Monday, August 30, 2010

Sempena ulang tahun kemerdekaan


MASIH segar dalam ingatan penulis apabila dibawa ke Stadium Merdeka untuk menyaksikan Pestabola Merdeka edisi 1980. Dipimpin oleh arwah bapa, penulis teruja dengan peluang menonton aksi nama-nama masyhur yang hanya dikenali menerusi pembacaan akhbar dan majalah Dunia Sukan terbitan Utusan Malaysia.

Final tahun itu mempertemukan Malaysia dengan Maghribi. Dengan reputasi sebagai pasukan yang layak ke temasya Sukan Olimpik beberapa bulan sebelum itu, Malaysia dilihat mampu melakar kemenangan.

Penulis menonton dari belakang gol. Maghribi mendahului 2-0, dengan jaringan kedua mereka disempurnakan menerusi sepakan percuma ketika penjaga gol negara, Chow Chee Keong dan bentengnya belum bersedia.

Sejurus sebelum wisel penamat, tiba-tiba penghulu benteng Soh Chin Aun, dengan stokinnya sudah tergulung ke pergelangan kaki, membuat larian solo dari kawasannya sendiri sebelum membuat penyudah. Sayangnya, segalanya sudah terlambat. Malaysia tewas 2-1. Penulis pulang kecewa.

Penulis dihambat nostalgia 30 tahun lalu kerana sambutan Hari Kebangsaan ke-53 Selasa ini. Ramai sudah tentu maklum Pestabola dianjur sempena kemerdekaan negara pada 1957.

Rembat Kosmo! menyingkap semula satu pertandingan yang bukan saja menjadi lambang kemegahan sukan Malaysia, bahkan dijadikan wadah pendedahan bertaraf Asia buat pemain, jurulatih, pegawai penganjur dan pengadil serta pentas pemain mencipta nama.

Jadi Pestabola secara retrospektif dihidangkan di muka 13.

Bos Manchester United Alex Ferguson mengutuk Manchester City dan trend jutawan-jutawan mengambil alih kelab Inggeris lalu membuat pelaburan besar-besaran. Ferguson menyifatkan trend ini sebagai pelaburan kamikaze dan isu ini dibincangkan di muka 3, manakala Galeri di muka 8 dan 9 menyentuh undian Liga Juara-juara Eropah.

Bagi mereka yang berusia 37 tahun, tentunya lebih selesa bermain bola sepak secara riadah tetapi Ryan Giggs masih membanting tulang membantu Ferguson dan United. Ikuti kisahnya di muka 7.

Dalam keseronokan mengikuti bola sepak luar negara, wajar juga kita menghulurkan sokongan kepada arena tempatan. Fikirkan apakah sumbangan kita dalam memberi nafas baru kepada industri sukan itu, sama ada menghantar anak bermain di klinik mingguan, menjadi sukarelawan di padang atau bermain di bawah terik mentari.

Merdeka harus membawa makna kita bebas membuat keputusan yang kita fikirkan betul. Kalau bukan kita yang menyokong rakan senegara kita, siapa lagi? Selamat Hari Kebangsaan.

Jumpa lagi.

Rizal

No comments: