Tuesday, December 23, 2008

Tahniah Shalin

mtbc.org.my

Enam belas tahun yang lampau aku membuat liputan gadis berkulit hitam manis yang selamba membuat jatuhan pin. Dia seolah-olah dilahirkan bermain bowling.

Sesudah puas mengharungi pelbagai cabaran dan menjulang begitu banyak gelaran, Shalin Zulkifli yang kini bermain secara profesional, akan bergelar isteri. Dia akan mendirikan rumahtangga dengan Azidi Ameran pada minggu depan. Kedua-duanya mengusahakan pusat bowling dinamakan Pin Junction. Baca blog Noorhasilah Ismail di sini. Shila adalah penulis sukan wanita yang berwibawa seiring nama-nama seperti Tham Choy Lin, Rosniza Rasul dan Jamhariah Jaafar, disusuli Veena Rusli.

The Star turut memuatkan berita perkahwinan Shalin di sini.

Pada pertemuan 16 tahun yang silam itu, aku menulis laporan yang disiarkan akhbar Berita Harian pada 1 Disember, 1992.

JUARA Masters Terbuka Wanita Kebangsaan, Shalin Zulkifli, sekali lagi tampil sebagai jagoan untuk meraih pingat emas pertama Petaling Jaya menerusi acara perseorangan Kejohanan Bowling Antara Bandaraya Asia ke-6, di Kent Bowl, Petaling Jaya, semalam.

Shalin, 14, meneruskan sentuhan konsisten ketika menjuarai Masters minggu lalu, dengan melakukan 1,161 jatuhan pin dalam enam permainan bagi memaksa Maria Lujan dari Guam di tempat kedua dengan 1,156 pada hari kedua kejohanan.


Peserta Kwong Myong, Korea, Chen Mei Hua, pula menduduki tangga ketiga hasil 1,148 jatuhan pin.

Malaysia turut menikmati kemenangan menerusi kategori perseorangan lelaki apabila peserta Kuala Lumpur, Jamaluddin Rahman, muncul juara selepas melakukan 1,301 jatuhan pin untuk mengecewakan Kim Jun Sik dari Kwong Myong (1,284) dan wakil Hong Kong, Cheung Wing Kit (1,233).

Dalam acara wanita, Shalin seawalnya di tempat ketujuh hasil 570 pin dan ketinggalan kepada peserta Hong Kong, Wong Lai Yung, yang melakukan permulaan dengan tenang untuk mendahului sehingga permainan ketiga menerusi 587 pin.

Bagaimanapun, balingan Shalin lebih konsisten untuk mengumpul 591 dalam tiga permainan terakhir ketika lawan bagaikan hilang tumpuan. Lai Yung akhirnya sekadar meraih tempat ke-34 apabila memperolehi 125 pada perlawanan kelima dan 149 menerusi permainan akhir.

"Selepas menjuarai Masters Kebangsaan, peserta lain ternyata memandang berat cabaran saya. Pada mulanya, ia menimbulkan tekanan, tapi saya sendiri terkejut mampu muncul juara. Mujur peserta lain kurang menonjol," kata Shalin.

Lujan dari Guam bangkit pada tiga permainan terakhir untuk mengumpul 608 jatuhan pin. Peserta negara yang juga mewakili Petaling Jaya, Lisa Kwan, pula hanya berpuas hati di tempat keempat apabila melakukan 1,144 jatuhan pin.

Dalam kategori lelaki pula, Jamaluddin mengumpul 1,301 dengan melakukan purata 216.8 pin setiap permainan selepas bertarung sengit dengan Jun Sik yang mengumpul 256 pin menerusi permainan pertama.

Bagaimanapun, Jamaluddin yang merangkul kejuaraan perseorangan kebangsaan minggu lalu, enggan akur akan kehebatan peserta Korea itu, malah mengekalkan tumpuan dengan melakukan 253 jatuhan pin.

Sesudah itu, Jun Sik melebarkan jurang apabila melakukan 242 jatuhan pin pada permainan kedua, manakala Jamaluddin sekadar memperolehi 201. Namun, tuah memihak kepada Jamaluddin dalam permainan terakhir hasil 222 pin untuk menewaskan peserta Korea itu yang hanya mampu melakukan 169 dan 176 pada dua permainan terakhir.

Kejohanan tujuh hari itu adalah anjuran bersama Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan Persatuan Bowling Selangor yang menampilkan peserta handalan seluruh Asia. Antara bandaraya yang bertarung mewakili negara masing-masing ialah Auckland (New Zealand), Singapura, Pohang (Korea Selatan), Taipei (Taiwan), Sanjuan, Baguio dan Metro Manila (Filipina) dan Kowloon (Hong Kong).

Penyandang gelaran keseluruhan kejohanan adalah Kaohsiung dari Taiwan yang menggenggam kejuaraan dua kali berturut-turut sejak 1990.

Antara peserta kebangsaan yang menonjolkan persaingan di bawah bendera Petaling Jaya selain Shalin dan Lisa ialah Kenny Ang, Allan Lee dan Jimmy Lee.

Dua hari kemudian, artikelku ini disiarkan dalam Jaguh, sisipan sukan Berita Harian.

BAYU nyaman yang bertiup dari pendingin udara, mencengkam tubuh ratusan penonton di sekitar arena. Segenap mata menghala tumpuan ke lorong selepas menanti penuh debaran untuk menyaksikan balingan ke sasaran.

Suasana sekeliling yang hingar-bingar, menghangatkan lagi corak permainan. Namun, gadis berkulit hitam manis itu tampil dengan selamba untuk melakukan jatuhan pin.

Jari-jemari yang baru 14 tahun mengenal dunia, seakan menyembunyikan ketajaman ketika melontar bola ke sasaran, dan jatuhan pin sempurna menjadi pelengkap persembahan.
Tangannya ternyata menjadi pusaka paling bernilai bagi Shalin Zulkifli yang menerima jolokan juara baru wanita Masters Bowling Kebangsaan, selepas mencipta sejarah sebagai peserta paling muda untuk muncul johan peringkat negara minggu lalu.


Tiga hari lalu, Shalin yang mewakili Petaling Jaya, sekali lagi membuktikan keunggulan untuk menjuarai acara perseorangan dan beregu bersama Lisa Kwan di Kejohanan Antara Bandaraya Asia ke-6.

Kejayaannya mungkin membuka mata peminat, namun masyarakat bowling negara sudah betah melihat pelajar Sekolah Menengah Perempuan Bandaraya itu menghabiskan sisa waktu di arena untuk mengasah kepakaran.

Lantas, namanya dijulang sebagai penerus warisan kecemerlangan puteri bowling negara, mengambil alih daripada Lisa Kwan, Lydia Kwah, Shirley Chow dan Pearly Chong.

Percikan semangat untuk mencuba bowling datang daripada ibu bapanya yang kerap bertandang ke arena untuk meleraikan kekusutan selepas lelah menjalankan tugas harian.

"Saya sendiri tidak menyangka akan mengikut jejak ayah dan emak untuk mencuba sukan ini. Mungkin selepas bosan menunggu, saya memberanikan diri untuk memegang dan kemudian membaling bola ke sasaran."

Lantaran itu, hasil pengamatan bapanya, Zulkifli Ali, dan dorongan ibunya, Rohani Razak, Shalin dipupuk untuk menonjolkan bakat dalam sukan yang lebih menjurus ke arah mencabar tahap keupayaan seseorang tanpa menitikberatkan pertarungan fizikal.

Sebagai usahawan berdikari, Zulkifli mengambil kesempatan atas kelonggaran waktu untuk menurunkan ilmu kepada anak tunggalnya. Sehingga kini, beliau sudah membelanjakan RM45,000 semata-mata untuk menjadikan Shalin pakar dalam melakukan jatuhan pin.

"Kebanyakan wang yang saya curahkan adalah untuk membeli pita video dan buku berkaitan bowling dari luar negara sebagai bahan rujukan. Selepas meneliti semuanya, saya terjemahkan kepada Shalin.

"Kadangkala, jurulatih sesuatu skuad itu terlalu sibuk untuk menumpukan perhatian kepada individu. Kehadiran saya sekadar memudahkan Shalin menemui rentak sama ada ketika latihan atau kejohanan," katanya yang bertugas sebagai jurutera sebelum menempuh dunia perniagaan.

Namun, katanya, bowling memerlukan teknik balingan dan langkah yang tepat di samping mengambil berat mengenai lapisan minyak di lorong agar pemain mampu mempamerkan permainan konsisten.

Untuk itu, setiap kali Shalin bertarung dalam sebarang pertandingan, Zulkifli tentu memerhatikan dari belakang untuk mengesan kesilapan.

Selepas melakukan balingan, Shalin berpaling ke arah bapanya sambil mendengar arahan.

Beliau berkata, isterinya juga pernah menyuarakan kerisauan kerana seolah-olah terlalu taksub menyusun program kehidupan Shalin dengan rapi.

Antara katakata yang masih terngiang-ngiang di telinganya ialah:

"Awak ingat anak awak robot, ke?"

Betapapun, Zulkifli tetap mementingkan prestasi sekolah anaknya agar tidak tercicir. Untuk itu juga, Zulkifli menyusun program bagi membolehkan Shalin menatap buku sekalipun ketika beraksi di arena.

Remaja cilik itu berkata, dia wajar mengagihkan masa belajar dan bermain kerana mahu tampil sebagai sama ada peguam atau usahawan di samping mengekalkan nama dalam bidang bowling.
Seandainya waktu persekolahan bertembung dengan sesuatu kejohanan, Persatuan Bowling Tenpin Selangor (STBA) akan mengemukakan surat meminta Shalin dilepaskan agar bebas mewakili pasukan terbabit.


SEPINTAS LALU
PENCAPAIAN:
1992 - Juara perseorangan Kejohanan Antara Bandaraya Asia ke-6, juara
Masters Kebangsaan; empat emas, satu perak, satu gangsa Sukma; juara
Remaja Kent All-Stars; juara Remaja Terbuka Selangor; empat emas, satu
perak membantu Selangor dalam Kejohanan Antara Negeri
1991 - Dua emas dan dua perak Kejohanan Antara Negeri; tempat ke-12
Kejohanan Antara Bandaraya (mewakili Petaling Jaya); tempat ke-18
Kejohanan Remaja Dunia FIQ
1990 - Juara Terbuka Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ); juara Remaja
Kebangsaan; juara KL International; Bintang Harapan Selangor
1989 - Tempat ke-4 Kent Graded


1 comment:

fazz said...

apa tajuk untuk kedua dua berita ini?