Ini kuambil dari Utusan Malaysia.
KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih basikal kebangsaan, Alwi Ahmad, 75, yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar mendapat perhatian Institut Sukan Negara (ISN) apabila agensi tersebut memberi sumbangan ikhlas bagi meringankan beban menanggung kos rawatan beliau.
Bapa kepada jaguh lumba basikal negara, Rosman Alwi itu diserang angin ahmar kali pertama pada tahun 2004 dan mengalami serangan kedua pada awal tahun ini sehingga menyebabkan beliau tidak mampu lagi berjalan.
Beliau yang menetap di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur hanya mampu menggerakkan tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya tetapi tidak boleh bertutur.
Bagi mengenang jasa Alwi, ISN akan membekalkan susu formula setiap bulan kepadanya yang merupakan sumber makanan utama beliau pada masa ini.
Menurut Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz, ISN juga akan mengatur agar Alwi mendapat rawatan fisioterapi secara terus di rumah jika beliau memerlukan khidmat tersebut dari ISN.
Beliau berkata demikian ketika melawat Alwi di kediamannya, baru-baru ini.
"ISN akan sentiasa berusaha menyumbangkan sumbangan kepada individu seperti Pak Alwi.
"Apa yang dilakukan kami hari ini adalah satu tanggungjawab sosial dan selaku agensi yang prihatin dengan nasib bekas atlet dan jurulatih kebangsaan, sudah pasti ISN cuba membantu mereka yang memerlukan sedaya yang mungkin," jelas Dr. Ramlan.
Menurut beliau, pihaknya juga akan menyumbangkan kusyen penahan tekanan dan tilam ortopedik untuk keselesaan Alwi yang terpaksa berbaring sepanjang masa.
Sementara itu, isteri Alwi, Nurli Nur Amin, 65, berkata, walaupun suaminya kini tidak mampu lagi untuk bergerak serta berjalan dan hanya boleh menggerakkan tangan kirinya untuk berinteraksi dengan keluarga, beliau masih lagi boleh mendengar apa yang diucapkan oleh ahli keluarga.
Lebih dikenali sebagai Pak Alwi, beliau begitu menyerlah sekitar tahun 1950-an sebaris dengan nama pelumba basikal Abdul Latif Wahab, Mansor Sawi, Malik Selamat, Low Bing Kong, Tay Bock Teck, Samat Kanawi dan Alwi Abdullah.
Alwi juga pernah menyandang tugas sebagai jurulatih kebangsaan termasuk membentuk Rosman menjadi jaguh pecut yang cukup disegani suatu masa dahulu.
No comments:
Post a Comment