Saturday, August 9, 2008

Final Piala Belia


Piala Belia FAM sudah sampai ke penghujungnya Ahad ini. Final yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu mempertemukan pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dengan tuan rumah Kelantan pada jam 4.0 petang.
Final ini agak signifikan. Ia adalah final terakhir pertandingan Bawah 19 tahun ini yang akan dimansuhkan bermula musim depan. Piala ini akan tinggal dalam lipatan sejarah bola sepak negara.
Ia dimansuhkan kerana Kementerian Pelajaran melancarkan Piala KPM khusus untuk Bawah 14 dan Bawah 17 tahun.
Maka satu-satunya pertandingan belia yang ada di bawah seliaan FAM adalah Piala Presiden, satu kejohanan Bawah 21 tahun.
Berbalik kepada final Ahad ini, SSBJ adalah juara bertahan dan dibimbing oleh anak Melaka yang juga bekas bek kebangsaan, Ong Kim Swee.
Selain menjadi tonggak Barcelona Babes bawah teraju Chow Kwai Lam pada 1991-92, Kim Swee menjadi orang kepercayaan Claude Le Roy pada Sukan Asia di Hiroshima pada 1994.
Kim Swee juga menjadi jurulatih program realiti TV Soccerkids di TV3.
Anak buah Kim Swee dan Yong Wai Hwang semuanya duduk sebumbung di Bukit Jalil dan masih bersekolah. Program ini bersandarkan perjanjian bersama FAM dan KPM yang sudah melahirkan Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak, Amirulhadi Zainal, Nasril Nourdin dan Safiq Rahim.
Kelantan yang berazam menebus kekecewaan abang-abang senior gagal ke suku akhir Piala Malaysia, membariskan pemain lebih berusia.

No comments: