Friday, June 11, 2010

Garis tepi kembali...

Terima kasih pulutmalaya dan yob4ever, dua orang kuat Kosmo! Kembalinya kolumku Garis Tepi di akhbar Kosmo! sempena Piala Dunia 2010 hari ini. Tentunya aku menyentuh wajarnya kita mengirim jurulatih bukan pegawai ke Afrika Selatan. Teknokrat atau birokrat?

KITA PERLU HANTAR PAKAR TEKNIKAL KE AFRIKA SELATAN


ADA yang menganggap Sukan Olimpik sebagai temasya sukan paling besar, mewah, masyhur dan prestij. Namun kita maklum setiap empat tahun, tiada topik lain yang menguasai minda warga dunia melainkan pesta bola sepak bergelar Piala Dunia.


Malam ini, sepak mula untuk kejohanan kebanggaan FIFA edisi ke-19 itu yang kali pertama diadakan di Benua Gelap, dilakukan oleh tuan rumah Afrika Selatan dan Mexico dalam Kumpulan A.


Jika tumpuan dunia berpusat kepada Steven Pienaar dan rakan-rakannya dalam barisan Bafana Bafana serta Rafael Marquez dan Carlos Vela di pihak Mexico, rakyat Malaysia harus menanti-nanti kelibat pengadil keempat, Subkhiddin Mohd Salleh di Johannesburg.


Pengadil berusia 44 tahun itu akan beraksi dari garisan tepi membantu pengadil, Ravshan Irmatov dan dua penolongnya, Rafael Iryasov dan Bahadyr Kochkorov, untuk mengendalikan perlawanan pembukaan.


Pemilihannya diiringi doa warga Malaysia. Bahkan Subkhiddin menerima sokongan moral Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Dengar khabar Subkhiddin dicadangkan diberi anugerah Guru Cemerlang.


Berbeza dengan Subkhiddin yang mencipta sejarah menjejak rumput-rumput Piala Dunia, tiga lagi wakil negara beraksi di sebalik tabir, secara rasmi di bawah naungan FIFA. Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akbar Khan, mengetuai pasukan keselataman di Durban, manakala Dr Gurcharan Singh mengepalai pasukan perubatan di Pretoria.


Windsor John pula bertindak selaku ketua penyelaras am, atau lebih dikenali dengan istilah General Co-ordinator yang bertanggungjawab terhadap semua aspek penganjuran sesuatu perlawanan.


Beberapa rakan penulis seperti pengacara RTM, Hafizal Hamad dan Zainal Abidin Rawop dari Astro Arena antara wakil media yang dianggarkan seramai 15,000 orang sedang berkampung di seluruh Afrika Selatan untuk membawakan laporan dari perspektif masing-masing.
.
Tidak lupa juga orang besar FAM yang bertandang ke sana atas jemputan FIFA.


Soalnya apakah pakar teknikal atau jurulatih kita dibawa mengkaji perkembangan taktikal bola sepak moden?


Kaedah ini sudah menjadi amalan Jepun, Korea Selatan dan tentunya negara lain yang mengambil serius pembangunan pelbagai peringkat. Jepun sedar jurulatih peringkat remaja harus dikirim meneliti aspek persiapan pasukan pada kejohanan besar.


Mereka dikirim ke gelanggang berkaitan mengkaji pelbagai sudut persiapan, corak latihan, aspek taktikal dan diberi kesempatan menemu ramah jurulatih.


Dari situ, jurulatih terbabit mengkaji sama ada possession football (corak permainan sabar berteraskan kemahiran menyimpan bola) atau counter-attack (serangan balas) lebih berkesan atau tidak.


Elok juga kita belajar mengutamakan golongan teknokrat dalam hal-hal tertentu dan jangan asyik melebihkan ahli birokrat. Jurulatih di kalangan teknokrat bakal berkongsi ilmu dan maklumat dengan anak buah mereka, sekali gus mendedahkan mereka kepada corak dan perkembangan bola sepak moden.


Jika ditanya siapa penulis ramalkan bakal menaiki podium di final 12 Julai nanti, ia sukar diagak. Sejak kecil mengagumi sentuhan Perancis yang berseni halus, namun bermain di benua Afrika, Brazil harus dianggap pilihan.


Anak buah Dunga yang menjuarai Piala Konfederasi tahun lalu, dibimbing secara pragmatik, menggabungkan kekuatan fizikal, daya taktikal dan sedikit tarian samba. Namun sejak Piala Konfederasi diperkenalkan pada 1992, juaranya tidak pernah mengungguli Piala Dunia.


Ramai beranggapan satu nama baru bakal terpahat selaku juara dunia. Kelompok elit tujuh negara yang dianggotai Uruguay, Itali, Brazil, England, Jerman, Argentina dan Perancis dikatakan harus membuka pintu kepada ahli baru, sama ada juara Eropah Sepanyol ataupun Belanda.


Siapa pula kata pemain bola sepak tidak mementingkan wang? Ingat bagaimana Togo mahu memulau Piala Dunia 2006 kerana tidak menerima bayaran daripada persekutuan mereka?


Juara dunia kali ini bakal menerima hampir RM120 juta untuk diagihkan kepada persekutuan dan anggota skuad.


Akhir kalam, sambil menikmati temasya terhebat itu sepanjang 30 hari, usah pula berjudi iya!

1 comment:

haizul azmi said...

selamat kembali garis tepi.

Komen andan berkenaan dengan kehadiran jurulatih/pasukan teknikal kita di sana amat menarik. Namun begitu, bagi saya, access kepada latihan pasukan2 piala dunia lebih penting sekiranya kita mahu jurulatih belajar daripada segi teknikal.
bak sam allardyce, yg tidak duduk di dug out kerana blh melihat the whole game better di directors' box.

Hanya dengan berada bersama ketika latihan blh jurulatih kita belajar sesuatu. Dengan adanya teknologi hd, instant replay, prozon, etc, lebih baik kita menganalisis corak permainan melalui saluran tv dan kompilasi video pasukan2 yg terlibat.

Just my 2 cents worth in malay :)