Pengarang Sukan Berita Harian, Norbakti Alias, menulis surat terbuka buat presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh, hari ini. Ia bersifat satu amaran agar Nadzmi tidak menjadi mangsa konspirasi mainan Tok Dalang di BAM. Siapakah dalang yang dimaksudkan oleh Norbakti?
Surat terbuka buat Datuk Nadzmi
2010/03/16
KE hadapan Datuk Mohd Nadzmi Salleh, Presiden Persatuan Badminton Malaysia.Assalamualaikum, Datuk
TERLEBIH dahulu saya memohon maaf kiranya surat ini dianggap mengganggu ketenteraman Datuk. Merujuk kepada perkara di atas, ini adalah kali pertama saya menulis surat kepada Datuk tetapi ini adalah surat kedua yang sama pentingnya ditulis oleh saya dalam tempoh sebulan ini.
Kita sedar kejayaan Datuk Lee Chong Wei menjuarai Seluruh England sebagai sesuatu yang melegakan Datuk ketika persiapan menghadapi Piala Thomas di Kuala Lumpur nampak kurang menggalakkan.
Namun ia tidak harus menyembunyikan hakikat tidak semuanya dalam BAM aman damai.
Saya terpanggil untuk menulis surat terbuka kepada Datuk selepas melihat suasana huru-hara yang dicetus pegawai BAM sehingga bukan sahaja menimbulkan keresahan di kalangan petugas di pejabat persatuan, anggota Majlis BAM, jurulatih serta pemain sendiri malah persiapan skuad Piala Thomas dan Uber negara sedikit sebanyak terjejas akibat perbuatan pegawai berkenaan yang lebih sudu daripada kuah.
Saya percaya Datuk sedia maklum selepas berpeluang berjumpa sendiri dengan beberapa pemain, sesuatu pertemuan yang gagal diatur untuk Datuk oleh pegawai itu.
Ada yang ditakut-takutkan semata-mata kerana tidak sependapat dengan pegawai itu, yang saya percaya Datuk sedia maklum siapa yang dimaksudkan. Mungkin Datuk tidak menyedari tapi itulah hakikatnya apabila pegawai itu kini mendabik dada mengatakan BAM adalah dia dan dia adalah BAM.
'Kuasa' yang dimilikinya sudah menjadikan pegawai ini mengandaikan dirinya mengatasi segalanya apabila menggunakan nama Datuk dan nama VVIP sewenang-wenangnya untuk menghalalkan segala tindakannya.
Tajaan terbaru yang diperolehi BAM sendiri sudah cukup membuktikan bagaimana Datuk sendiri dipinggirkan. Di depan Datuk, dia 'menjual' nama VVIP bagi 'menakutkan' Datuk manakala di hadapan penaja lama, nama Datuk pula 'dijualnya' untuk melepaskan dirinya.
Perbuatannya selama ini menjadi 'halal' kerana dia sedar tiada siapa yang berani membuat pengesahan daripada VVIP atau Datuk sendiri.
Taktik ini sebenarnya bukan asing dalam BAM dan penyakit ini sukar diubati selagi badminton terus mendapat perhatian tinggi orang kenamaan.
Cuma saya berharap Datuk tidak menjadi mangsa konspirasi khususnya selepas kempen Piala Thomas nanti.
Mungkin Datuk tidak menyedari sudah ada pihak yang mahu menggunakan keadaan kesihatan Datuk sebagai satu liabiliti kepada BAM walaupun sebelum ini, merekalah yang bersungguh-sungguh mahukan Datuk mempertahankan kerusi presiden sewaktu pemilihan BAM akhir tahun lalu. Tapi itu cuma rancangan dalam menghalang seseorang daripada bertanding untuk jawatan itu.
Namun jangan terkejut selepas Mei nanti, pihak itu akan menggunakan peluang 'menyingkirkan' Datuk, sama seperti situasi yang pernah dialami Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan pada 2000. Sebab itulah pegawai ini tidak ambil peduli mengenai peluang skuad Piala Thomas negara, malah sanggup mengucar-kacirkan persiapan dengan tindakannya.
Perancangan ini sudah saya dengar sejak tahun lalu lagi dan dengan apa yang berlaku ketika ini, segalanya nampak semakin hampir menjadi kenyataan.
Rasanya masih belum terlewat untuk Datuk memulihkan keadaan khususnya menjelang Piala Thomas ini sambil membuktikan Datuk bukan jenis orang yang boleh diperkotak-katikkan oleh pegawai sedemikian.
Jangan nanti orang hanya mentertawakan Datuk kerana sistem ‘kaizen’ yang mahu diterapkan dalam BAM selama ini, hanya satu lawak ketika kudis sebenar BAM tidak diubati.
Mungkin kesilapan Datuk adalah terlalu mempercayai pegawai itu sehingga dia bebas melakukan apa sahaja. Barangkali selepas ini, Datuk tidak lagi sekadar mendengar satu pihak sahaja kerana pokok tidak bergoyang tanpa angin.
Namun saya percaya Datuk masih berkemampuan memperbetulkan keadaan sebelum Datuk sama-sama diheret menanggung masalah dicetus pegawai ini.
Saya tidak mempunyai sebarang agenda peribadi biarpun ada tuduhan yang dilemparkan termasuk menerima bayaran daripada pegawai itu selama ini. Teguran ikhlas ini bertujuan memperbetulkan keadaan sebelum terlambat.
Yang ikhlas,
Norbakti Alias