Sunday, November 3, 2013
Piala Malaysia - fasa hidupku
Aku boleh bahagikan hidupku kepada lima fasa apabila bercakap mengenai Piala Malaysia.
Fasa penyokong
Akhbar, majalah Dunia Sukan dan kunjungan ke Stadium Merdeka mengikut arwah Ayah mendidik aku betapa istimewanya Piala Malaysia. Selain teruja dengan kolum Supermokh bergelar On Target, aku membesar mengagumi penulisan wartawa-wartawan seperti Fauzi Omar, Hishamuddin Aun (kedua-duanya kini bergelar Datuk), Lazarus Rokk, Dan Guen Chin serta Hussin Rahman. Paparan gambar Khalid Redza dan C.H. Loh biasa aku jadikan keratan akhbar (sudah dibuang). Dewasa sedikit, aku dengan Khairul dan Naguib menonton kempen Piala Malaysia peringkat kumpulan. Malangnya tiada gambar yang dirakam waktu itu, maklumlah mana ada twitter, facebook dan internet, sekadar album buat tatapan. Generasiku tidak ada keperluan untuk berkongsi semua in public.
Fasa wartawan
- Impian aku menjadi wartawan sukan tertunai apabila dipindahkan ke meja sukan Berita Harian pada penghujung 1991. Final Piala Malaysiaku yang pertama 1992, selaku wartawan untuk sisipan Jaguh Berita Harian yang disiarkan setiap Sabtu.
Watak tempelan itu cukup mengizinkan aku menyaksikan dari tepi padang kegagalan Azmi Mahmud yang melakukan clearance daripada lambungan Alan Davidson, lalu Zulhamizan Zakaria dengan mudah menolak bola ke gawang seawal permainan. Menemu bual Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil, menyelami kekecewaan pihak Kedah, sambil memerhati keraian barisan Pahang. Tanpa sebarang tekanan membuat laporan seberapa segera, aku pulang dengan beberapa idea untuk sisipan Jaguh. Beberapa hari kemudian, aku menulis untuk Jaguh kesebelasan impian sepanjang musim.
KERINGAT yang menitis ketika menghiasi medan bolasepak liga semi-pro dan Piala Malaysia 1992, sekadar tinggal imbasan untuk dihayati sebelum kehangatan pertarungan menyusul lagi musim depan.
Segelintir pemain yang bergelar bintang, begitu konsisten menghidangkan prestasi cemerlang, lantas mencetuskan persoalan menarik seandainya mereka digabungkan sebagai satu pasukan.
Adunan pemain terbaik di kalangan wira tempatan dan bakat asing, berupaya menangkap imajinasi pencinta bolasepak negara yang asyik mengelamun dan membayangkan barisan kesebelasan paling mampan dan serasi untuk sebarang strategi.
Hasil penelitian terhadap kelebihan dan kelemahan pemain berlandaskan persembahan masing-masing musim ini, Jaguh menampilkan 11 pendekar untuk diketengahkan sebagai Pasukan Impian.
- Pada 1994, disebabkan senior-senior seperti Badrulhisham Othman dan Saodi Mat Atar dinaikkan pangkat, dua wartawan yang menulis bola sepak ialah Ahmad Khawari Isa dan aku. Apabila menaiki teksi ketika ditugaskan ke sana sini meliput perlawanan, selalu aku ditanya kerja apa...kadang-kadang aku jawab, kadang-kadang malas. Tapi apabila disebut wartawan, biasanya abang teksi akan tanya akhbar mana, disusuli kenyataan mereka meminati Badrulhisham Othman...
Sudahnya aku ditugaskan antara lain meliput separuh akhir Singapura dan Selangor di Stadium Nasional di Kallang, disusuli aksi kedua di Shah Alam empat hari kemudian.
Selangor dilukai gol ke-26 Fandi
SINGAPURA 1 SELANGOR 0
SETIAP rencah bagi menambah keenakan perlawanan bola sepak terhidang malam tadi ketika selera Singapura untuk merintis laluan ke perlawanan akhir Piala Malaysia, semakin dipenuhi sebagai bekalan keramat ke Shah Alam, Sabtu ini.
Susunan pergerakan mengancam dan menarik, debar dan getar pemain yang turut dirasakan di Stadium Nasional serta pemberian dua kad merah, dilengkapi oleh jaringan Fandi Ahmad untuk melenturkan penguasaan Selangor.
Sambil Fandi berpuas hati kerana jaringan tunggalnya - golnya yang ke-26 musim ini - menjadi garis pemisah di antara dua bekas juara itu, Rafi Ali dan Assrof Hanafiah pula tentu mahu mengikis kenangan di depan kira-kira 55,000 penonton.
Akibat pergelutan dan siku-menyiku, mereka dibuang padang pada minit ke- 80 ketika Rafi baru seminit masuk menggantikan Lim Tong Hai.
SINGAPURA 1 SELANGOR 0
1-0: Fandi lambungkan bola umpanan Abbas.
SINGAPURA (4-4-2): David Lee, Jang Jung, Lim Tong Hai (Rafi Ali), Borhan Abu Samah, Kadir Yahya, Saswadimata Dasuki, Lee Man Hon, V Selvaraj (Stevan Tan), Nazri Nasir, Abbas Saad, Fandi Ahmad.
SELANGOR (5-2-3): Hassan Miskam, Ismail Ibrahim, A Jayakanthan, K Ravichandran, Dimitri Kalkanov, K Sanbagamaran, Assrof Hanafiah, Shahril Arsat (Yeo Swee Hock), Zsolt Bucs, Alistair Edwards, Azman Adnan.
Pengadil: Nazri Abdullah (PP).
Empat hari kemudian...
SELANGOR berjuang sepenuh hati dan berhak merakam kemenangan tetapi terpaksa menyerahkan kunci perlawanan akhir Piala Malaysia kepada Singapura akibat kesilapan pemainnya sendiri.
Singapura, juara liga yang memburu gelaran berganda musim ini, meneruskan langkah ke perlawanan akhir buat kali ke-11 sejak 1967, sambil Hassan Miskam pasti tertunduk layu kerana kesilapannya membunuh impian Selangor, 11 minit sebelum tamat.
Kesudahan 2-2 sekadar melengkapkan agregat 3-2 untuk Singapura yang berterima kasih kepada jaringan V Selvaraj dan Abbas Saad ketika Fandi Ahmad yang bakal beraksi kali kelapan dalam final Piala Malaysia, kurang menyengat di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Titisan keringat pasukan Merah Kuning yang bermatian-matian mengutip dua gol menerusi Azman Adnan dan Alistair Edwards tidak akan membasahi Shah Alam, Sabtu ini.
Sebaliknya, Singa Selatan akan mengaum menentang juara berganda 1992, Pahang.
SELANGOR 2 SINGAPURA 2 Azman Adnan (m 19) V Selvaraj (m 35) Alistair Edwards (m 69) Abbas Saad (m 79) (Singapura layak, agregat 3-2)
1-0 Azman sepak masuk bola muntah
1-1 Selvaraj buat sepakan kencang jarak dekat
2-1 Alistair merembat menerusi sepakan percuma
2-2 Abbas ambil kesempatan kesilapan Hassan
SELANGOR (5-3-2): Hassan Miskam, K Sanbagamaran, Reman Ragunathan, A Jayakanthan, Dimitre Kalkanov, K Ravichandran, Malek Rahman, Sharil Arsat (Anuar Abu Bakar), Zsolt Bucs, Alistair Edwards, Azman Adnan.
SINGAPURA (4-3-3): David Lee, Jang Jung, Borhan Abu Samah, Kadir Yahaya, Saswadimata Dasuki, Lim Tong Hai, Nazri Nasir, Malek Awab, V Selvaraj (Steven Tan), Abbas Saad, Fandi Ahmad.
PENGADIL: Nik Ahmad Yaacob (Kelantan)
Selepas itu, aku dikirim ke Kuantan membuat laporan build-up persiapan Pahang. Sudahnya Singapura menang 4-0 di Shah Alam, dengan rumahku dibanjiri saudara-mara dari Singapura!
Seterusnya aku membuat liputan final Piala Malaysia 1995 untuk Berita Harian dan sejak 1996 untuk The Malay Mail.
Untuk final 1995, aku ditugaskan ke Kuantan lagi. Gandingan Tajuddin Nor dan Yunus Alif memang mengenali aku rapat. Juga barisan pemain seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azaruddin Aziz, Mudzar Muhamad, Khairul Azman Mohamad, Tahir Mat Amin, Ali Tahar dan Azhar Kamaluddin.
Fasa pegawai media
Selepas berhenti daripada the Malay Mail pada April 2008, aku buka blog. Tidak lama kemudian aku dilamar menjadi pegawai media FAM secara sambilan.
Tidak mungkin aku lupa final 2008. Sebagai pegawai media, aku bukan saja mengatur sidang akhbar pra dan pasca perlawanan tetapi juga mengemas kini laman web FAM sejurus perlawanan, menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengelola final, memproses permohonan dan pemberian pas media dan mengurus jurugambar di padang.
Shukor Adan dan Dollah Salleh bagi pihak Selangor, manakala Azraai Khor dan Victor Andrag mewakili Kedah. Waktu itu memang cukup simple dan tidak ada alas meja. Sidang akhbar dibuat di bilik persidangan di Stadium Nasional dan bukan di atas padang. Segala kelengkapan disediakan oleh pengurusan stadium. Habis final aku kemas kini laman web FAM ketika stadium sudah gelap.
Fasa editor Rembat
Diberi ruang menjadi editor EPLx dan kemudian dijenamakan semula sebagai Rembat di akhbar Kosmo, aku mengumpul idea dan pengalaman untuk dikongsikan bersama pembaca selain menggunakan blog sebagai medium. Baca Kenapa aku pilih Kelantan pada 2010 dan Reviu final 2010. Selain itu aku sering dipelawa ke program terbitan RTM, Sebelum Wisel dan Wisel Penamat untuk membincangkan Liga M dan Piala Malaysia.
Baca Kelantan ke final 2010 dan report card Final Piala FA 2009
Fasa Astro Arena
Kafe Sukan dan Dengan Izin jarang membincangkan saingan Piala Malaysia tetapi sebagai hos Grandstand Ahad yang menyorot perlawanan liga dan Piala Malaysia, sedikit sebanyak aku berpeluang memberi ulasan serba sedikit.
Untuk 2013, selepas aksi suku akhir, aku memilih Kelantan dan Pahang ke final.
Aku ramal kali ini Pahang mendakap piala yang kali terakhir aku saksikan pada final 1992.
Bagi Jalaluddin Jaafar atau abang Jalal yang kali pertama aku liput pada 1996, ini barangkali last chance untuk dia menang Piala Malaysia!
NAMES like Sheikh Riduan Sheikh Bakar and Jalaluddin Jaafar are unlikely to strike fear in Selangor players but the duo are keen on stamping their mark at Darulmakmur Stadium tomorrow night.
The two Pahang Sukma squad members are in line for their full debut in the M-League as coach Yunus Alif prepares for a tough week ahead without several of his trusted men.
Since Dollah Salleh, Shadan Zahari and probably Azizul Kamaluddin will be sidelined, Yunus is pinning his hopes on the 20-year-old Riduan to penetrate the Selangor defence.
Dollah, who did not play any full matches in the recent Tiger Cup in Singapore, is undergoing treatment for his ankle injury and so is Azizul.
Shadan is down with flu while German Ketter Delano is suspended for two matches after being sent off against Terengganu last month.
Jalaluddin is likely to take the right flank role of Azaruddin Aziz who has a bigger job as the link man in midfield.
"I hope Riduan and Jalaluddin make an impact though their match temperament is still suspect.
Walaupun Kelantan atas kertas jauh lebih tajam di bahagian serangan, andainya Azidan Sarudin, Amirulhadi, Jalal, Razman Roslan dan Damion Stewart dapat menutup ruang kepada Badhri Radzi untuk membekalkan peluang kepada Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad serta orang besi Dickson Nwakaeme, Matias Conti sambil dibantu Azamuddin Akil berpeluang mencipta nama.
Strategi Dollah Salleh harus berteraskan kelicikan R. Surendren dan R. Gopinathan jika mereka tidak gugup di tengah saingan.
Yang menariknya, seperti yang dinukil oleh Sivan John Conti to lead the Elephant Army, kejayaan Dollah selaku jurulatih MPPJ 2003 dan Selangor 2005 bertunjangkan penyerang Argentina - Juan Manuel Arostegui dan Brian Fuentes!
Di sebalik kekuatan Kelantan yang beraksi dalam final keempat dalam tempoh lima tahun, Tok Gajah tidak mudah dikekang. Semoga semuanya berjalan lancar!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Apasal tak masukkan Fasa Jual Game? Tu fasa kegemilangan bolasepak Negara..
KERMIT THE SPIDER
Tul gak.
Post a Comment