Wednesday, February 3, 2010

Kisah orang Dungun

Dungun...daerah yang melahirkan dua jaguh - satu dalam acara olahraga, satu lagi lumba basikal. Nazmizan Muhamad dan Azizulhasni Awang. Bahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, adalah anak jati Dungun.

Sekarang segelintir penduduk di Kampung Sura, Dungun, sudah jadi jaguh membantah dan mengugut. Membantah velodrom dibina di kawasan mereka.

Cabaran besar buat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Zolkples ialah komunikasi...bagaimana menyalurkan maklumat yang tepat kepada audiens tanpa bergantung kepada ketua kampung.

Dengar khabar velodrom yang bakal dibina turut mempunyai pusat permainan dalam dewan. Selain kegiatan ekonomi yang bakal terbit daripada pembinaan velodrom itu, bukankah lebih banyak aktiviti riadah boleh dikendalikan? Bola jaring, futsal, bola sepak, badminton?

Usah bercakap mengenai duit. Kalau nak infrastruktur, kena belanjalah. Tinggal lagi, berpada-pada dan berbaloi. Jangan nanti runtuh pulak!

Sasaran Kata
Norbakti Alias (pengarang sukan Berita Harian)

BANTAHAN penduduk terhadap pembinaan mini velodrom di Kampung Sura, Dungun, Terengganu, sememangnya sesuatu yang mengejutkan apa lagi majlis pecah tanah yang seharusnya berlangsung hujung minggu lalu terpaksa dibatalkan.

Ketika Terengganu sudah melahirkan ramai pelumba basikal terkemuka sama ada dalam acara lebuh raya dan trek khususnya Azizulhasni Awang yang dilihat antara prospek terbaik pingat emas di Sukan Olimpik 2012, tentu ramai yang beranggapan negeri itu wajar memiliki velodrom.

Namun penulis bukan mahu menyalahkan penduduk setempat atas bantahan itu kerana mereka mungkin punya alasan tersendiri apa lagi jika bantahan itu dibuat demi kepentingan ramai.

Penulis difahamkan tapak yang dicadangkan adalah satu kawasan lapang yang kini digunakan oleh penduduk setempat bermain bola sepak, biarpun ia bukan padang yang sebenarnya.

Berbanding velodrom yang penggunaannya pasti terhad kepada kelompok atlit tertentu sahaja, tentu ramai yang bersimpati dengan penduduk kampung yang lebih mahu mengekalkannya untuk mereka beriadah atau bermain bola sepak di situ.

Cuma penulis tertanya-tanya bagaimana kawasan di Kampung Sura itu dipilih jika rata-rata penduduk di situ dikatakan lebih gemarkan bola sepak? Takkan setakat Dungun dipilih kerana ia adalah daerah kelahiran Azizulhasni.

Bukannya apa, penulis khuatir jika dibina velodrom di kawasan yang permintaannya kurang, ia akhirnya akan menjadi projek Gajah Putih, sama seperti Velodrom Rakyat di Ipoh.

Inilah ujian besar yang harus dipikul Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong, yang kebetulan adalah anak Terengganu sendiri, untuk memastikan kemudahan sukan digunakan sebaik-baiknya bagi melahirkan atlit berkelas dunia.

Perancangan yang teliti harus dibuat bersama kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk mendapat lokasi paling sesuai, tanpa perlu mengorbankan kawasan sukan atau riadah lain, sambil memastikan kewujudan velodrom itu dapat dimaksimakan penggunaannya. Jangan nanti dikatakan menang sorak, kampung tergadai.

Bercakap mengenai Azizulhasni, penulis tertarik dengan kenyataannya mahu membuktikan prestasi ahli sukan tiada kena mengena dengan perkahwinan, selepas dia melangsungkan pernikahannya Sabtu lalu.

Ia pastinya satu lagi cabaran buat Azizulhasni apa lagi sejarah atlit tempatan menunjukkan fakta yang bertentangan di mana kebanyakannya tampil hambar khususnya pada tahun pertama perkahwinan.

Sebenarnya tidak perlu untuk melihat jauh. Ada beberapa pemain daripada skuad hoki ke Piala Dunia Remaja di Rotterdam, Belanda, pada 2005 seperti Mohd Sufian Mohamad dan Ismail Abu yang berkahwin pada usia muda, dan kemudian hilang daripada sukan negara.

Pemain badminton negara, Hafiz Hashim juga adalah antara contoh terbaik dan sehingga kini masih dalam proses mencari sentuhan lamanya. Tidak hairanlah ada pegawai-pegawai persatuan sukan yang bimbang jika atlit mereka berkahwin muda apa lagi ketika berada pada kemuncak prestasi.

Bukan maksud penulis bahawa ia adalah salah atau satu kesilapan berkahwin pada usia muda, cuma atlit perlu bersedia memberikan pengorbanan yang lebih besar jika mahu terus berjaya dalam sukan yang diceburi mereka, sambil memberi perhatian kepada keharmonian rumahtangga.

Di sinilah disiplin atlit menjadi ukuran dan harus bersikap profesional dalam menentukan baik buruk dalam kerjaya sukan mereka.

Penulis percaya ketika ini pastinya ramai yang tertunggu-tunggu mahu melihatkan kejayaan Azizulhasni bermula di Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac ini diikuti Sukan Komanwel dan Asia pada penghujung tahun.

Berkat sokongan isteri dan disiplin serta kemahuan tinggi Azizulhasni, penulis percaya aksinya turut dinanti-nantikan warga sukan di negara ini, untuk membuktikan perkahwinan bukannya penghalang dalam menikmati kejayaan.

3 comments:

Anonymous said...

Azam dungun pun org Dungun bro....

Anonymous said...

ellleeh! org yg buat kacau tu xmewakili org dungun. hanya org yg pakai serban yg mengaku ahli sufi n prasan bagus.... anok2 muda semua bengang.

Anonymous said...

bro, hakikatnya org2 tganu termasuk dungun dah muak dgn PEMBANGUNAN bangunan2 n sport facilities berjuta2 ringgit..akhirnya semua tu jadi pojek gajah putih..atau runtuh menyembah bumi..
velodrom? kalu dibina mungkin nasibnya sama..jgn salahkan org dungun...