Saturday, May 24, 2008

Aku di kaca TV



Aku muncul di kaca TV siang tadi, menerusi rancangan Fokus Bola di TV1.

Perantaranya siapa lagi kalau tidak Haji Zainal Abidin Rawop, manakala aku diapit bekas penyerang kebangsaan, Haji Azlan Johar.

Antara tajuk yang disentuh sudah tentu Champions Youth Cup (CYC) dan kenyataan daripada DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah (gambar), yang tidak memberi restu kepada CYC.

Selaku antara yang paling awal menentang kewujudan pertandingan semahal ini, iaitu RM17 juta untuk hak penganjuran saja, aku mengulangi pendirian aku sambil menyalahkan peneraju Kementerian Belia dan Sukan yang terdahulu.

"Kemelut ini berpunca daripada pihak yang tidak menghormati institusi-institusi di negara ini. Dalam hal ini KBS tidak menghormati FAM selaku persatuan kebangsaan yang mengawal selia kegiatan bola sepak tempatan.

"Saya antara wartawan yang mempertikai tindakan KBS membawa kejohanan ini. Apabila ia dilancarkan tahun lepas, saya mengajukan soalan kepada YB Menteri Belia dan Sukan ketika itu kenapa kita harus membayar harga yang mahal untuk membawa pasukan-pasukan ini.

"Mereka menjual idea kononnya sebagai balasan pemain muda kita mendapat peluang berlatih di luar negara, umpamanya dua pemain di Chelsea, Bunyamin Umar dan Baddrol Bakhtiar. Tapi kita dapati pemergian mereka ditaja oleh MSN, bukan promoter.

"Kita harus maklum perjanjian yang ditandatangani adalah di antara KBS dan promoter Gifted Group Ltd. Perbincangan saya dengan bekas setiausaha agung FAM Datuk Seri Ibrahim Saad juga menunjukkan bahawa FAM memberi kelulusan terhadap CYC kerana tit-for-tat atas alasan KBS menerusi MSN menyalur dana kepada FAM.

"Masalah ini adalah masalah FAM dan KBS, bukan Gifted kerana sebagai promoter mereka menjalankan perniagaan."

Ringkasnya, aku menyalahkan KBS. Bukan Menteri sekarang tapi Menteri terdahulu lah.

Aku bersimpati terhadap Menteri Belia dan Sukan hari ini. YB Bera tidak sepatutnya menanggung masalah ini. Inilah orang putih kata, "he's paying for the sins of his predecessor."

Bagi mereka yang menganggap kenapa baru sekarang FAM menyuarakan bantahan, ceritanya begini:

1. Gifted tidak mahu menggunakan bantuan teknikal FAM, sebaliknya berurusan terus dengan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC). Dalam mana-mana kejohanan antarabangsa yang diadakan di Malaysia, FAM selaku governing body harus terbabit secara langsung dalam menyediakan sokongan teknikal, umpamanya match co-ordinator, general co-ordinator, venue co-ordinator, pegawai perlawanan, pengadil dan referees' assessor. Memandangkan FAM langsung tidak terbabit, bagaimana mungkin ia meluluskan kejohanan berkenaan?

2. Jika kita hendak mengadakan kenduri di rumah sahabat kita, adakah wajar kita berurusan dengan ibu (KBS) atau bapa (KBS) atau datuk (FIFA) sahabat kita? Sudah tentu ia harus mendapat restu sahabat kita lah, bukan?

3. Kenapa FAM memberi restu kejohanan ini tahun lepas? Cerita dalamannya menyebut bahawa FAM terpaksa berbuat demikian kerana MSN menyalurkan bantuan kewangan. Maknanya tangan Ibrahim Saad terikat. Kesilapan Ibrahim Saad ialah beliau tidak memaklumkan perkara ini kepada exco FAM dan Tuanku Presiden.

4. Kenapa AFC boleh berurusan terus dengan Gifted? CYC bukan kejohanan AFC, sebaliknya sekadar satu idea entah daripada siapa! Siapa yang untung?

5. Kenapa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Azalina Othman Said melawat AFC tahun lepas tidak lama selepas kemelut Manchester United dan CYC, sedangkan kita tahu AFC dan FIFA amnya rimas dengan campur tangan mana-mana kerajaan!

6. Kenapa AFC melantik bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, sebagai pengerusi jawatankuasa audit dalamannya?

7. Benarkah Najib yang mengarahkan Azalina supaya menerima projek CYC ini, ataupun ia sebenarnya idea penasihat-penasihat Azalina yang kononnya pakar dalam arena sukan?

8. Kaji latar belakang setiausaha agung FAM, Lt Jen (B) Datuk Azzuddin Ahmad. Tidak seperti politikus Ibrahim Saad yang sudah tentu bertindak secara populist, Azzuddin dikenali sebagai seorang yang cukup particular. Setiap resit perbelanjaan disimpan.

9. Kenapa FAM dan AFC tidak sependapat dalam banyak hal? Kenapa penolong setiausaha agung FAM, Haji Saifuddin Abu Bakar dan ketua jabatan pertandingan FAM, Kelly Sathiraj, meninggalkan AFC tahun lalu, hanya beberapa hari sebelum Piala Asia diadakan?

10. Kita juga harus ingat presiden AFC, Mohamed Hammam, menggantikan Baginda Tuanku Sultan Pahang selaku presiden gabungan itu pada 2002.

11. Tahun lalu Gifted membelanjakan RM2 juta untuk membawa pakar teknikalnya sendiri. FAM hanya menyediakan pengadil, penolong pengadil dan referees' assessor.

Apahal? Barangkali macai-macai macam tepakbersulam boleh jawab?

1 comment:

Anonymous said...

Bro aku harap kau akan selalu mendapat peluang berada di dalam kaca tv supaya lebih banyak perkara 'tersembunyi' di suarakan. Majulah rizalhashim untuk negara



B.P.