Menyerahkan 'Akif di bawah jagaan Pakcik dan Makciknya, akupun melangkah ke media box, bertemu dengan beberapa rakan-rakan dan personaliti media. Yang seangkatan dengan aku hanya seorang - Eric Samuel dari the Star yang juga naib presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM).
Pertembungan Malaysia dan Korea Selatan, biarpun di peringkat umur, jarang sekali dapat disaksikan, apatah lagi ketika jurang di antara dua negara ini semakin luas.
Tidak silap aku perlawanan kompetitif terakhir di peringkat umur membabitkan dua seteru lama ini ialah 10 tahun lalu, apabila Lee Chun-soo mengepalai serangan barisan bawah 20 Korea Selatan yang menewaskan anak buah Allan Harris 7-3. Generasi skuad Harris bukan calang-calang. Penjaga gol Syamsuri Mustafa, benteng pertahanan dianggotai Norhafiz Zamani Misbah, Mazuki Yusof dan Irwan Fadzli Idrus, manakala Indra Putra Mahayuddin permata digilap, menembusi penjuru kanan Korea Selatan menerusi larian mengelirukan.
Perlawanan pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 20 Asia itu berkesudahan dengan Azralan Azmi menyumbat hatrik. Satu pencapaian yang bukan kecil bagi aku. Tidak lama selepas itu, aku menulis dalam the Malay Mail Azralan bakal ke Jerman untuk menjalani ujian pemilihan.
Pada Pestabola Merdeka 1995, dengan Lee Woon-jae selaku penjaga gol dan Anatoly Byshovets si jurulatih, anak buah Hatem Souissi mencatat kemenangan 2-1 hasil jaringan Annuar Abu Bakar dan Liew Kim Tu di Stadium Merdeka.
Antara yang menyarung jersi kuning adidas Malaysia ketika itu orang kampung aku, Salim Khamis selaku sweeper dibantu Zahasmi Ismail, Mazlan Wahid menjaga gawang, K. Sanbagamaran menjana enjin tengah, Affendi Julaihi berlari di penjuru kanan seolah-olah tanpa henti dan Annuar serta Mat Zahir Wahab mengetuai serangan.
Pestabola Merdeka 1993 pula menyaksikan Khairul Azman Mohamed dan rakan-rakan menewaskan Korea Selatan B 3-1 untuk muncul juara. Antara kesebelasan permulaan Ken Worden ketika itu ialah P. Maniam, A. Jayakanthan, K. Gunalan, Malek Rahman, Ahmad Yusof, Azizol Abu Haniffah, Mubin Mokhtar, Azman Adnan dan Dollah Salleh.
Memori negara terhadap kejayaan 1980 juga segar dek kerana iklan Maxis.
Cukup pasal sejarah.
Malam tadi, K. Rajagobal yang membariskan Safee Sali dan K. Linggam ketika menentang Korea Selatan dalam kejohanan Bawah 20 antarabangsa anjuran ProEvents pada 2003, menamakan Sharbinee Allawee Ramli, Sabre Mat Abu di bek kanan, Asraruddin Putra Omar di bek kiri dan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Nasriq Baharom di pertahanan tengah manakala Amar Rohidan, Safiq Rahim mengawal jentera tengah dengan S. Kunanlan di kiri dan Fakri Saarani di kanan. Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Abdul Radzak di jentera serangan.
Jurulatih Bawah 23 Korea Selatan, Hong Myung-bo, membariskan Lee Bum Soo, Jeong Dong Ho di bek kanan, Jang Suk Won dan Kim Oh Kyu di tengah dan Park Hyung Jin di kiri, Kim Dong Hee di sayap kanan dan Go Moo Yul di kiri dengan Lee ChangYong dan Jung Woo Yong di tengah serta Jeon Hyun Cheol dan Park Hee Seong selaku dua penggempur.
Apabila umpanan Zaquan seawal minit keempat disambut Shahrul Idlan dengan merembat sipi, tanda-tanda perlawanan menjadi sengit tergambar. Percubaan Fakri pda minit ke-13 pula tepat ke tubuh Bum Soo, manakala lorongan cantik Safiq yang menembusi pertahanan tengah Korea menemui Kunanlan yang bertembung dengan Bum Soo pada minit ke-39.
Satu-satunya percubaan tepat Korea hadir pada minit ke-41 apabila sepakan percuma Woo Young mencium palang dan bola muntah gagal disempurnakan oleh Dong Hee.
Waktu rehat, terserempak dengan bendahari FAS dan calon exco FAM, S. Sivasundaram yang mendakwa disebabkan catatan blog ini, dia hilang kurang-kurang lapan undi menjelang pemilihan FAM Sabtu ini, selain Datuk Hamidin Mohd Amin, Mej Rani Abdul Rahim dan Faizal Zakariah dan Haji Wahab ayah Saniah bekas kakitangan FAM.
Enam minit selepas rehat, Safiq mencipta jaringan menakjubkan, menjadikan tidak sia-sia kunjungan aku dan 3,000 penonton ke Stadium Nasional. Dalam satu serangan balas, Safiq membuat umpanan jauh ke arah Zaquan yang dijatuhkan oleh Suk Won. Sepakan percumanya dihadang pertahanan Korea tetapi disambut semula tonggak Selangor itu sebelum mengelak terpaan dua pemain lawan sebelum meledakkan jaringan.
Benar, pasukan Korea Selatan ini dianggotai kebanyakannya amatur, berusia secara purata 21 tahun dan baru dikumpulkan. Apapun, kredit kepada Rajagobal dan anak buahnya. Tidak wajar kita sentiasa bersikap negatif.
Pujian harus diberikan kepada Kunanlan yang banyak membantu Asraruddin melindungi penjuru kiri. Safiq pula harus memikirkan peluang beraksi di luar negara, barangkali Indonesia atau Singapura agar dia tidak mudah tenggelam dengan kesenangan di Liga M.
Kemenangan ini sebenarnya penting untuk membina keyakinan sepasukan dalam rangka persiapan menghadapi Sukan Asia di Guangzhou dan Piala AFF kelak!
Pegawai media FAM, Raja Azura Shamim Raja Zamani, Myung-bo dan pengarang sukan Astro Awani, Fadzrie Hazis
Ikon RTM, Hafizal Hamad dan rakan baiknya, K. Rajagobal
Ultras Harimau Malaya tidak ketinggalan
memberi peringatan...
'Akif didukung oleh Subkhiddin Mohd Salleh
6 comments:
Haa? what's with Siva? I don't think you've put any demoting remark on him on the previous post .. no?
Oh yes .. Congratulations are in order for Rajagopal and his football crew :-)
..no matter what S.Rajagobal think, given the standard of Malaysian football today, I thought the goal was a fluke..:)..however it does bring to the fore a moot point - that the future of our football lies in the youth..perhaps from the generation of your 'Akif onwards..if the Germans can do it, no reason why we can't..tahniah Safiq...
Bro Rizal, kisah malam tu boleh tak diceritakan pada anak cucu kita? cukup membanggakan tak?
Nice .. mantap team malaysiaku sekarang.. jd perantau kat indonesia slalu miss tentang sepak bola malaysia.. so updated story layan kat http://www.harimaumuda.com/ je.. nw terubat gak tgk video malaysia main.. bro liga indonesia ni mantap jugak.. skali-sklai try la usha.. thx
Bro Rizal,
Gua dah lama tak ambek pot pasal FAM ni. Gua udah ketinggalan keretapi la bro...Rupa-rupanya Saniah dah angkat kaki ye?
Dalam pada tu, FAM dah ada pegawai media yg cun melecun ye? Bukan ke dia ni dulu yang attach dgn TM tu bro? Agak-agaknya brp lama le minah ni boleh tahan dgn FAM kan?
Kalau x jadi keberatan, boleh ke bro tolong rekomen gua dgn minah ni? Nak harapkan si ZAR tu rekomen gua dgn Edleen, entah bila la bro...dah letih gua tunggu. Hehehehehe
Mat Rock...apa da, apa komisyen wa dapat kalau lu berjaya sunting Edleen??? he he he...Dia budak baik beb, hard working & very serious...masa kerja. Bekas budak TM, wa panggil dia Kak Engku pun orgnya baik & rajin. Hopefully dia bertahan lama la...X sangka pulak dia tinggalkan Menara Rebung. BTW tahniah Rajagopal & the bhoys kerana menang. X kisahlah sapa yang Korea bawak, sebab Korea pakai jc Nat. Team bermakna depa very serious masa lawan kita. Cuma pas ni jgn 'helmet' atau 'topi' dah tak muat la kan.. Faham2 je sendiri.
ZAR
Post a Comment