ASTRO ARENA ANJUR JELAJAH PROMOSI ‘MENJELANG OLIMPIK 2012’
Kuala Lumpur: Debaran dan demam Sukan Olimpik London 2012 semakin dirasakan apabila temasya sukan terhebat dunia itu bakal menyingkap tirainya pada 27 Julai hingga 12 Ogos ini.
Atas usaha memartabatkan nama Malaysia serta hasrat mencapai pingat emas pertama di Sukan Olimpik, saluran sukan pertama Malaysia, Astro Arena (Saluran 801) akan mengadakan kempen jelajah ‘Menjelang Olimpik 2012’ demi memberi sokongan buat kontinjen negara.
Siri jelajah promosi yang mendapat tajaan utama daripada Telekom Malaysia serta sokongan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) ini akan memulakan pengembaraan bermula 14 hingga 23 Jun 2012 di mana Pulau Pinang menjadi destinasi pertama.
Selain itu, negeri lain yang akan terlibat termasuk Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan.
Menurut Pengurus Pemasaran dan Penajaan Astro Arena, Azman Fahmi Osman, kempen selama sepuluh hari ini diadakan untuk meraih sokongan rakyat untuk menyemarakkan lagi semangat buat kontinjen negara yang akan beraksi di temasya berprestij ini.
“ Ini adalah kali kedua kita mengadakan kempen jelajah ini selepas temasya Sukan Sea 2011 yang lalu. Kali ini kami meneruskan lagi kesinambungan dan inisiatif menawan hati para peminat sukan tanahair dalam ekspedisi jelajah promosi ini.
“ Melalui kempen ini juga para peminat sukan akan mendapat maklumat dengan mengenali dengan lebih dekat atlit yang juga duta Astro Arena yang akan beraksi di sana nanti.
“Semoga dengan usaha ini dapat membantu kontingen negara mencapai misi emas pertama sekaligus mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik kelak, “ katanya.
Sepanjang penjelajahan ini, pelbagai aktiviti akan diadakan bagi meraih perhatian warga tempatan untuk turut serta memberi sokongan kepada kontinjen Malaysia di London.
Antara yang menjadi tumpuan pada jelajah ini ialah peluang kepada seluruh peminat sukan negara menyatakan sokongan mereka menerusi mesej dan tandatangan di bendera sokongan yang disediakan.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain akan turut diadakan termasuk interaksi bersama penonton, permainan dan juga kuiz untuk memenangi barangan eksklusif Astro Arena, Team Malaysia dan Mamee serta bergambar bersama kenderaan jelajah yang ditaja oleh Edaran Tan Chong.
Astro Arena juga akan membawakan kepada rakyat Malaysia laporan terkini perkembangan serta aksi atlit negara di temasya Sukan Olimpik dalam Nadi Arena, buletin berita utama saluran Astro Arena.
Antara duta Arena yang akan menggalas cabaran ke London ialah, Bryan Nickson Lomas (terjun), Leong Mun Yee (terjun), Pandelela Rinong (terjun), Azizulhasni Awang (berbasikal), Lee Chong Wei (badminton), Fatehah Mustapa (berbasikal).
Sokongan dan sorakan anda pastinya menjadi pembakar semangat kontinjen Malaysia agar mereka dapat memberikan aksi terbaik di sukan Olimpik London. Semoga misi untuk mencapai pingat emas pertama Sukan Olimpik akan tercapai !!!
No comments:
Post a Comment