Sunday, July 9, 2017

#throwback artikel Oktober 2015 - Pelantikan Zainal Abas

BAGI penonton setia pelbagai program terbitan Astro, Zainal Abas bukan nama dan wajah yang asing.

Dia antara penyampai perintis program bola sepak Astro SuperSport, 14 tahun sebelum Astro Arena diwujudkan.



Ramai juga maklum tugasnya di televisyen bukanlah kerja hakiki dan sepenuh masa anak kelahiran Muar, Johor ini.

Zainal, 48, adalah guru Bahasa Inggeris dan jurulatih olahraga bertauliah yang memulakan kerjayanya di SM Tun Perak, Muar, sebelum menjadi guru perintis apabila Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ditubuhkan pada tahun yang sama Astro dilancarkan untuk langganan pada 1996.

Kepakarannya adalah acara lompatan melintang, iaitu lompat jauh dan lompat kijang, sejak kali pertama lulus kursus kejurulatihan peringkat pertama Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (kini KOM) dengan rakan sekursus, termasuk Nordin Jadi, Sajaratultudur Hamzah dan Kamarulzaman Tahir pada 1993.

"Saya lebih cenderung kepada hoki dan ragbi di bangku sekolah. Minat saya terhadap olahraga hanya timbul pada bulan-bulan terakhir di sekolah menengah,” kata Zainal, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Kluang.

Zainal antara jurulatih muda pada era milenium baharu yang diberi ruang yang luas untuk mengembangkan bakat selain Manshahar Abdul Jalil, Ithnin Mahadi dan S. Entheran.

Kesemuanya diserapkan ke dalam program pembangunan dan pelapis Majlis Sukan Negara (MSN). Antara atlet yang menerima tunjuk ajar Zainal termasuk Ngew Sin Mei, Siti Zubaidah Adabi, Muhammad Hakimi Ismail, Noor Amira Mohd Nafiah dan Noor Shahidatun Nadia Md Zuki.

Sin Mei juara berganda Sukan SEA di Manila 2005 manakala Hakimi dan Noor Amira simbol lompatan melintang hari ini dengan reputasi selaku pemegang rekod kebangsaan.

Nadia pula masih bergelut mengembalikan prestasi yang membolehkannya memenangi pingat emas lompat jauh dan lompat kijang di Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Asean selama lima tahun berturut-turut.

Sekalipun ada rekod cemerlang dalam melahirkan atlet ke pentas antarabangsa, Zainal tidak menonjolkan diri sebaliknya dia lebih gemar kekal di bawah radar sebagai tenaga pengajar kumpulan atlet pelapis.

Kini Zainal tidak dapat mengelak daripada menjadi tumpuan. Pelantikannya selaku ketua jurulatih dipersetujui MSN dalam mengurus selia 11 jurulatih dan 48 atlet ke arah mempersiapkan diri ke Sukan SEA 2017.

Namanya berada pada tangga teratas dalam senarai tiga individu yang dicalonkan oleh KOM, tanda pengiktirafan ke atas sumbangannya sepanjang dua dekad yang lampau.

Jarang-jarang KOM memberi ruang kepada individu yang berada di luar kelompok pemegang jawatan badan induk. Tugas ketua jurulatih yang menyelaras dan memantau perancangan setiap atlet bersama jurulatih masing-masing lazimnya dipikul pengerusi jawatankuasa kejurulatihan KOM, misalnya Datuk Nashatar Singh dan J.V. Jayan atau bekas atlet seperti Hanapiah Nasir dan jurulatih asing seperti Edwin Ozolin.

Pelantikan Zainal harus disambut baik sekalipun dianggap melanggar tradisi.

Sebagai guru, Zainal yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) (major Bahasa Inggeris, minor dalam Radio, Filem dan Televisyen) dari Universiti Canterbury di Kent, England, menerima pelbagai anugerah, termasuk Guru Cemerlang Sukan dan Anugerah Ikon Guru 2014.

Dari segi kelayakan dalam olahraga, Zainal bukan sekadar layak menjadi instruktur atau pensyarah IAAF, bahkan sudah ada rekod melahirkan atlet, selain diberi kesempatan menjadi ketua jurulatih ke Kejohanan Remaja Dunia IAAF di Donetsk 2013 dan Sukan Olimpik Remaja di Nanjing 2014 dan Kejohanan Olahraga Remaja Dunia IAAF di Oregon 2014.

Namun dalam analisis terakhir, menjadi penyampai di kaca televisyen jauh lebih mudah daripada membentuk generasi atlet yang berupaya mengukir nama di pentas antarabangsa serta mengurus modal insan untuk sebuah badan induk yang kerap diulit kontroversi!

Selamat maju jaya, Zainal!

No comments: