Thursday, January 31, 2013

Aku dituduh menyamar


Aku sudah lama tidak buka akaun FB kerana dilanda virus spam dan pelbagai.

Tapi tadi aku singgah sebentar. Ini kerana kelmarin aku menerima sms daripada seorang ahli kariah yang juga orang Kelantan. Dia peminat The Red Warriors.

"Abang ada tulis dalam Utusan Malaysia ke?"

Jadi aku menjawab tidak ada. Aku pun hairan.

Tangan aku pun gatal nak buka semula akaun FB aku yang kali terakhir dikemas kini pada 19 Disember 2012. Aku dapati aku telah ditag peminat The Red Warriors.

Ada yang menuduh aku menulis atas nama Hussein Ismail di ruangan forum Utusan Malaysia di sini.



Tan Sri Annuar Musa menulis pada Selasa lalu

"Hari ini seorang "HUSSEIN ISMAIL" menyamar sbg ORANG JOHOR BHARU dan menulis di akhbar UM..setelah di teliti tulisannya didapati beliau bukan seorang yg TULIN tapi menyamar dan beliau bukan orang biasa tapi ORANG YG TERTENTU..justeru tulisannya tak perlu saya ulas kerana ia berbaur sentimen dan hujahnya TAK BERBALOI DIBERI KOMEN apa apa..Apa pun terima kaseh kerana bersusah payah buat research sampai waktu saya jadi menteri dan terima kaseh juga kuat membela FAM..mcm kenal je penulisnya..tak payah la menyamar.."

Antara yang memberi komen, Tukiman Surip:

"tgk pada ayat, macam tulisan dan gaya Muhammad Rizal Hashim , ntah ler...mungkin iye mungkin tidak...biase rizal je yg suka buka2 cite2 lama sampai ke menteri...cite yg die hebat smp azlina (menteri sukan) dulu jatuhpun sbb dia...poyo betull... rizal x cite pulak zaman nuar musa ni jadi menterilah masa tu berlakunya insiden raja dari selatan memukul pemain/penjaga gol hoki...punca dr tindakan raja yg ada rekod melebihi 20kes jenayah itu la menyebabkan Tun Mahathir membuat keptusan mengurangkan kekebalan raja melayu dan boleh didakwa dimahkmah..tu dia x cite pulak"

Di sini ingin aku ingin ambil kesempatan menafikan tuduhan sebegini.

Bagi orang besar yang ada connection dengan orang akhbar, bolehlah tanya kawan-kawan di Utusan Malaysia, siapa yang mengirim emel dan check alamat IPnya. Lazimnya untuk ruangan surat pembaca atau letters to editor setiap kiriman surat atau emel disertakan nama dan alamat penuh sebagai syarat. Rasanya masih kekal syarat itu.

Aku pula diberi rezeki Allah SWT ada ruang menulis dan bercakap menerusi beberapa forum dan platform media arus perdana dan internet secara jelas dan berdepan menggunakan nama aku sendiri, tanpa berselindung di balik nama samaran atau di belakang orang tertentu tanpa ada agenda politik atau peribadi.

Apa yang Tukiman tulis mengenai aku dan Azalina itu betul, tapi dia tidak terpilih sebagai Menteri bukan atas kuasa aku. Aku sekadar membuat beberapa pendedahan yang dianggap memburukkan Azalina sepanjang tempoh dia menjadi Menteri Belia dan Sukan. Aku sekadar menjalankan tugas sebagai wartawan dan bukan penyokong atau peminat yang taksub dan obses dengan tokoh tertentu.

Sebagai bukti aku objektif dan tidak memilih bulu, Azalina orang Johor, macam aku. Kalau kata aku penulis upahan yang menyokong pasukan atau mana-mana individu, cuba baca tulisan aku yang terdahulu.

Eloklah sebelum melontar sebarang tuduhan, kita bermuhasabah diri. Sekalipun kita di puncak kejayaan, ia bukan lesen untuk menuduh atau memburukkan orang lain. Sebagai public figure kita ada tanggungjawab besar membentuk pendapat orang ramai tanpa mengira ras dan darjat. Kalau ikhlaslah....kalau ada agenda tertentu itu aku tidak boleh bantu...

Apapun kepada semua pemimpin sukan, kalau kita suka menegur, haruslah sedia menerima teguran. Kita manusia, bukan maksum.

Seperkara lagi, NOBODY is bigger than the game, sama ada kerabat diraja, politikus, bekas Menteri, atau penjual kacang dalam stadium. Mungkin tulisan Hussein Ismail ada logiknya HAHAHAHAHAHAHAH!


Thursday, January 17, 2013

Jangan momok FAM


Ini tweet aku pada 4 Disember lalu. Tiba-tiba berlaku pula isu kehadiran anggota JMF dipersoal.

Apakah bola sepak kita terjerat dalam zon perang?

Komen kelab penyokong Kelantan juga ada sebab-musababnya.

Baca pula reaksi penyokong Johor.

Saingan bola sepak Malaysia diwarnai pelbagai karakter, termasuk dua tokoh dengan aura tersendiri. Baca TMJ v TSAM.

Tidak mustahil Tan Sri Annuar Musa berganding bahu dengan Khairy Jamaluddin untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) satu hari kelak. Ataupun Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menyimpan cita-cita yang sama?

Harus diingat, dalam mewarnai bola sepak Malaysia, janganlah adab, etika dan peraturan diketepikan. Bola sepak juga tidak mengenal darjat. Tanya Sultan Ahmad Shah dan anakandanya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah - berapa kali disindir, diperli dan dikritik dalam akhbar arus perdana (tapi ada budak-budak sekarang fikir mereka saja yang berani suruh Presiden FAM letak jawatan)...

Peribahasa Melayu gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Eh, jangan marah...aku tak label sesiapa pun gajah atau pelanduk, apalagi anjing hehehe

Namun seperti yang aku nukilkan Disember lalu, FAM berdepan cabaran setinggi Gunung Kinabalu. Entah-entah tidak terdaki.


Momen ajaib, detik aib


TAHUN 2012 cukup istimewa kerana kalau mengikut kalendar penggiat sukan, ia kemuncak kitaran Olimpik bagi mana-mana atlet yang memasang impian menyentuh puncak prestasi.

Dari segi pencapaian, banyak yang boleh diperkatakan. Anak jati Kuala Lumpur Syafiq Ridhwan Abdul Malek muncul juara Kejohanan Bowling Dunia AMF di Wroclaw, Poland, antara venue Euro2012.


Syafiq Ridhwan, anak jati Keramat, Kuala Lumpur, dan menuntut di St John's Institution

Dia muncul individu pertama menjulang gelaran dunia buat Malaysia di lorong-lorong 10 pin.

Zulfahmi Khairuddin pula dua kali menjejakkan kaki ke podium saingan Moto 3 perlumbaan Moto GP dan hampir pasti menunggang untuk pasukan Red Bull KTM Ajo di sisi Arthur Sissis dari Australia dan Luis Salom dari Sepanyol.

Bagi Datuk Nicol Ann David, dia ratu skuasy yang ulung. Kepulauan Grand Cayman menyaksikan anak jati Pulau Pinang itu menggondol Kejuaraan Dunia buat kali ketujuh, satu pencapaian yang sukar ditandingi.

Pingat perak Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki di temasya Sukan Olimpik di London dibutirkan selepas dia bangkit daripada kecederaan serius manakala Pandelela Rinong Pamg merasai detik ajaib dijulang sebagai pemenang gangsa dalam acara terjun, atlet pertama dari luar badminton menaiki podium Olimpik.

Syabas juga diucapkan kepada pasukan Kelantan yang menggondol kejuaraan Treble untuk diangkat sebagai barisan terbaik bola sepak tempatan.

Namun suasana domestik tidak lekang daripada kontroversi. Kemelut Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berakhir dengan presidennya Zafarul Akhbar Kassim tewas. Pucuk pimpinan penggal baru 2012-2014 diambil alih presiden Persatuan Angkat Berat Pulau Pinang, Datuk Ong Poh Eng, yang menang dengan majoriti 25 undi.

Poh Eng akan menerajui PABM bersama Ahmad Janius Abdullah, yang memenangi kerusi Timbalan Presiden dengan menewaskan Zainuddin Rasidin 49-12.

Tempoh kepimpinan Zafarul disulami pelbagai tuduhan kurang enak yang dilemparkan sehingga mendorong beberapa atlet angkat berat menarik diri.

Bagi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), tahun 2013 membawa lembaran baru. Presiden sejak 2007, Datuk Seri Shahidan Kassim, tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad, bekas pentadbir awam yang kaya pengalaman dalam sukan itu.

Shahidan dilihat terlalu banyak memberi ruang kepada timbalannya untuk menentukan hala tuju sukan itu yang turut dibelenggu skandal doping.

Kerjasama di antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang terjalin erat sedikit terjejas dengan tindakan agensi kerajaan menggunakan taring mereka.

Contoh paling besar apabila Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong, mengancam menyaman Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi atas beberapa isu. Perkembangan tidak sihat ini melambangkan beberapa sifat kurang gentleman di kalangan pentadbir sukan negara.

Harus diingat, MOM boleh wujud tanpa MSN, tetapi MSN tidak boleh wujud tanpa MOM.

Pasukan bola sepak kebangsaan pula kekal menjadi topik hangat. Jurulatih Datuk K. Rajagobal disaran lebih bersikap terbuka kepada kritikan dan teguran serta tidak menjual gelaran Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010 sebagai strategi pemasaran kekal di kerusi panas.

Di saat peminat sukan negara rancak membincangkan detik ajaib mahupun momen aib, kita mengucapkan selamat tinggal kepada Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Datuk Punch Gunalan, Salam Sidek dan ketua meja sukan Bernama, Zulhilmi Supaat. Moga roh mereka damai di sana.

Bola sepak Malaysia - barah tahap 4

Selaku perantara rancangan Dengan Izin, penulis teruja apabila Malek Rahman bersetuju menjadi tetamu untuk episod pertama musim ketiga pada September lalu.

Bekas kapten pasukan Selangor itu membuat pendedahan berani, antara lain mendakwa ada beberapa kelab tempatan dikendalikan oleh bookie selain mengaku menerima sogokan yang mengakibatkan dia digantung satu setengah tahun di tengah-tengah skandal rasuah bola sepak pada 1994-95.

Malek dengan beraninya mendedahkan beberapa perkara berkaitan rasuah yang harus dijadikan renungan pencinta bola sepak tempatan. Dia mendakwa rasuah dalam bola sepak hari ini lebih besar daripada skandal 1994-95 yang menjerat lebih 120 pemain dan jurulatih kerana sekarang ada perjudian atas talian.

Menurutnya, kaji setiap perlawanan dan tentu ada beberapa individu dengan telefon bimbit akan memberi beberapa isyarat kepada pemain untuk “buka” perlawanan, bermakna mengatur keputusan.

Sedutan progam Dengan Izin itu turut dimuatkan dalam program bual bicara Bola@Mamak terbitan Astro SuperSports. Rata-rata peminat memuji pengakuan Malek.

Pendedahan Malek sekadar menguatkan hujah penulis bahawa di sebalik keghairahan kita bercakap mengenai saingan Liga M dan prestasi Harimau Malaya, bola sepak Malaysia sedang dilanda penyakit barah tahap keempat.

Bukanlah rahsia bahawa ada pemain menerima sogokan untuk tidak menjaringkan gol, untuk memberi ruang kepada pemain lawan menyumbat gol dan ada pula yang dibayar untuk menjaringkan gol pada detik-detik tertentu.

Bayaran dibuat menerusi pelbagai bentuk. Dalam sampul surat dihantar ke rumah, diletakkan dalam kotak kasut dan dimasukkan ke dalam akaun.

Bagi mereka yang tidak menerima bayaran, mereka rela hutang piutang atau ansuran rumah dan kereta dilangsaikan secara bulanan oleh pembiaya. Masalah ini bukan saja menghantui bola sepak Malaysia.

Saingan bola sepak di Eropah turut dibelenggu barah ini. Sekalipun ramai bookie didakwa di mahkamah, prosesnya mengambil masa yang panjang.

Pihak berkuasa pula memerlukan bukti kukuh untuk mengambil tindakan.

Bagi pemain yang tidak mahu terbabit dalam dosa ini, mereka berada dalam dilema. Kalau mendedahkan perkara ini, rakan-rakan sepasukan akan dihukum. Mereka juga akan diugut. Jika berdiam diri, ia akan memakan diri.

Kesudahannya, rasuah bola sepak akan terus menghantui kita selagi material menguasai diri manakala iman ditolak ke tepi.

Wednesday, January 16, 2013

Penghijrahan perkara biasa

Penghijrahan Hafizal Hamad dari RTM ke Astro Arena mengejutkan banyak pihak yang menganggap penyampai, hos dan perantara itu sebati dan sinonim dengan stesen penyiar kerajaan itu. Namun sebagaimana bintang bola sepak bertukar angin atau haluan, personaliti TV juga tidak ketinggalan mencari tempat baru. Tapi tak tahulah pulak ada yuran perpindahan atau singning on fee...

Kini sudah hampir dua minggu anak jati Kedah itu menjadi hos kepada program pra-rancangan dan pasca Arena Bola selain berinteraksi dengan peminat menerusi Dua Hala di platform google hangout dan menerusi corong radio di stesen era.fm.


Bintang yang menyinar di RTM kini berhijrah ke Astro



Belakang dari kiri Asmawi Bakiri, Zainal Abidin Rawop, Azlan Johar, Nurjannah Ali, Richard Scully. Depan dari kiri Nazzab Hidzan, Reduan Abdullah, Rosli Hussein, Hafizal dan Dez Corkhill.

Selain Hafizal yang bertugas di studio, Astro Arena menampilkan dua otai Shaukei Kahar dan Zainal Abidin Rawop selaku perantara dan pengulas secara langsung, ditemani penganalisis seperti Reduan Abdullah, Rosli Hussein, Azlan Johar, Nazzab Hidzan dan, Asmawi Bakiri. Nurjannah Ali pula wartawan di tepi padang untuk buat flash interview dan lintas langsung ke studio. Astro juga menyajikan ulasan dalam Bahasa Inggeris diketuai pengulas Dez Corkhill yang juga Pengarang Urusan Astro Arena.

Bagi menghidupkan kempen menyokong bola sepak tempatan, Astro melancarkan Liga Super Fantasi 2013. Maklumat lanjut di www.arena.my.


Pengurus tajaan dan pemasaran Astro Arena, Azman Fahmi Osman (kanan), bersama Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Abdullah, pada majlis pelancaran Liga Fantasi 2013.


Tuesday, January 1, 2013

Dua hala bersama Astro Arena

Kalendar Masehi atau Gregorian disingkap dengan Astro Arena bakal menyajikan beberapa program yang membawa dimensi sedikit berbeza daripada yang ada sekarang. Nantikan juga satu program terbitan Nadi Arena...

Juga pada skala yang kecil, Astro Arena memperkenalkan wadah interaktif menerusi google hangout dinamakan Dua Hala - memberi ruang kepada anda berdiskusi dengan perantara dan rakan-rakan lain secara langsung.



Bukan senang nak tengok aku senyum



Dua Hala bersama Shaukei Kahar




  Khabarnya pelbagai program bola di Astro Arena akan dibawakan dengan cara lebih menarik...dengan penampilan seorang hos baru...