada The Swamp Thing, the Flash, Spiderman hingga Captain America hinggalah Bujal dan Dewan Pelajar. Tidak kira di mana destinasi yang dipijak, ole-ole sama ada baju atau buku bola sepak akan dibawa pulang.
Mak menggalakkan aku berjinak dengan seni kerana kecenderungan melukis dari kecil. Tapi aku tidak begitu pandai menggabungkan elemen warna dengan lukisan-lukisanku.
Antara subjek yang dilukis, tentu sekali bola sepak. Dengan mencipta dan mereka nama dan jersi pasukan sendiri. Aku minat Mohas, pelukis/kartunis di Dewan Bahasa. Dari situ aku pendekkan nama aku jadi Muhariz...masa Darjah 1, aku duduk sebelah Acis. Kami berdua menjadi pelukis komik, dia tulis dalam Bahasa Inggeris, aku Bahasa Melayu. Sudahnya dia jadi pemuzik...
Apabila aku terpilih untuk ditemu duga kerja PETS IV di New Straits Times, Mak menghubungi ZAR, penulis masyhur Zubaidah Abdul Rahman yang juga rakan sepersekolahannya di Tun Fatimah, Melaka, untuk mengetahui peluang aku terpilih ke Berita Harian.
Mak sempat mengiringi aku ke lapangan terbang Subang untuk tugasan pertama ke luar negara, Piala Thomas di Jakarta pada 1994. Aku jadi sidekick Norbakti Alias (kini di stesen televisyen baru WBC), manakala Harian Metro diwakili Radzi "Ron" Wahab (sekarang pengarang sukan Harian Metro). New Straits Times A. Devaraj. Bernama Hamdan Saaid.
Pemergian Mak disambut dengan penuh tabah oleh Ayah. Namun Ayah tidak pernah tidur dalam kamar itu lagi, sebaliknya setiap kali aku pulang dari pejabat di waktu tengah malam atau awal pagi, Ayah tidur atas permaidani di ruang tamu.
"Riz tidak faham, 28 tahun Ayah dengan Mak..." kata Ayah ringkas...memang aku tidak faham agaknya ketika itu...apabila kita tiba-tiba kehilangan teman hidup yang susah senang bersama hampir tiga dekad.
Apabila Ayah menyatakan keinginan mendirikan rumah tangga, Kak Lin, aku dan Man terkejut, maklumlah tidak sampai empat bulan selepas jenazah Mak disemadikan.
Sudahnya, pada awal 1995, kami mengiringi rombongan Ayah bernikah, dengan seorang Ustazah, anak seorang imam di sebuah kampung di Batu Pahat. Sebelum itu Ayah ada membawa Ustazah yang kami panggil Makcik ke rumah Atok di Kluang. Bentuk tubuh dan wajah ada iras Mak.
Ayah meninggal dunia dalam tidur pada 1997, meninggalkan Makcik dengan seorang anak lelaki berusia setahun empat bulan dan seorang lagi dalam kandungan. Aku dapat dua orang adik, Hisyam dan Syima.
Hisyamuddin di production control room Astro Arena
Takdir menentukan Makcik menjadi ibuku. Yang menjadi tuan rumah ketika aku mendirikan rumah tangga, disusuli Man tiga tahun kemudian. Makcik tidak berapa sihat sekarang ini, moga dia dikurniakan tahap kesabaran tinggi dalam menghadapi ujian daripada Allah. Tapi setiap kali balik, aroma lauk dan nasi tiada tandingan.
Makcik dan Syima
Takdir juga menentukan aku mendapat Mak mertua yang first class. Menumpang kasih dengan Mak yang ku anggap macam Mak sendiri. Setiap kali balik kampung, aku diberi layanan kelas pertama. Memandangkan Mak orang utara dan aku orang selatan, Mak pastikan setiap kali raya mesti ada ketupat. Juga setiap kali balik, mesti ada masakan khas untuk aku, sampai orang kata "ini siapa yang anak nih" hahaha. Mak tiada prasangka dan sentiasa memikirkan yang baik-baik terhadap orang. Susah nak jumpa orang macam itu. Sedikit perbezaan buat Mak sekarang...kadang-kadang ada orang tegur ini mak mertua Rizal Hashim ka...
Mak dan Abah
3 comments:
Nice story
..lc, I was always of the mind that you were lucky with the women in your life...and this post confirms it...and you re just as blessed with Intan...mothers, whether they r step, inlaw or just mom, rocks cradles and shapes ppl like you...
PakMat@tuan haji blogger, yes I must admit I am one lucky chap! Alhamdulillah. Thanks tuan haji.
Post a Comment