Berikutan tulisanku yang disiarkan dalam stadiumastro.com pada 23 Februari, 2016.
Kerjasama yang terjalin hasil cetusan ilham Astro Arena dengan Astro Digital Publications selaku penerbit menemui noktah menerusi edisi terakhir yang memaparkan muka depan 21 edisi terdahulu.
Di tengah-tengah kehangatan Liga M yang ditaja Astro di antara 2011 dan 2014, pengurusan Astro Arena dan Astro Digital Publications (Adpub) memikirkan sebuah majalah yang memberi liputan khusus untuk bola sepak tempatan cukup sesuai diterbitkan.
Perbincangan yang diadakan sekitar 2013 melebihi lima kali. Antara isunya sama ada diterbitkan dalam bentuk naskhah atau atas talian atau digital. Akhirnya terlaksana penerbitannya pada April 2014 dalam bentuk digital.
Asalnya jawatan pengarang majalah digital Arena ini ditawarkan kepada Norbakti Alias, bekas pengarang sukan Berita Harian. Namun dia menolak atas sebab-sebab tertentu dan akhirnya Datuk Hishamuddin Aun, penasihat Astro Arena yang juga pengarang urusan majalah digital Arena, mencadangkan nama penulis (selaku pengarang simpanan atau pilihan kedua) kepada Sree Pathmanaban, ketua pegawai operasi Adpub waktu itu.
Bagi penulis, ia cabaran baharu. Selaku wartawan akhbar tabloid, junior broadsheet kemudian menjadi blogger dan pengarang sisipan bola sepak EplX dan Rembat! di akhbar Kosmo, dunia digital satu proses yang semula jadi untuk melengkapkan pengalaman penulis.
Untuk edisi pertama yang menampilkan Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat sebagai wajah muka depan, Lee Seng Foo yang juga pengarang urusan majalah Four-Four-Two meletakkan batu asas penerbitan majalah ini dan bertungkus-lumus berganding bahu dengan penulis Shazreeq Alhadi menyediakan keluaran sulung sambil dibimbing Hishamuddin.
Tanpa pengarang yang belum dilantik, panel editorial memilih Piya dan Apeks untuk menghiasi edisi pembukaan dan pengenalan arena, selain menyiapkan pelbagai ruangan seperti peminat selebriti, sepetang bersama, dapur atlet dan pilihan bulan ini yang menggabungkan elemen interaktif termasuk video, teks dan gambar slaid serta muka depan yang diselitkan animasi.
Peserta seni bela diri campuran atau mixed martial arts, Ann Osman atau nama pentasnya Athena menjadi penyeri muka depan yang disempurnakan oleh Seng Foo untuk keluaran kedua. Sedikit sebanyak inisiatif ini memasarkan sukan MMA ke mata masyarakat, sekecil mana sekalipun.
Penulis terbabit secara terus dengan keluaran ketiga yang menampilkan Edleen Ismail dan Beatrice Krishnan, dua rakan penyampai Astro Arena yang membincangkan bola sepak dari perspektif wanita sempena penganjuran Piala Dunia FIFA. Edisi ini turut memuatkan perancangan Felix Pietro untuk Astro Arena dan Reem Shahwa dari Astro SuperSport yang ditugaskan membuat liputan di Brazil.
Sazali Abdul Samad, kejayaan skuad aristokrat Pahang, Dollah Salleh dan penolongnya, skuad Malaysia Bawah 22 tahun, Farah Ann Hadi dan kakaknya Katrina Ann, Loh Zhiayi, Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane, Irfan Shamshuddin serta Syaidatul Afifah Badrul Hamidi antara yang terpilih mewarnai muka depan arena.
Interviu eksklusif dengan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, selain dua serangkai tonggak ragbi negara, Dineshvaran Krishnan dan Syahir Asraf Rosli, atau masing-masing dikenali dengan nama gelaran Dugro dan Sahur, turut membawa kenangan tersendiri.
Sebenarnya tugas pengarang arena satu sinergi dengan tugas penulis di Astro Arena. Selaku hos bersama Kafe Sukan, penulis harus sentiasa mengemas kini maklumat dan perkembangan terbaharu dunia sukan tempatan.
Apabila pengurusan Astro Digital Publications memilih Jason Kang untuk menjadi pereka grafik tetap Arena, daya kreativitinya memberi nilai tambah kepada arena.
Terima kasih kepada jurufoto Ahmad Johanif Azman, jurukamera Ian Kirk dan Shahzuan Al Hadi serta abangnya Shazreeq yang menemu bual Andik Vermansyah untuk resipi ayam penyetnya dan Mohammad Rizal Razak, penyumbang tetap foto dan artikel.
Terima kasih juga kepada Sree yang sudah bersara dan ketua kandungan Adpub, Donald Cheah, yang memberi peluang kepada penulis untuk belajar dan belajar lagi dan semua penulis tetap dan sambilan yang menyumbang.
Sehingga ketemu lagi!
Nota kaki: Arena merakamkan setinggi-tinggi terima kasih untuk semua atlet, jurulatih, penggiat sukan dan kakitangan Astro Arena dan Astro Digital Publications yang memberi kerjasama dalam menjayakan majalah ini.
Untuk edisi penutup, aku meyimpulkan setiap edisi satu persatu.
Kembara majalah digital Arena berakhir di sini.
Kerjasama yang terjalin hasil cetusan ilham Astro Arena dengan Astro Digital Publications selaku penerbit menemui noktah menerusi edisi terakhir ini. (Februari 2016). Sebagai mengimbau kenangan, arena untuk kali terakhir menghidangkan muka depan 21 edisi terdahulu sebagai tanda ingatan untuk pengikut setia.
Edisi sulung
Muka depan: Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat (bola sepak)
Tanpa seorang pengarang yang belum dilantik, Lee Seng Foo yang juga pengarang urusan majalah Four-Four-Two meletakkan batu asas penerbitan majalah ini dan bertungkus-lumus berganding bahu dengan penulis Shazreeq Alhadi sambil dibimbing pengarang urusan, Datuk Hishamuddin Aun. Panel editorial memilih Piya dan Apeks untuk menghiasi edisi pembukaan dan pengenalan arena, selain menyiapkan pelbagai ruangan yang menggabungkan elemen interaktif termasuk video, teks dan gambar slaid.
Edisi 2
Muka depan: Ann Osman (seni bela diri campuran)
Peserta seni bela diri campuran atau mixed martial arts, Ann Osman atau nama pentasnya Athena menjadi penyeri muka depan yang disempurnakan oleh Seng Foo. Sedikit sebanyak inisiatif ini memasarkan sukan MMA ke mata masyarakat, sekecil mana sekalipun.
Edisi 3
Muka depan: Edleen Ismail dan Beatrice Krishnan (penyampai Astro Arena 801)
Hasil buah tangan pertama pengarang Rizal Hashim dibantu Shazreeq, menampilkan Edleen Ismail dan Beatrice Krishnan sebagai dua wajah Astro Arena membincangkan bola sepak secara umum sempena penganjuran Piala Dunia FIFA. Edisi ini turut memuatkan perancangan Felix Pietro untuk Astro Arena dan Reem Shahwa dari Astro SuperSport yang ditugaskan membuat liputan di Brazil.
Edisi 4
Muka depan: Farah Ann Hadi (gimnastik artistik)
Ketika ditemu ramah untuk edisi keempat, Farah Ann Abdul Hadi baru pulih daripada kecederaan dan menjalani persiapan ke Sukan Komanwel di Glasgow.. Profesional dalam melayan pertanyaan dan temu janji krew arena di gimnasium di Majlis Sukan Negara (MSN), gimnas artistik jelita ini membuat beberapa rutin yang biasa untuk dirakam tetapi keberatan untuk melakukan pergerakan yang memerlukan pemantauan jurulatih. Kesudahannya kejayaan Farah Ann di Sukan SEA 2015 disusuli kontroversi, dengan sesetengah pihak mempertikai kaedah pemakaian atlet gimnas.
Edisi 5
Muka depan: Katrina Ann Hadi (renang berirama)
Disiplin renang berirama jarang-jarang dibicarakan, maka kami memutuskan Katrina Ann Abdul Hadi yang juga kakak Farah Ann untuk dijadikan penghias muka depan. Ditemani Tasha Jane Taher Ali untuk sesi temu bual dan rakaman foto di kolam di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, Katrina berkongsi visi untuk layak ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro. Malangnya kini Katrina Ann tidak lagi bergelar atlet setelah mengumumkan persaraannya selepas memenangi pingat emas di Sukan SEA di Singapura tahun lalu atas sebab-sebab peribadi.
Edisi 6 Muka depan: Sazali Abdul Samad (bina badan)
Asalnya kami bercadang merakam aksi Sazali Abdul Samad di dapur, memasak makanan yang dihitung kalorinya sebagai gambaran disiplin yang diperlukan untuk membina otot-otot pejal yang banyak mengharumkan nama negara. Kesudahannya Sazali mengizinkan sesi fotografi di gimnasium di ISN di Bukit Jalil sambil melumurkan badannya dengan minyak, Menceritakan pengalaman di kampung sebelum berhijrah ke hutan batu, Sazali mengimbau pelbagai kenangan bersama arena. Walaupun kini menjalani hukuman gantung empat tahun gara-gara mengguna bahan terlarang, Sazali tetap wira di mata masyarakat. Untuk peminat selebriti pula, bekas penyampai Astro Arena, Azura Zainal, ditemu bual di gim miliknya bersama suami tercinta berasal dari Brazil, Ibrahim Cristiano Genuino da Silva. Zumba, capoeira dan yoga serta senaman bergelar Fit Combat adalah antara rutin harian Azura dalam mengekalkan susuk tubuh yang cergas. Azura dan suami melayan penggambaran krew Arena di Caboco, yang terletak di Zenith Corporate Park, SS7/26 di Kelana Jaya.
Edisi 7
Muka depan: Dollah Salleh (bola sepak)
Berikutan pelantikannya sebagai jurulatih skuad kebangsaan menggantikan Datuk K. Rajagobal, Dollah dipilih menjadi subjek utama edisi ketujuh bagi membincangkan hala tuju pasukan negara, dua bulan sebelum anak didiknya dibawa menyeberangi Tambak Johor untuk Piala AFF. Turut dirakam foto khas ialah tiga penolong Dollah - Reduan Abdullah, Omar Salim dan Wan Mustaffa Wan Ismail, dengan pengarah seni arena, Jason Kang, memikirkan konsep di Wima FAM. Turut ditonjolkan pendapat pakar dari Astro Arena mengenai prospek pasukan negara di Piala AFF. Malangnya tidak sampai setahun Dollah meletak jawatan setelah pasukan negara dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi dalam pra-Piala Dunia dan digantikan oleh Datuk Ong Kim Swee.
Edisi 8
Muka depan: Pahang (bola sepak)
Pahang muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta’azim (JDT) dalam final yang ditentukan sepakan penalti di Stadium Nasional di Bukit Jalil. Sebagai satu penghormatan, arena memilih untuk menceritakan Pahang selaku pasukan aristokrat pertama di pentas tempatan, bermula selepas Sultan Ahmad Shah mengambil alih teraju Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) daripada ayahandanya selaku presiden dengan memindahkan beberapa pemain yang bertugas di Penjara Taiping ke Kuantan dengan bantuan Ketua Pengarah Penjara waktu itu, Tan Sri Murad Ahmad.. Digandingkan dengan Jamal Nasir Ismail, Redzuan Shamsuddin, Hamidon Abdullah dan Rosmaini Mohd Shah, barisan Pahang antara yang disegani dalam saingan domestik, dengan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia sebanyak tujuh kali - pada 1975, 1977, 1978, 1979, 1980, 1981 dan 1982. “Asas kejayaan Pahang hari ini sebenarnya berpunca daripada visi Sultan Ahmad Shah dan diteruskan oleh anakanda-anakanda Tuanku,” kata Ramli Mahmud. Skuad aristokrat ditandai pasukan 1983 yang menjulang Piala Malaysia pada 1983, Pasukan Impian 1992 sehingga kejayaan 2014. Artikel muka depan itu membawa kenangan manis kepada Rizal yang diisytihar pemenang keseluruhan Anugerah Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2014. Edisi ini turut memuatkan kisah atlet seni bela diri campuran, Peter Davis dan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014.
Edisi 9
Muka depan: Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane (bowling)
Sejak tampil di pentas tempatan pada usia 14 tahun pada 1992, Shalin Zulkifli telah banyak meninggalkan jasa untuk negara. Jadi siapa pengganti multak mahkota milik Shalin? arena memilih Sin Li Jane berasaskan keputusan yang dicatat di antara 2010 dan 2014. Dalam tempoh empat tahun, Li Jane melonjakkan permainannya dan terpilih menyarung jersi negara di peringkat senior di Sukan Asia Guangzhou pada 2010, dengan kenangan mengutip gangsa berpasukan.
Di Sukan SEA di Palembang, Li Jane mengutip pingat perak individu dan gangsa berpasukan
Seterusnya Li Jane mencipta sejarah, berganding bahu dengan Syafiq Ridhwan untuk merangkul Trofi Bent Peterson berdasarkan jatuhan pin terkumpul kategori lelaki dan wanita di Wroclaw, Poland pada 2012. Lebih manis buat Li Jane, trofi disampaikan oleh bekas presiden Poland, Lech Walesa.Sepanjang 2014, Li Jane mencatat keputusan cemerlang. Dia memenangi Kejohanan Kebangsaan pada April, disusuli Euro Med Masters (Mei), dan Terbuka Singapura, selain perak di Sukan Asia di Incheon dan tangga kedua di Piala Dunia QubicaAMF, sekali lagi di Wroclaw, Poland, November lalu. Rencana arena menyimpulkan kesediaan Shalin menyerah mahkotanya kepada Li Jane. Edisi ini turut memuatkan kisah bagaimana skuad bola sepak negara mengutip pingat gangsa Sukan Asia di Teheran pada 1974 sekalipun dilingkari isu penerbangan lewat, pemulauan terhadap jurulatih yang disudahi dengan setiap pemain diberi hadiah jam.
Edisi 10
Muka depan: Shukor Adan (bola sepak)
Arena memberi penghormatan kepada kapten dan sumber inspirasi, Shukor Adan, yang membimbing pasukan negara muncul naib juara Piala AFF. Pada usia 35 tahun, Shukor mengawal benteng pertahanan dengan kental sekalipun tidak terdaya menghalang Chanathip Songkrasin dan rakan-rakan daripada menjulang gelaran. Hampir sebulan peminat tempatan dibuai keseronokan, dilanda kegelisahan, dihimpit kerisauan dan melompat kegembiraan dalam merasai debar dan getar untuk tujuh perlawanan membabitkan anak buah Dollah Salleh. Media arus perdana memilih sudut positif. Pejuang-pejuang papan kekunci membakar semangat, sambil membuat momokan terhadap sesetengah watak utama. Bermula dengan kontroversi pelantikan penolong jurulatih yang dipertikai banyak pihak, prestasi tidak menentu dalam perlawanan persahabatan, insiden kad merah, penyenaraian pemain senior yang mengundang cemuhan, insiden merokok di restoran mamak, hinggalah detik Safiq Rahim melencongkan sepakan percuma yang menggegar jaring - gol dari situasi sedemikian yang pertama untuknya sejak menentang Laos pada edisi 2012 - Harimau Malaya melakar skrip yang sukar dilupakan.
Ia bukan skrip cerita dongeng. Ia catatan perjalanan pasukan negara sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2014. Kesudahan yang diimpikan, malangnya, tidak seindah ceritera yang berakhir dengan nota kemenangan. Sekalipun merakam kemenangan 3-2 ke atas barisan Thailand pada malam final kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, tanggal 20 Disember 2014, Piala AFF yang menjadi kebanggaan bola sepak Asia Tenggara terlepas ke Bangkok. Untuk sebahagian besar permainan, barisan Harimau Malaysia memberi gambaran seolah-olah bola sepak Malaysia dalam keadaan yang sihat wal afiat. Tujuh pertembungan sehingga ke final turut dipaparkan.
Edisi 11
Muka depan: Previu Liga Super (bola sepak)
Dengan purata perbelanjaan pasukan untuk semusim meningkat sehingga RM20 juta setahun, apakah pemain tempatan bersedia bersaing? Apakah pemain asing terus mendominasi tajuk berita? Apakah gaji tinggi pemain berbaloi dengan sumbangan di atas padang? Di sebalik kemeriahan liga yang dinanti-nantikan, di manakah hala tuju pasukan negara yang berdepan pelbagai cabaran - kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun, Sukan SEA di Singapura, pra-Piala Dunia untuk skuad senior dan saingan pra-Olimpik? FAM dalam situasi kalah-kalah sebenarnya. Kemeriahan Liga Super tidak akan menebus duka ini. Tujuh pasukan negeri, sebuah wakil negara jiran, dua agensi kerajaan dan dua firma gergasi berkaitan kerajaan (GLC) mewarnai Liga Super musim 2015 manakala Liga Perdana disertai enam pasukan negeri, satu institusi pendidikan tinggi, sebuah agensi kerajaan, dua agensi sukan negeri, satu pasukan daerah dan sebuah syarikat swasta. Jumlah pasukan yang mewarnai kedua-dua liga ini harus menambah kehangatan saingan. Namun kesudahannya, apakah kualiti permainan yang ditagih agar Dollah Salleh, Datuk Ong Kim Swee dan Razip Ismail mempunyai kelompok pemain yang boleh diketengahkan. Begitulah previu Liga M arena edisi 11.
Edisi 12
Muka depan: Razip Ismail, Farhan Abu Bakar, Nazirul Naim Che Hashim dan Syahrul Azwari Ibrahim (bola sepak)
Untuk edis ke-12, kami memilih menonjolkan skuad Bawah 22 tahun yang bersiap menghadapi Kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun. Gambar dirakam sehari sebelum mereka berlepas ke Dhaka, sudahnya mereka muncul juara Piala Bangabandhu. Profil Farhan Abu Bakar, Nazirul Naim Che Hashim dan Syahrul Azwari Ibrahim turut diterbitkan sambil membincangkan tiga isi besar untuk sekelompok anak muda yang dipikul sepanjang 2015 menjadi penanda aras sama ada mereka wajar atau tidak diangkat selaku peneraju nama negara untuk lima tahun akan datang. Liga Singapura, kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun dan Sukan SEA di Singapura mencabar kewibawaan program Harimau Muda yang dijangka dimansuhkan sesudah ini, keputusan yang dipersetujui jawatankuasa teknikal FAM dan pengarah teknikal, Fritz Schmid.
Menerusi prrogram Harimau Muda di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI), lahirlah nama-nama seperti Irfan Fazail, Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Izham Tarmizi Roslan yang lahir pada 1991. Bagi mengenang pemergian pengulas tersohor, Datuk Hasbullah Awang, arena memuatkan belasungkawa nukilan Hafizal Hamad.
Edisi 13
Muka depan: Loh Zhiayi (terjun)
Umpama terbitnya sinar matahari di celah-celah kabus pagi, Loh Zhiayi tampil sebagai produk terbaharu dari kilang yang melahirkan pakar terjun negara. Gadis cilik yang berasal dari Taiping itu meraih dua pingat di Sukan Olimpik Remaja pada Ogos 2014, perak dalam acara 10 meter platform disusuli gangsa 3m papan anjal dua hari kemudian. Sepuluh hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-17, Zhiayi mengutip 450.65 mata untuk menduduki tangga kedua acara 10m platform, ketinggalan kepada Wu Shenping dari China yang menggondol emas dengan mengumpul 526.20 mata. Tangga ketiga milik Alejandra Orozco dari Mexico. Dua hari kemudian, dalam acara papan anjal yang menuntut lonjakan daripada kekuatan betis bagi membuka ruang untuk menyempurnakan rutin, Zhiayi meraih gangsa. Mengumpul 446.70 mata, Zhiayi menduduki tangga ketiga di belakang Shengping (492.05) dan Ganna Krasnoshlyk dari Ukraine (459.10). Dua pingat Zhiayi itu penting dalam menceritakan potensinya yang dikongsi arena sebagai penghias muka depan edisi ke-13.
Edisi 14
Muka depan: S. Balachandran, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Adam Zairi Fitri Zaini
Atas sebidang tanah yang dahulunya berstatus pertanian, satu impian besar disemai. Sekelompok anak muda dihimpun di satu kawasan di Janda Baik untuk diberi biasiswa latihan dan pendidikan formal dalam membentuk mereka menjadi pemain bola sepak berkaliber. Benih yang disemai harus tumbuh menjadi pohon membekalkan hasilnya. Krew Arena yang diketuai pengarang, Rizal Hashim, ditemani jurufoto Ahmad Johanif Azman dan juruvideo Shahzuan Al Hadi, dibawa meninjau kemudahan Akademi Frenz United di Janda Baik dan pulang membawa kisah jurulatih S. Balanchandran, penyerang Hadi Fayyadh Abdul Razak dan penjaga gol, Adam Zairi Fitri Zaini.
Edisi 15
Muka depan: Irfan Shamshuddin (olahraga)
Bertubuh sasa tetapi atletik, Muhammad Irfan Shamshuddin adalah produk ekosistem yang mengutamakan sukan. Hampir dua dekad jantungnya berdegup dalam mengharungi rentak kehidupan, anak muda ini menjalani satu metamorfosis - bermula dengan golf, renang dan ragbi sebelum namanya dikenali menerusi acara lempar cakera. Krew arena mengambil masa hampir tiga jam mendapatkan sudut dan konsep terbaik, dengan meminta Irfan memakai jersi ragbi dan baju olahraga untuk disesuaikan sebagai muka depan. Daya kreativiti Jason selaku pengarah kreatif arena memungkinkan Irfan dilihat menjalani proses metamorfosis daripada ragbi kepada olahraga. Lokasi di padang Majlis Sukan Negara yang menjadi gelanggang latihan pemanah negara.
Edisi 16
Muka depan: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (bola sepak)
Hampir setahun selepas mengambil alih kemudi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada ayahandanya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memenangi kerusi sebagai ahli jawatankuasa eksekutif FIFA dalam pemilihan yang diadakan Kongres AFC di Bahrain. Namun penghormatan memasuki kelab elit itu tidak menjamin kejayaan buat Tengku Abdullah di pentas tempatan. Sebab itu arena menemu bual secara eksklusif tokoh yang mengisi kerusi empuk paling panas dalam sukan negara menerusi rencana soal jawab. Malangnya tidak lama selepas itu pasukan negara diaibkan 10-0 oleh UAE mengakibatkan Tengku Abdullah hilang semangat untuk meneruskan tugas.
Edisi 17
Muka depan: Dineshvaran Krishnan dan Mohd Syahir Asraf Rosli (ragbi)
Dunia ragbi jauh lebih kecil dan kelompok pemainnya juga tidak semasyhur bintang-bintang bola sepak yang menikmati hidup mewah dalam satu industri yang dijana siaran televisyen dan hak komersial. Namun ragbi di Malaysia sedang menuju ke arah pengkomersialan. Jadi arena memutuskan menampilkan dua pemain yang harus diangkat menjadi ikon untuk ragbi negara berbeza dari segi penampilan, susuk tubuh dan latar belakang. Dineshvaran Krishnan kini berkelana ke Jepun, membawa nama Malaysia dengan menyarung jersi juara liga Jepun, Yamaha Jubilo, manakala Mohd Syahir Asraf Rosli adalah kapten negara yang melalui sistem sukan tempatan untuk muncul sebagai pemain disegani. Kemunculan dua ikon generasi baharu ini seiring dengan ledakan teknologi maklumat, tanpa perlu bergantung kepada cara konvensional dalam melonjakkan nama ragbi.
Edisi 18
Muka depan: Grafik previu Piala Malaysia
DI tengah-tengah jerebu yang melanda bola sepak negara, edisi ke-89 Piala Malaysia tampil sesudah aib besar terpalit. Malaysia dibelasah 10-0 oleh UAE dan Piala Malaysia dianggap medan menebus kecewa. Dengan kejayaan mempertahankan gelaran Liga Super, JDT dianggap pasukan pilihan untuk mara ke final sekali lagi tetapi tiga serangkai Pantai Timur - Pahang, Terengganu dan Kelantan - menampakkan kesungguhan menyentuh puncak prestasi pada penghujung musim. Soalnya jika Piala Malaysia diraikan, mengapa aib 10-0 boleh berlaku? Antara persoalan yang dibentangkan oleh arena dalam menyorot 16 pasukan yang memburu kegemilangan Piala Malaysia.
Edisi 19
Muka depan: Faizal Ramli (muay thai)
Tidak ramai yang mengingati Faizal Ramli sebagai antara penyumbang 43 pingat emas untuk kontinjen negara di Sukan SEA di Nay Pi Taw pada 2013. Bahkan kemenangannya dalam kategori 75kg menjamin pingat emas terakhir buat Malaysia tanggal 22 Disember 2013. Hanya seketika namanya berada dalam radar sukan negara, apabila aksinya melenyapkan laungan sokongan 5,000 penonton yang menyemarakkan semangat Aung Myint Win. Dua tahun sebelum sejarah dicipta di stadium tertutup Wunna Theikdi itu, Faizal antara watak dalam musim kedua program realiti di saluran televisyen AXN, Contender Asia, yang dipancarkan ke 50 negara. Faizal yang menewaskan lawannya, Abdul Alif Mohd Zulkifli, pada proses pemilihan di Kelantan, bersama juara Ultimate Warrior 2007, Bernard Radin, 37, dari Sarawak mewakili Malaysia dalam acara itu yang membabitkan 16 peserta seluruh dunia. Rancangan itui bukan saja memaparkan unsur seni mempertahankan diri, malah menyediakan cabaran, emosi, inspirasi dan motivasi.
Senjata utamanya dalam bertarung ialah menyiku lawan, maka tercetuslah gelaran Golden Elbow atau siku emas untuk anak jati Kampung Gong Kua, Pasir Puteh, Kelantan itu. “Tapi untuk bertarung, saya biasa buka langkah dengan mengukir senyuman,” katanya. Begitulah kesimpulan muka depan edisi ke-19 arena.
Edisi 20
Muka depan: Lakaran Generasi 2020 (bola sepak)
Dalam bola sepak, ramalan tidak semestinya menjadi realiti. Namun berasaskan prestasi semasa, latar belakang dan susur galur kerjaya mereka, beberapa remaja sudah mencipta nama sebagai bintang dalam pembikinan. Andainya bakat mereka digilap dan diurus dengan profesional sambil mengambil kira perkembangan fizikal masing-masing, kelompok pemain berusia 15 hingga 19 tahun ini harus mewarnai saingan tempatan dalam dekad akan datang. Arena menampilkan tonggak kepada generasi 2020 dengan menyentuh potensi pemain dari Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) atau NFDP yang dijana Kementerian Belia dan Sukan (KBS), program elit di peringkat sekolah sukan di Gambang, Bukit Jalil dan Bandar Penawar selain sekolah sukan negeri seluruh negara yang menyalakan sebuah fantasi - bahawa kecemerlangan melangkaui rantau Asia Tenggara bukan sekadar impian pada masa akan datang.
Edisi 21
Muka depan: Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (bowling)
“Karakter saya gila-gila,” kata gadis manis ini membuka bicara. Ramah menjawab pelbagai soalan, khususnya mengenai perwatakannya, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi rileks dan bersahaja melayan kerenah krew Arena. Sudah lama nama Afifah dicadangkan oleh pengarang urusan, Datuk Hishamuddin Aun, untuk menjadi penghias muka depan Arena tetapi hanya sekitar Oktober tahun lalu kesempatan itu terhidang. Menghadirkan diri ke studio Astro Digital Publications di Sri Kembangan, tidak jauh dari Institut Sukan Negara (ISN) yang Afifah singgah untuk proses rehabilitasi, gadis berusia 24 tahun ini rupa-rupanya lebih tinggi daripada pengarang arena, Rizal Hashim. Afifah menjadi tumpuan bukan saja kerana kemahirannya melontarkan bola di lorong-lorong bowling. Dia juga dianggap antara jelitawan dalam kalangan atlet. Akhirnya Afifah menjadi penghias wajah penutup tirai arena yang bertahan hampir dua tahun.
Nota kaki: arena merakamkan setinggi-tinggi terima kasih untuk semua atlet, jurulatih, penggiat sukan dan kakitangan Astro Arena dan Astro Digital Publications yang memberi kerjasama dalam menjayakan majalah ini.