"Ada Encik Sham..." jawabku, agak terkejut.
"I'm sending you to Jakarta...you will accompany Bakti (Norbakti Alias, kini pengarang sukan Berita Harian) and cover the Thomas Cup. You'll be his sidekick."
Tugasan pada Mei 1994 itu diserahkan kepadaku tanpa disangka-sangka. Apatah lagi aku ketika itu merasakan bukan sebahagian kelompok yang disukai Hishamuddin.
Namun, benarlah mutiara kata Nasir Ahmad, "hero Hindustan akan menang jua akhirnya". Kata-kata itu terngiang-ngiang di mindaku di saat Hishamuddin mengarahkan aku memulakan "build up" menjelang Piala Thomas, sebulan sesudah dia dilantik menggantikan Zian Johari selaku pengarang sukan Berita Harian.
Pada hari-hari awal pemerintahannya, Hishamuddin melabel aku orang Zian. Bagi aku, tanpa mengira siapa bos, aku buat kerja. Orang baru dalam industri, harus rajin, tidak main politik dan buktikan keupayaan tanpa bergayut kepada orang besar.
Barangkali Hishamuddin sekadar menguji aku apabila tidak menggunakan beberapa story yang aku buat, semata-mata untuk menguji sejauh mana ketahanan mentalku.
Atas dorongan Nasir yang menasihatkan aku agar terus membuat story seperti biasa, aku cekalkan hati. Tiga tahun di bawah Zian mengajarku erti kesabaran.
Khalid Redza, Radzi Wahab (Ronny), loose cannon dan Norbakti Alias di Lapangan Terbang Subang pada Mei 1994. Di sini Khalid berjanji kepada Emak "takpa makcik, saya jaga anak makcik..."
Di Jakarta, aku lebih banyak memainkan peranan pendokong kepada Bakti. Aku buat side story Piala Thomas dan meliput Piala Uber, manakala Razali Yahya yang ketika itu wakil Berita Harian di Jakarta, menjadi ghost writer untuk kolum Icuk Sugiarto.
Mustahil aku dapat melupakan Jakarta'94. Selain ia dikenang selaku detik kemunculan Tan Kim Her-Yap Kim Hock dan persaraan Razif-Jalani Sidek, final menentang Indonesia akan tersimpan dalam lipatan sejarah peribadiku.
Malaysia tewas 3-0 dan pengadil kejohanan Roger Johansson memutuskan tidak meneruskan dua perlawanan lagi apabila penonton menyerbu gelanggang. Penonton bertindak liar membaling botol air, kayu tiang bendera serta meludah ke arah pemain negara. Pemain perseorangan ketiga, Ong Ewe Hock, turut menjadi mangsa balingan kayu bendera sebaik perlawanannya dengan Ardy Wiranata berakhir, dua jurulatih, Chen Changjie dan Yang Yang, dibaling dengan botol air galian manakala pengurus pasukan, Datuk Punch Gunalan diludah penyokong ketika keadaan tidak terkawal lagi.
Di mana aku ketika itu? Di depan mereka, terperangkap di tengah-tengah haru-biru itu sebelum mengekori pasukan ke bilik persalinan dan seterusnya bilik rehat. Mujur wajah nusantaraku menyelamatkan aku!
Aku bersama Bakti dan rakan-rakan lain, termasuk semua anggota pasukan dan jurulatih mental, Rahim Dahalan atau lebih dikenali dengan jolokan Rahim King, berkumpul di dalam bilik rehat dan menunggu lebih sejam sebelum pulang ke Hilton Jakarta.
Di saat itu penonton yang merusuh mengetuk pintu dan menghentam cermin bilik serta melemparkan kata-kata kesat ke arah pemain negara.
Itulah akibatnya apabila penganjur membenarkan 12,000 penonton memasuki stadium yang hanya boleh memuatkan 10,000 orang. Yang peliknya penonton dibenarkan membawa masuk pelbagai barangan, termasuk botol minum dan kayu tiang bendera.
Turut berada di stadium satu pasukan khas daripada Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) untuk mengejek pemain pasukan lawan, sekali gus membakar semangat penonton.
Keesokannya, dalam pada Bakti sibuk membuat reviu kejohanan, aku memetik akhbar Suara Pembaharuan untuk menyimpulkan rumusan kekacauan penonton yang mencemari final di Istora Senayan.
Akhbar itu menganggap semua pihak sepatutnya mengambil iktibar daripada Insiden Scheele 1967 untuk mengelakkan kejadian penonton terlalu liar sehingga menyerbu ke gelanggang.
Insiden Scheele dikenang sebagai peristiwa Indonesia kehilangan Piala Thomas berikutan keputusan pengadil, Herbert Scheele, menghentikan perlawanan akhir di antara tuan rumah dan Malaysia di gelanggang yang sama pada 1967.
IBF kemudian memberi kemenangan kepada Malaysia selepas Indonesia enggan meneruskan permainan di gelanggang berkecuali.
Dalam pada itu, aku percaya aku menjalankan tugasku dengan baik kerana sejak itu, Hishamuddin menaruh sepenuh kepercayaan kepadaku.
2 comments:
rizal,
hanya jauhari yan mengenal manikam.
saya fikir zian dan selepas tu hisham nampak dah potensi menonjol u.
zian sayang u dan hisham pun samalah tu.
teruskan perjuangan murni sdra demi sukan tercinta.
Pemerhati setia,
Bangsar
memang hebat..saya kagum dgn kehebatan saudara rizal nie...
Post a Comment