Thursday, January 21, 2010

Al-Fatihah buat Haji Bakar

Aku menghabiskan dua hari ini mencari gambar Haji Abu Bakar Ismail untuk dijadikan tatapan dalam blog ini. Sampai sudah aku tak jumpa. Yang aku tahu, memang aku tidak pernah ambil gambar dengan Allahyarham. Tapi manalah tahu dalam album-album lama yang memuatkan gambar yang dirakam sepanjang kerjaya aku di Balai Berita, ada sekeping dua gambar Arwah. Bekas pengarang berita Berita Harian itu menghembuskan nafas akhirnya pada Selasa, 19 Januari lalu.

Berikut laporan Berita Harian online

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarang Berita, Berita Harian, Abu Bakar Ismail, 67, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 11.30 malam tadi akibat serangan jantung.

Allahyarham dimasukkan ke wad jantung HKL kira-kira jam 10 malam tadi selepas menjalani pemeriksaan kesihatan Isnin lalu dan didapati mengalami serangan jantung dan perlu mendapatkan rawatan susulan dengan kadar segera.

Anak Allahyarham, Syahrul Azman, 32, berkata ayahnya sepatutnya menjalani rawatan selama tiga hari dan selepas dimasukkan ke HKL dan doktor yang merawatnya mengesahkan keadaan ayahnya serius tetapi stabil.

“Bagaimanapun selepas mendapatkan rawatan selama kira-kira satu setengah jam, doktor yang merawat memanggil kami sekeluarga dan memberitahu ayah sudah meninggal dunia,” katanya yang ditemui di kediaman Allahyarham di Taman Melawati di sini hari ini.




Antara yang mengiringi jenazah ke perkuburan Klang Gate ialah Dhalan Zainuddin (duduk, tiga dari kanan)

Empat bekas bos aku...dari kiri Haji Ali Mansor Aman, bekas penolong pengarang sukan BH, bekas penolong Pengarang Harian Metro, Mohd Zian Johari, bekas pengarang sukan BH, bekas Pengarang Harian Metro, Haji Shaharudin Latif, bekas pengarang berita Berita Harian dan kini Pengarang Urusan Kumpulan, Jabatan Berita Media Prima Bhd dan Datuk Manja Ismail, dulu Pengarang Kumpulan Berita Harian dan kini hos Soal Jawab TV3.

Pegawai Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Haji Ahmad Idris (kanan) yang memaklumkan aku pemergian Arwah

"Rizal, dah tahu Haji Bakar dah meninggal," pesanan ringkas daripada Zurina Waji pagi semalam.

Beberapa minit kemudian, aku menerima panggilan daripada Haji Ahmad Idris. "Jenazah on the way dari hospital...nak solat jenazah di masjid Taman Melawati fasa lima."

Intan kebetulan MC dan ada di rumah untuk menjaga si kecil. Setibanya aku di masjid, Imam sedang memberi penerangan ringkas. Mujur aku sempat memberi penghormatan terakhir buat Arwah, detik hatiku.

Sesudah solat jenazah, aku perhatikan antara yang hadir Datuk A Kadir Jasin, Datu, A Nazri Abdullah dan Yunus Said, nama-nama besar di BH dan NST satu ketika dahulu. Turut hadir Abdul Rahim Zain, Mohd Razali Yahya, Haji Sharom Suboh, Azli Yob, Haji Shukor dan Saleh Siden.

Mengiringi jenazah ke kubur antaranya orang kuat Media Prima, Datuk Manja Ismail, Haji Shaharudin Latif, Zian Johari, Ali Mansor Aman dan Dhalan Zainuddin.

Bagi aku sendiri, arwah Haji Bakar cool and composed. Arwah juga mengenali arwah ayah aku, entah bagaimana aku pun tidak tahu. Yang aku tahu arwah orang Johor. Arwah antara yang menziarah kami apabila Mak pulang ke rahmatullah pada 1994.

Tapi aku dapat rasakan Arwah Haji Bakar selalu tengok-tengokkan aku. Sentiasa bergurau dengan aku dan cordial. Lagipun claim dan advance aku biasanya tidak dipersoalkan...selalu juga kalau ada rezeki ke luar negara atas nama tugasan, aku belikan cenderahati buat semua kakitangan jabatan pengurusan editorial Berita Harian...ambil hati konon...

Zian yang bekerjasama erat dengan arwah Haji Bakar berhubung kes penjara Saniboey Mohd Ismail dan Yusaini Ali kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi pada 1995, mengimbas:

"Arwah seorang yang berhemah, tenang dan tidak cemas dalam membantu Harian Metro berdepan dengan penahanan dua wartawan ketika itu, Saniboey dan Yusaini. Haji Bakar terlalu tinggi budi hemahnya. Beliaulah abang dan beliau juga bapa ketika meniti bersama liku-liku perjuangan di BH dan HM.

"U tau arwah bermula di Utusan Malaysia," kata Zian.

Sambil keluarga arwah menangisi pemergiannya, sekelompok bekas wartawan Berita Harian membawa haluan masing-masing...mengenang mereka yang telah pergi, rakan taulan yang sama bergelak ketawa, bergurau senda dan barangkali berkecil hati.

Al-Fatihah buat Haji Abu Bakar Ismail dan semua kakitangan Berita Harian yang sudah pulang ke Rahmatullah.

1 comment:

Doctor Romario said...

My deepest condolences to the family...friends and colleagues.



For the Game. For the World.