Insiden tangan Shukor Adan masih jadi bualan namun fokus harus diberi kepada final yang mempertemukan dua pasukan yang tidak pernah tewas dalam perlawanan akhir Piala FA.
Bagi aku, kedua-dua Wan Jamak Hassan dan Ahmad Yusof kukenali rapat.
Ketika bertugas di Berita Harian, aku selalu dikirim ke Kuantan meliput perlawanan Pahang yang dibintangi Fandi Ahmad, Ahmad Yusof, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh. Sahabat-sahabat sebaya seperti Azaruddin Aziz dan Zulhamizan Zakaria membawa watak sokongan ketika itu. Pernah sekali kami membuat temu janji mengambil gambar Khairul Azman Mohamed memancing menjelang final Piala Malaysia.
Jika ke Kuantan, aku juga selalu bertemu jaguh pecut, Azmi Ibrahim.
Ketika Wan Jamak ditugaskan mengendalikan pasukan kebangsaan, aku sudah bersama The Malay Mail. Pernah sekali aku menghantarnya ke Lapangan Terbang Subang dengan Suzuki Switfku.
Namun aku tidak memilih bulu dalam meramal Negeri Sembilan sebagai bakal juara Sabtu ini.
Ahmad Yusof dicerca, dimaki penyokong Kedah pada awal musim. Musim sulungnya mencabar kerana dia terpaksa membawa "style"nya selepas lima tahun Hijau Kuning dikendalikan penuh jaya oleh Azraai Khor Abdullah. Mujur dia ada Radhi Mat Din di sisinya. Kedua-duanya anggota skuad kebangsaan yang memenangi emas Sukan SEA 1989, Radhi selaku arkitek dengan sentuhan kreatif, Ahmad sebagai pemain yang mententeramkan keadaan dan penjana enjin tengah.
kedahlanie.blogspot.com KedahKekuatan: Kalau kena pada gayanya, Baddrol Bakhtiar mampu muncul wira. Boleh sempurnakan sepakan percuma, tandukan dan serba pantas. Matang musim ini.. Purata usia muda, kunci kekuatan Kedah terletak kepada daya serba boleh Sabre Mat Abu yang boleh bermain sama ada sebagai bek kanan, kiri atau enjin tengah, larian pantas dari penjuru oleh Faizal Abu Bakar dan Fadly Baharum.
Kelemahan: Kecederaan jangka panjang Victor Andrag, Ahmad Fauzi Shaari dan Samransak Kram mengecilkan pilihan Ahmad Yusof. Bek kiri utama, Shafizan Hashim digantung. Ketiadaan Azlan Ismail, pemain berasal dari Kelantan yang panas baran tetapi bijak menyudahkan peluang, meragut kekuatan Kedah. Khyril Muhymeen Zambri belum cergas sepenuhnya selepas berehat tujuh bulan akibat kecederaan ACL.
Barisan kemungkinan: Helmi Eliza Elias, V. Thirumurugan, Khairul Helmi Johari, Fazliata Talib, Azmi Muslim, Sabre Mat Abu, Shahrulnizam Mustapa, Faizal Abu Bakar, Fadly Baharum, Baddrol Bakhtiar, Shafiq Jamal.
galerihijaukuning.com Negeri SembilanKekuatan: Formula Wan Jamak mengadunkan sentuhan veteran dengan tenaga muda. Benteng kental dan kaya pengalaman dikepalai oleh Shukor, diapit oleh Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Ching Hong Aik. Berbahaya dari penjuru menerusi kepantasan Shahurain Abu Samah di kanan dan S. Kunanlan di kiri selain faktor kestabilan jentera tengah pimpinan Rezal Zambery Yahya dan Idris Karim, dua rakan senegeri Wan Jamak. Muka baru Shaffik Abdul Rahman dan Zaquan Adha Abdul Radzak pula boleh membuat percubaan dari pelbagai sudut. Penjaga gol Sani Anuar Kamsani tiba-tiba cemerlang selepas dibayangi Farizal Harun.
Kelemahan: Kesilapan kecil boleh membawa padah.
Barisan kemungkinan: Sani Anuar Kamsani, Aliff Shamsuddin, Shukor Adan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Ching Hong Aik, Idris Karim, Rezal Zambery Yahya, Shahurain Abu Samah, S. Kunanlan, Shaffik Abdul Rahman, Zaquan Adha Abdul Radzak.
Keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hasan mengumumkan insentif menjelang final biasanya menyuntik semangat kepada pemainnya. Maaf Kedah, Negeri Sembilan kuasa baru bola sepak tempatan.
Oh lupa, harap pengadil cergas dan cerdas la ya! Keputusan pengadil boleh mempengaruhi keputusan...