Monday, October 31, 2011

Memahami Dasar 1Murid, 1Sukan

Seperti yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia tidak lama dahulu.

MEMAHAMI DASAR 1MURID 1SUKAN SUPAYA TIDAK KELIRU


OLEH : DATUK WIRA MAZLAN AHMAD

Dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) telah mula dilaksanakan pada tahun 2011 setelah setahun diwar-warkan dikalangan warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu sejak 2010.

Pelancaran dasar ini telah dilaksanakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia pada 2 Julai 2011 di Taiping, Perak. Seramai 5, 196, 626 orang murid sekolah telah menyertai Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia di seluruh negara. Jumlah ini merupakan 1 rekod baru dalam Malaysian Book of Records.

Saya kerap diajukan dengan soalan yang sama mengenai apakah yang akan berlaku kepada dasar ini selepas larian serentak yang terbesar yang menandakan pelancaran Dasar 1M1S ini. Soalan ini, memberi banyak makna dan tanggapan dan diantara yang paling ketara ialah mereka ingin tahu apakah program lain dibawah dasar 1M1S ini yang akan dilaksanakan selepas larian tersebut. Soalan ini juga samacam meragui diatasi kejayaan pelaksanaan dasar ini.Disamping itu, soalan ini juga, boleh memberi tanggapan bahawa Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia perlu merancang dan melaksanakan satu aktiviti sukan yang besar kalau pun tidak sebesar Larian Serentak 1M1S yang lalu untuk menyusul acara pelancaran berkenaan.Selain itu, soalan ini juga, memberi tanggapan bahawa aktivitI sukan di sekolah di bawah dasar 1M1S adalah sesuatu yang baru yang memerlukan peruntukan tambahan yang besar serta kelengkapan sukan yang baru untuk menjamin kejayaannya.

Rupa-rupanya, soalan-soalan dan tanggapan kepada dasar 1M1S dan cara ia dilaksanakan menjadi semacam satu pemahaman dalam kalangan sebahagian pentadbir dan guru-guru di sekolah-sekolah seluruh negara.

Secara ringkas ingin saya meneliti dasar ini dan cara melaksanakannya mengikut pemahaman saya yang terlibat dalam proses penggubalan dan pelaksanaannya.

Aktiviti sukan memang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah sebelum dasar ini diumum dan dilaksanakan mulai tahun 2011. Kejohanan sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) , Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri (MSSN), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) sentiasa diadakan setiap tahun. Pihak sekolah juga menganjurkan aktiviti sukan termasuk kejohanan olahraga tahunan sekolah masing-masing.

Jadi apakah perlunya dasar 1M1S ini sekiranya aktiviti sukan telah dilaksanakan. Ini adalah pokok kepada pemahaman atau dengan lebih tepat silap faham terhadap dasar ini.

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran sebelum daripada dilantik menjadi Menteri Pelajaran memang telah menimbulkan kemuskilan beliau mengenai aktiviti sukan di sekolah yang tidak semeriah semasa beliau bersekolah. Murid-murid sekolah tidak kesemuanya terlibat dalam aktiviti sukan di waktu petang sebagaimana yang sepatutnya. Ketika di MSN saya dan rakan-rakan lain mendapati bahawa aktiviti sukan di sekolah adalah bermusim bentuknya.

Dengan hasrat untuk memulihkan aktivit sukan di sekolah supaya perkara-perkara yang disebutkan ini boleh diperbaiki maka dasar 1M1S diwujudkan. Dasar ini, sepatutnya memperkuhkuhkan aktiviti sukan di sekolah yang ada sekarang supaya semua murid melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya dalam 1 jenis sukan. Aktiviti sukan di sekolah semestinya diadakan sepanjang tahun melalui 1 kalendar yang bermula dengan acara merentas desa diawal tahun, acara sukantara, kejohanan olahraga tahunan sekolah dipertengahan tahun, pemainan antara rumah atau antara darjah/tingkatan dan sebagainya.

Tabiat sekolah mengadakan kejohanan olahraga pada bulan Februari atau Mac adalah tidak tepat dan surat arahan telah dikeluarkan supaya sekolah-sekolah menganjurkan kejohanan ini tidak awal dari bulan Jun setiap tahun. Murid-murid perlu mengikut program yang dinyatakan dalam tempoh beberapa bulan sebelum kejohanan olahraga dilangsungkan.

Kalau sekolah menganjurkan kejohanan olahraga pada bulan Jun tetapi memulakan aktiviti sukan hanya pada bulan April atau Mei bukan pada bulan Januari juga tidaklah menepati dasar ini. Kalau murid-murid hanya menandatangani buku kedatangan sesi latihan sukan sahaja tetapi tidak menyertai latihan, maka cara tersebut juga tidak memenuhi semangat serta hasrat dasar ini.

Perkara yang penting ialah untuk menentukan semua murid terlibat dalam sukan secara aktif sepanjang tahun. Murid yang sudah aktif akan terus aktif dan yang cemerlang akan terus mewakili sekolah, daerah, negeri atau negara. Tumpuan dasar ini ialah kepada sejumlah murid yang teramai yang kurang atau tidak aktif dalam sukan. Selain dari menyertai aktiviti sukan, tumpuan mesti diberikan supaya mereka juga mahir dalam sukan berkenaan mengikut tahap keupayaan masing-masing adalah penting. Murid yang dapat menguasai permainan pilihannya akan lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam sukan secara berterusan oleh kerana mereka berasa seronok dengan sukan atau permainan pilihan masing-masing. Oleh itu, cara penyampaian kepada murid-murid ini adalah penting supaya mereka tidak tawar hati untuk terus bersukan.

Buku panduan sukan telah disediakan untuk membantu guru-guru mengajar sukan melalui kaedah yang mudah. Setakat ini modul untuk 10 jenis sukan telah disediakan sebagai panduan guru-guru di sekolah.

Aktiviti sukan dibawah dasar 1M1S ini tidak perlu diasingkan Sebaliknya keseluruhan aktiviti sukan disekolah adalah merupakan aktiviti sukan dibawah dasar ini. Perlu diingatkan bahawa sukan memang diwajibkan di sekolah seperti yang telah dimaktubkan menerusi Surat Pekeliling Iktisas, KPM bilangan 1/1989 – Penyertaan Pelajar Dalam Kegiatan Sukan Di Sekolah bertarikh 3 Januari1989.

Tetapi malangnya aktiviti sukan ini secara beransur-ansur tidak lagi mendapat tempat yang sepatutnya di sekolah oleh kerana penekanan yang kuat kepada pencapaian akademik. Seperti kes dimana terdapat sekolah yang melarang murid-muridnya daripada mengambil peperiksaan UPSR baru-baru ini yang boleh disifatkan satu manifestasi yang amat malang sekali dengan penumpuan terhadap pencapaian sekolah dalam peperiksaan kebangsaan.

Sebenarnya, selepas dari Larian Serentak 1M1S 1Malaysia pelaksanaan dasar ini perlu dilihat di sekolah-sekolah. Pelaksanaan dasar ini bukan dilihat atau diukur dengan 1 program atau aktiviti yang serupa dengan larian serentak ini lagi. Kejayaan kepada dasar ini mesti diukur dengan aktiviti yang dilaksanakan di sekolah sepanjang tahun.



Kalau jumlah sekolah yang menganjurkan kejohanan olahraga pada bulan Jun atau selepasnya meningkat setiap tahun sehingga tidak ada yang menganjurkannya dibulan Februari atau Mac maka bermakna pentadbir sekolah berjaya mehayati semangat dasar ini.

Kalau secara rawak murid-murid akan memaklumkan jenis sukan yang dipilihnya di sekolah apabila ditanya, maka ini menunujukkan sekolahnya melaksanakan dasar ini.

Kalau murid memahami peraturan pemainan pilihannya dan dapat memberi tahu samaada dalam pemainan hoki ada peraturan ‘curi ayam’ atau tidak maknanya murid berkenaan tahu sedikit sebanyak mengenai sukan hoki walaupun beliau bukan pemain pasukan sekolah. Maknanya disamping menguasai kemahiran bersukan murid berkenaan tahu juga sedikit sebanyak mengenai peraturan pertandingan. Kemahiran murid mengikut kemampuannya dalam sukan pilihannya mestilah meningkat dari tahun ke tahun mulai dari tahun 4 sehingga tingkatan 5. Mulai tahun 2012 murid-murid ini akan dinilai dalam semua aspek penglibatan dan penguasaan masing-masing dalam sukan.

Satu lagi tanda yang menunjukkan pengurusan sekolah memberi perhatian terhadap aktiviti sukan ialah dengan melaksanakan mata pelajaran Pendidikan Jasmani secara berkesan. Maknanya mata Pelajaran ini diajar mengikut sukatan yang ditentukan oleh guru-guru yang berkelayakan. Masa mata pelajaran ini tidak dengan sewenangnya diganti dengan mata pelajaran lain yang dianggap lebih penting oleh pentadbiran sekolah. Dalam melaksanakan mata pelajaran Pendidikan Jasmani ini aktiviti bersukan boleh dimasukkan dan ini memberi peluang murid-murid bersukan tanpa terhad kepada waktu yang ditentukan selepas sesi persekolah sahaja.

Jadi dasar 1M1S ini bertujuan untuk mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah. Manakala pengurusan aktiviti sukan pula bergantung kepada inisiatif pentadbir sekolah. Kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam membantu sekolah menggunakan kemudahan sukan kepunyaan Pihak Berkuasa Tempatan telah pun diperolehi. Ini dapat membantu sedikit sebanyak masalah kekurangan kemudahan sukan di sekolah.

Penguasaan murid-murid dalam sukan merupakan bekal sepanjang hidup mereka selepas meninggalkan bangku sekolah supaya menjadi rakyat yang beriadah menerusi sukan kegemaran masing-masing.

YB Menteri Kesihatan baru sahaja mengumumkan bahawa Program Minda Sihat Menangani Stress Dalam Kalangan Murid Sekolah agak merunsingkan. Daripada 6,540 murid yang disaring sebanyak 17.1% mengalami tanda-tanda keresahan teruk, 5.2% mengalami tanda kemurungan teruk dan 4.8% masalah tekanan (stress) teruk. Janganlah kita merampas zaman remaja mereka yang sepatutnya ceria dan dipenuhi dengan semangat yang tinggi. Sukan adalah satu-satunya wadah yang dapat mengubat genjala ini.

Usaha memberi penerangan kepada semua pihak akan dilakukan secara berterusan. Demikian juga, dengan penyediaan maklumat yang dapat membantu guru-guru melaksanakan dasar ini. Apa pun struktur yang lebih mantap perlu diwujudkan diperingkat Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan khususnya di sekolah-sekolah untuk menentukan kelancaran pelaksanaan dasar ini. Kita berharap semoga keputusan untuk menangguhkan semua urusan penyusunan semula organisasi jabatan kerajaan akan segera dipulihkan supaya keperluan ini dapat dipertimbangkan dengan segera.

6 comments:

Fad said...

http://kopidalamgelas.blogspot.com/2011/07/ulasan-larian-satu-murid-satu-sukan.html

ni pendapat saya

alongading said...

Salam Encik Rizal,

Pada pendapat saya, dasar 1 murid 1 sukan ini adalah hanya tertumpu kepada sekolah-sekolah pilihan sahaja. Berlainan sekali dengan sekolah yang berada di luar bandar, LANGSUNG TIADA Cikgu Pendidikan Jasmani. Yang ada hanyalah cikgu kelas yang jaga murid2 main bola dan malahan yang lebih teruk Guru Ganti yang tolong jagakan....

Dasar kurang jalan...

TQ

KAMARUDDIN BIN MAMAT said...

Sukan di sekolah sepatutnya disuburkan lagi. Biar semua cikgu faham apa kepentingan sukan pada pelajar. Apa yg berlaku, cikgu sukan saja yang beria-ria nak buat, cikgu2 lain tak berapa sokong.

Kerajaan letakkan bekas atlit2 negara kat sekolah2. Latih pelajar, dengan kaedah yang betul dan terkini. Bayar gaji kat mereka tu. Aku rasa atlit negara ramai, beri tugas pada mereka. Tak lama kita akan lahirkan atlit hebat.
Tak payah nak pikir2 nak buat 1 murid, 1 sukan..

Anonymous said...

Macam biasa, perancangan kerajaan dalam kertas nampak cantik. Perlaksanaannya?

Masa mesyuarat PIBG sekolah anak saya hari tu, dalam ramai-ramai cikgu yang saya tanya tak ada seorang pun tahu kenapa sukan tidak dibuat pada suku pertama tahun ini.

Mungkin hanya gurubesar dan guru kanan saja kot yang tahu.

Perjalanan ko-kurikulum sukan berjalan seperti biasa, dari tahun lepas, tahun ini sebelum larian 1M1S mahupun selepas larian 1M1S. Seolah tidak ada bezanya.

Mungkin 2012 kot baru laksana sepenuhnya.

Sudah selesai sukan peringkat daerah dan negeri, barulah ada sukan disekolah.

Mungkin rumit kementerian nak koordinat memandangkan faktor geologi dan penempatan sekolah yang berselerak di seluruh negara.

Guru lelaki sekolah anak saya sedikit amat bilangannya. Bila kejohanan peringkat antara sekolah, daerah dan negeri berlangsung antara Mac dan Mei, ramai dari guru lelaki ini yang kena mengiring pelajar ke kejohanan dan meninggalkan kelas (walaupun mereka mengajar darjah enam) kadang-kadang selama 2 minggu setiap kali outstation.

Mungkin guru besar tidak pandai membahagikan tugas akademik dan bukan akademik kepada guru-gurunya.

Tidak ada peruntukan khusus untuk pembelian barang sukan malah sekolah masih lagi tidak membenarkan pelajar menggunakan padang dan dewan semasa rehat dan masa transit sesi pagi dan petang. Tidak seperti sekolah 20/30 tahun dulu.

Mungkin belanja membaiki rumput, menyelenggara dewan selain kehilangan dan kerosakan alat sukan semasa dalam penggunaan murid menyebabkan beban kos yang amat besar kepada pihak sekolah dan kementerian.

Akhir kata, masuk angin keluar asap.

Mungkin 2012, dasar 1M1S dapat dijalankan sepenuhnya.

Kah kah kah.

Kamarul.

Anonymous said...

semua tuding pada cikgu kan.?????

tahu tak.... pada penghujung akhir tahun nanti, apa yang Kem Pelajaran, Jab Pelajaran negeri, Pejabat Pelajran Daerah tengok?

Diaorg takkan, tak pernah, kompom tak akan tanya tentang sukan kat sekolah... tapi apa yang dia tanya? dia akan tegok tu... ha, carta kat dinding bilik guru besar. carta apa? haaaaa... carta prestasi akademik...

Haaaa.... berapa 5A..? berapa gagal? berapa lulus? Ni kenapa boleh gagal budak ni? ni kenapa boleh dapat C aje ni....?

Sukan...? tanya? x ada tanya la beb... yang diorang nak, tiap2 taun mesti ada hantar laporan,.. orang nak tipu ke, orang nak main tutup mata ke... x kisah...

Hujung taun juga la masanya nak tengok Jab Pelajaran negari sibuk bandingkan negeri masing2 dengan negeri lain... Kalau gagal, siap la taun depan, teruk la dikerjakan negeri tu untuk kembali bersaing... Kalau berjaya... lagi teruk untuk kekalkan prestasi...

aku cikgu sukan... cikgu pj pun ye juga, cikgu matematik pun juga... jangan cerita tentang komitmen dan dedikasi pada aku.... sebab kalau korang sanggup buat loan bank rakyat sampai 5k semata2 nak bangunkan sukan kat sekolah, macam aku, barulah korang boleh cerita pasal kmitmen dan dedikasi...

aku suka dan aku enjoy melatih budak, selain membentuk disiplin yang tinggi, sukan juga melahirkan pelajar cerdik... budak tempat aku dari kalangan estet... kalau cuti seminggu, aku start latih pagi.. kul 12 bagi kelas tambahan, bini aku masak makan tengahari, lepas sembahyang, kelas lagi sampai kul 3 dan latihan sampai kul 6...

tapi itu 7 tahun dan sebelumnya.... selepas itu, dengan dasar budak sekolah rendah mesti dapat 5A, jadi atas tuntutan itu.. aku (dan juga ramai guru sukan seluruh negara yg sama species) terpaksa lah ikut trend semasa...

kesimpulannya... bukan semua guru yang main lepas tangan macam beberapa komen tu sebut... (ada jugak x nafikan) tapi kalau nak disalahkan, semua jugak salah.. termasuk la ibubapa jugak... Maaf cakaplah... main bola x boleh, tak jamin masa depan, kena study , g kelas tambahan, rupa2nya anak kat bilik surf internet tengok gambar bogel...

aku sokong dasar baru ni... aku x nak komen sebab baru setahun jagung... tapi kalau boleh, laporan menyeluruh setiap penggal mesti ada supaya penambahbaikan berlaku... laporan bukan duduk kat ofis main bagi surat mintak sekian2 ari bulan... turun lah, tengok la, kerah la... claim la mileage banyak pun tak apa, yg penting objektif tercapai....

akhir kata dari aku... sukan melahirkan murid yang cerdik, berdisiplin, sihat, dan juga bertanggungjawab... ko tak akan jumpa murid yang ulat buku angkat tangan dan menyapa ko di kompleks membeli belah, tapi... budak2 yang ko jerit kat tengah padang/ gelanggang lah yang akan tegur sapa (siap belanja minum lagi) korang...

Falsafah Pendidikan Negara telah cukup lengkap... cuma ajukan sendiri pada pihak yang bertanggungjawab... sejauh mana ianya diikuti... aku pihak pelaksana dasar.. apa yang orang suruh aku buat.... kalau akhir tahun orang nak tengok prestasi akademik kat dinding bilik guru besar meningkat, apa lagi aku nak jawab..?

dan juga sampai sekarang, untuk pengetahuan korang.... sampai sekarang, setiap kali cikgu2 bawak budak pergi aktiviti luar sekolah (walaupun dengan surat izin ibubapa) sebelah kaki kteorang kat dalam penjara.... sekian....

Anonymous said...

Respect kat anonymois said cikgu sekolah mane kalu boleh saye nk hantar anak saye kat sekolah cikgu mengajar sampai loan bank rakyat nk bangunkan sukan sekolah....sekolah anak saya sekarang buat sukan olahraga tahunan cincai boncai saje nak tgk anak saye lari pun tak dapat sebab buat waktu sekolah pas tu kene lumba ngan budak form 3 malas la tu nk buat banyak acara pas tu lari gune 4 lorong saje budak tadika punye sukan tahunan lagi bagus