Backpage lead atau story utama muka belakang yang pertama untuk aku di Berita Harian ialah kisah regu emas dikumpul semula pada 1992. Ceritanya berkisar kepada usaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memujuk Rehan Mat Din dan Abdul Malek Shamsuddin - dua anggota regu yang memenangi emas Sukan SEA 1989 dan Sukan Asia 1990 di sisi tekong Nordin Sabaruddin - untuk menyarung semula jersi negara.
"Apa ada brother?" Hah, ada back page story?" tanya pengarang sukan, Zian Johari. Aku diam. Bukan macam sesetengah orang yang pandai menjual kerja-kerja mereka, aku sekadar mengetuk story.
Tidak berapa yakin menyusun ayat, aku meminta pertolongan Saodi Mat Atar, kini setiausaha akhbar Menteri Besar Johor. Saodi dianggap abang long meja sukan di sisi Badrulhisham Othman dek kerana reputasinya sebagai ahli fikir dan contactnya dengan officialdom.
"Aku tahu macam mana story ini boleh go backpage...kita main sentimen, Zian cukup suka ni...kita tambah background," kata Saodi. Selaku junior dan budak hingusan, akupun akur.
Ikut tradisi Berita Harian, byline backpage kena belanja desk minum petang. Dari kantin NSTP, aku mengangkat jag teh tarik dan teh o menaiki tangga hingga ke tingkat empat. Mujur dah biasa buat benda yang sama setiap Rabu apabila team Jaguh bermesyuarat dipengerusikan Zian.
Susulan itu, aku dikerah oleh Zian untuk buat follow-up dengan Rehan. Agak lama Rehan keberatan untuk ditemu bual. Hanya selepas beberapa minggu aku berjaya melembutkan hatinya, lalu kisahnya dikongsi bersama dalam kolum Soal Jawab.
Nostalgia ini bertujuan menghidupkan semula memori aku menjelang temasya Libas hujung bulan ini.
Dari kiri - Nordin Sabaruddin (tekong emas yang muncul juara Sukan SEA 1989, Sukan Asia 1990), Ku Halim Ku Musa, Rehan Mat Din (killer top sezaman Nordin), Ahmad Jais Baharum (tekong emas Sukan Asia Hiroshima 1994), Baharom Johar dan Rosli Ab Rahman
Killer era penghujung 80-an, Raziman Hassan (kanan) kini berambut panjang bersembang dengan Sahak Yassin
SIARAN AKHBAR
KUALA LUMPUR – Ibarat satu majlis pertemuan semula atau reunion, Majlis Sukan Negara (MSN) menyeru semua bintang legenda dari seluruh pelosok Malaysia, hadir beramai-ramai untuk memeriahkan sebuah kejohanan sepak takraw khas untuk mereka, Libas Memori pada 31 Oktober ini.
Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat, Kuala Lumpur bakal menyaksikan kejohanan yang bertujuan merapatkan semula silaturahim jagoan silam, bekas jurulatih mahupun pegawai dan penggiat sepak takraw sambil mengembalikan populariti dan kegemilangan sukan ini.
Pemain yang pernah mewakili negara sejak era 60-an hingga akhir 2002, amat dialu-alukan menyertai Libas yang turut menghidangkan peluang keemasan buat para peminat setia sepak takraw mengimbas semula kehebatan servis deras dan libasan padu mereka.
Jagoan silam yang dijangka hadir ialah Esmon Bajuri, Sahak Md. Yassin, Jusri Rick, Azman Ismail, Adnan Saidin, Zahir Awang, Ibrahim Abu Bakar, Shaari Hashim, Raziman Hassan, Rosli Ab. Rahman, Nordin Sabaruddin, Rehan Mat Din, Ku Halim Ku Musa, Baharom Johar dan ramai lagi.
Ganjaran hampir RM5,000 selain piala dan pingat, menanti juara, naib juara dan yang regu yang kalah separuh akhir dalam kejohanan berformat antara regu dari pukul 9 pagi hingga 5 petang ini.
Turut diundang menyaingi bintang legenda juara Sukan SEA, Sukan Asia, Kejohanan Sedunia MAS-Utusan-RTM dan Piala Raja Thai ini ialah ialah beberapa regu pegawai dan petugas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), kakitangan MSN dan Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris).
Libas Memori diinspirasi daripada kejayaan Libas - Liga Sepak Takraw Jemputan Bersama Keris-PSM-Harta Maintenance Sdn. Bhd. di gelanggang sama pada 9 Ogos lalu yang disertai regu bintang legenda, wakil media massa, PSM, MSN dan artis tanah air.
Bintang legenda sama ada pemain, jurulatih dan bekas pegawai PSM yang berminat menyertainya, boleh menghubungi Setiausaha Kejohanan Sepak Takraw Libas Memori, Hazani Hashim, 019-2526960 atau Abdul Hafiz Ahmad, 019-2121778 untuk keterangan lanjut.
No comments:
Post a Comment