Tuesday, October 12, 2010

Iklan percuma - perbarisan kontinjen

Aku dengar ramai naik angin dengan komen bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad baru-baru ini. Khabarnya sampai ke Kabinet. Baguslah. Usah ulangi kesilapan!


Atlanta Olympics 1996...Pn Tay's blog


Laos SEA Games 2009


APA SUDAH JADI DENGAN PAKAIAN KEBANGSAAN KONTINJEN KITA DI NEW DELHI
OLEH DATUK WIRA MAZLAN AHMAD


Sukan Komanwel ke-19 telahpun bermula dengan rasminya pada Ahad malam dan disiarkan secara langsung ke negara ini juga. Tumpuan sekarang ialah kepada pertandingan dalam acara-acara sukan yang disertai oleh setiap atlet yang mewakili 71 negara. Jumlah atlet dan pegawai yang menyertai Sukan Komanwel di New Delhi 2010 mencatat rekod baru mengatasi penyertaan di Melbourne, 2006. Penyertaan pada tahun 1998 di Kuala Lumpur juga telah mencatatkan satu rekod yang baru pada masa itu.


Saya tidak sempat melihat upacara perasmian ini tetapi melihatnya melalui liputan akhbar di pagi Isnin. Apa yang terdetik di hati sanubari saya ialah mengenai pakaian anggota kontinjen negara yang mengambil bahagian dalam upacara perasmian tersebut. Kontinjen kita tidak memakai pakaian kebangsaan ataupun baju Melayu sebagaimana yang biasa dilakukan apabila menyertai upacara perasmian di sukan temasya yang lalu.


Saya dimaklumkan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) tidak membekalkan anggota kontinjen dengan baju kebangsaan sebagaimana lazimnya oleh sebab-sebab yang tidak saya ketahui. Mungkin MSN menghadapi kesempitan kewangan sehingga tidak memungkinkan pakaian tersebut disediakan. Itu tekaan saya sahaja.


Berarak ketika upacara perasmian sukan temasya yang biasanya diberi liputan secara langsung keseluruh negara yang mengambil bahagian patut diambil kesempatan dalam mempamerkan identiti negara kita. Saya telah berdebat dengan seorang pegawai kanan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenai perlunya kontinjen kita memakai pakaian kebangsaan ketika menyertai upacara perasmian mana-mana sukan temasya samada di Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik. Saya terpaksa memaklumkan kepada beliau tradisi berkenaan telah bermula sejak Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur. Dengan bukti tersebut, barulah pegawai berkenaan mengalah tetapi beliau meminta MSN menyediakan pakaian ini oleh kerana MOM telahpun menyediakan seluar dan blazer sebagai pakaian kontinjen untuk berangkat pergi dan pulang ke tanah air. Mulai dari saat itu, MSN bertanggungjawab menyediakan pakaian perbarisan untuk upacara perasmian.


Kita perlu melihat perkara ini dengan serius. Sekiranya MSN atau KBS menghadapi masalah maka saya cadangkan pandangan dan bantuan Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia patut diminta untuk membantu menyediakan baju perbarisan ini. Kementerian berkenaan juga mungkin boleh memberi input terhadap rekabentuk pakaian berkenaan supaya dilihat menarik dan menggambarkan cantiknya budaya negara kita.


Pakaian blazer dan seluar tidak memberi apa-apa perbezaan dengan kontinjen-kontinjen negara lain kecuali songkok dan papan tanda yang menyebut nama negara kita. Kesempatan yang ada patutlah digunakan dengan sebaik mungkin supaya identiti negara kita dapat dipamerkan tanpa membayar apa-apa kos pengiklanan. Kita patut menggunakan peluang ini untuk ‘showcase’ negara kita supaya boleh ditonton oleh rakyat negara-negara lain. Barang diingat negara kita pernah menganjurkan sukan ini dan sudah tentu komentator televisyen akan menceritakan sedikit perihal negara kita sebagai negara Asia pertama menganjurkan sukan ini.


Kementerian Pelancongan Malaysia juga boleh memainkan peranan dalam menghias kontinjen kita untuk menyertai acara perasmian. Kementerian berkenaan patut juga mengambil peluang ini untuk mempromosi negara kita sebagai sebuah negara yang kaya dengan seni budaya rakyatnya. Pendek kata kita boleh melihat perkara ini secara strategik yang melibatkan kementerian atau agensi lain. Ini boleh dilihat secara merentasi sempadan tanggungjawab antara kementerian atau agensi dan bukan setakat di MSN sahaja.


Pakaian yang sama juga boleh dipakai oleh kontinjen yang akan bertanding di Sukan Asia pada penghujung tahun ini. Saya percaya sebahagian dari atlet terlibat dalam kedua-dua temasya besar ini dan kos boleh dijimatkan secara keseluruhannya.


Saya berharap perkara ini akan diperbetulkan supaya identiti kontinjen negara kita lebih terserlah di temasya sukan pada masa akan datang termasuk Sukan Olimpik 2012.

2 comments:

Hidup Shapawi said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

The NSC is lacking focus these days. That is why things like this happen.The issue over the atire for the Sabah weighltifter is to me something very serious. Yet, no one seems to want to take responsibility- including the Minister of Sports.Seems like if you win a medal, all is forgiven. By the way, Encik Rizal, maybe you should also ask, how come the DG of NSC has to be present at every international event? Salam 1Malaysia!