Sejauh ini aku sudah menukilkan luahan hati dalam kolumku Garis Tepi sebanyak lima kali di akhbar Kosmo!
Terima kasih kepada pengarang sukannya Asan Ahmad, bekas wartawan Bernama, yang mempelawa aku dan memberi ruang kepada penulis yang tidak seberapanya ini untuk berkongsi pendapat dengan pembaca. Aku menulis mengenai Lee Chong Wei dan Misbun Sidek hari ini!
KITA harus memanjatkan kesyukuran berikutan kemenangan pakar perseorangan badminton negara, Lee Chong Wei, di Sukan Olimpik Beijing semalam.
Kemaraan anak jati Bukit Mertajam itu ke perlawanan akhir perseorangan lelaki tidak dapat disekat-sekat lagi bagi menjamin sekurang-kurangnya kontinjen 2008 ini membawa pulang satu pingat.
Dengan mengatasi si kidal dari Korea Selatan, Lee Hyun-il 21-18, 13-21, 21-13, Chong Wei sudah memastikan pingat keempat untuk Malaysia sepanjang penyertaan kontinjen negara ke temasya berprestij ini sejak tampil buat julung kali di Melbourne lebih lima dekad lalu.
Seteru ketat Chong Wei, Lin Dan, menjadi tembok penghalang kepada impian rakyat Malaysia agar penantian negara untuk mendakap pingat emas di dalam final esok.
Sekurang-kurangnya pingat perak beserta RM300,000 sebagai habuannya kini dalam genggaman Chong Wei.
Jika Lin Dan ditakluki di depan Tembok Besar, maka Chong Wei bakal menjadi jutawan segera dan atlit pertama menerima hadiah wang tunai RM1 juta mengikut Skim Hadiah Kemenangan Majlis Sukan Negara.
Individu yang menguntum senyum di sebalik tabir sudah tentu bekas juara kebangsaan, Misbun Sidek, yang kini membimbing Chong Wei.
Dari segi pencapaian selaku jurulatih, Misbun sudah melangkaui kejayaannya selaku seorang pemain yang berkarisma.
Lima tahun lalu, Misbun menyuluh laluan buat Muhammad Hafiz Hashim merangkul gelaran Seluruh England.
Kini apa saja yang berlaku dalam final esok, Misbun sudah menurunkan namanya dalam tinta sejarah.
Namun masih segar dalam ingatan penulis apabila Misbun dihalang oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan KLIA dalam menuju ke Athens empat tahun lalu. Dia dilaporkan menghadapi masalah dengan pihak bank.
Kelam kabut dibuatnya kontinjen negara.
Adakah ini satu budaya yang menyokong kegiatan pembangunan sukan?
Adakah Misbun akan lari meninggalkan negara kita dan mencari suaka politik di Greece sehingga dia tidak diberi keizinan enam hari sebelum temasya di Athens disingkap tirainya?
Misi pasukan badminton sedikit sebanyak terjejas dengan insiden itu. Sebuah akhbar pula menyiarkan berita mengenai insiden itu di muka depan.
Bayangkanlah kedudukan Misbun ketika itu sebagai jurulatih untuk merangsang pemainnya supaya sentiasa di tahap tinggi.
Setiba di Athens, pemain perseorangan kendalian Misbun tersungkur satu persatu. Chong Wei tewas di tangan Chen Hong pada pusingan kedua.
Tidak lama selepas itu, Misbun mengadu kepada penulis mengenai masalahnya. Perbualan di perkampungan sukan di luar Athens itu berkisar sekitar jumlah jurulatih di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang disifatkan jauh daripada memadai.
“Cuba you lihat kalau Sony Dwi Kuncoro mengesat peluhnya, Joko Suprianto menemaninya. Jika Taufik Hidayat menghadapi masalah, dia mengerling ke arah Mulyo Handoyo. Ini adalah kelaziman di Indonesia.
“Nisbah seorang jurulatih dengan pemain adalah 1:1. Seorang jurulatih boleh memberi sepenuh tumpuan kepada anak didiknya. Saya pula terpaksa memantau tiga hingga empat pemain sekali gus,” keluhnya.
Beberapa hari sebelum dia berlepas ke Beijing, penulis sempat bertemu Misbun di kediaman seorang sahabat.
Di sebalik riak wajahnya yang menampakkan kerisauan kerana isteri tercinta harus menjalani rawatan dialisis, Misbun cukup optimis.
“Persiapan kita kali ini banyak berbeza. Sekarang tiba masa Chong Wei menterjemahkan apa yang dipelajari dalam latihan kepada aksi di gelanggang. Dalam tempoh empat tahun banyak yang dipelajari.”
Chong Wei hanya selangkah daripada pingat emas pertama Olimpik dalam sejarah sukan negara.
Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengambil langkah populis menanugerahkan gelaran Datuk kepada Nicol David mengambil jalan yang sama dengan Chong Wei?
Sudah tentu. Bukan saja Chong Wei mahu “score points”, politikus pun tidak mahu ketinggalan! Berbeza dengan Misbun. Dia barangkali lebih selesa menemani isterinya untuk rawatan dialisis seterusnya.
No comments:
Post a Comment