Thursday, January 17, 2013

Momen ajaib, detik aib


TAHUN 2012 cukup istimewa kerana kalau mengikut kalendar penggiat sukan, ia kemuncak kitaran Olimpik bagi mana-mana atlet yang memasang impian menyentuh puncak prestasi.

Dari segi pencapaian, banyak yang boleh diperkatakan. Anak jati Kuala Lumpur Syafiq Ridhwan Abdul Malek muncul juara Kejohanan Bowling Dunia AMF di Wroclaw, Poland, antara venue Euro2012.


Syafiq Ridhwan, anak jati Keramat, Kuala Lumpur, dan menuntut di St John's Institution

Dia muncul individu pertama menjulang gelaran dunia buat Malaysia di lorong-lorong 10 pin.

Zulfahmi Khairuddin pula dua kali menjejakkan kaki ke podium saingan Moto 3 perlumbaan Moto GP dan hampir pasti menunggang untuk pasukan Red Bull KTM Ajo di sisi Arthur Sissis dari Australia dan Luis Salom dari Sepanyol.

Bagi Datuk Nicol Ann David, dia ratu skuasy yang ulung. Kepulauan Grand Cayman menyaksikan anak jati Pulau Pinang itu menggondol Kejuaraan Dunia buat kali ketujuh, satu pencapaian yang sukar ditandingi.

Pingat perak Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki di temasya Sukan Olimpik di London dibutirkan selepas dia bangkit daripada kecederaan serius manakala Pandelela Rinong Pamg merasai detik ajaib dijulang sebagai pemenang gangsa dalam acara terjun, atlet pertama dari luar badminton menaiki podium Olimpik.

Syabas juga diucapkan kepada pasukan Kelantan yang menggondol kejuaraan Treble untuk diangkat sebagai barisan terbaik bola sepak tempatan.

Namun suasana domestik tidak lekang daripada kontroversi. Kemelut Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berakhir dengan presidennya Zafarul Akhbar Kassim tewas. Pucuk pimpinan penggal baru 2012-2014 diambil alih presiden Persatuan Angkat Berat Pulau Pinang, Datuk Ong Poh Eng, yang menang dengan majoriti 25 undi.

Poh Eng akan menerajui PABM bersama Ahmad Janius Abdullah, yang memenangi kerusi Timbalan Presiden dengan menewaskan Zainuddin Rasidin 49-12.

Tempoh kepimpinan Zafarul disulami pelbagai tuduhan kurang enak yang dilemparkan sehingga mendorong beberapa atlet angkat berat menarik diri.

Bagi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), tahun 2013 membawa lembaran baru. Presiden sejak 2007, Datuk Seri Shahidan Kassim, tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad, bekas pentadbir awam yang kaya pengalaman dalam sukan itu.

Shahidan dilihat terlalu banyak memberi ruang kepada timbalannya untuk menentukan hala tuju sukan itu yang turut dibelenggu skandal doping.

Kerjasama di antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang terjalin erat sedikit terjejas dengan tindakan agensi kerajaan menggunakan taring mereka.

Contoh paling besar apabila Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong, mengancam menyaman Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi atas beberapa isu. Perkembangan tidak sihat ini melambangkan beberapa sifat kurang gentleman di kalangan pentadbir sukan negara.

Harus diingat, MOM boleh wujud tanpa MSN, tetapi MSN tidak boleh wujud tanpa MOM.

Pasukan bola sepak kebangsaan pula kekal menjadi topik hangat. Jurulatih Datuk K. Rajagobal disaran lebih bersikap terbuka kepada kritikan dan teguran serta tidak menjual gelaran Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010 sebagai strategi pemasaran kekal di kerusi panas.

Di saat peminat sukan negara rancak membincangkan detik ajaib mahupun momen aib, kita mengucapkan selamat tinggal kepada Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Datuk Punch Gunalan, Salam Sidek dan ketua meja sukan Bernama, Zulhilmi Supaat. Moga roh mereka damai di sana.

1 comment:

Anonymous said...

Pasaipa msn x boleh wujud tanpa mom???? Sila huraikan.