Monday, January 14, 2019

Bossku Mohd Zian Johari - sifu, mahaguru dan mentor


Aku teruja sungguh apabila terserempak dengan bek kiri Kuala Lumpur, Nazim Din, sedang berbekam di sekitar Chow Kit. Sebagai peminat bola sepak, aku kenal dia, walaupun duduk dalam keadaan terang-terang malam.

Berborak ringkas dengannya, aku tahu aku sudah dapat story. Berita sembilan perenggan yang bertajuk Nazim jalani rawatan tradisional tersiar dalam Berita Harian edisi 13 September, 1991. Ketika itu kami pelatih Skim Latihan Pra-Kewartawanan NSTP yang ditugaskan mencari bahan berita sekitar Kuala Lumpur sebagai latihan amali.

Bagaimana berita itu tersiar membawa aku kepada pertemuan sulungku dengan Allahyarham Mohd Zian Johari.

Balai Berita ketika itu sudah ada dua bangunan - bangunan lama dan baharu. Harian Metro sudahpun berpindah ke tingkat empat bangunan baharu, manakala meja sukan Berita Harian masih bergelumang dalam asap rokok dan stres di bangunan lama.

Selepas menyimpan berita dalam disket atau floppy disk berukuran 5 setengah inci, aku diarahkan oleh Nashruladin Abdul Rahman, ketua pengarang berita BH yang juga pensyarah kami, untuk berjumpa dengan Zian.

Aku sekadar dengar-dengar namanya sebagai bekas wartawan yang menjawat tugas pengarang sukan BH. Namanya yang unik, mesti orangnya unik, detik hatiku. Tapi aku tidak tahu rupanya bagaimana. Dengan tersipu-sipu, aku terpaksa tanya geng-geng di meja sukan yang mana satu Zian.

"Encik Zian, Haji Nash minta saya bagi story ni kepada Encik Zian," kata aku kepadanya.

"Story apa?"

"Story Nazim Din berbekam."

Dia senyum, lalu memanggil Norbakti Alias untuk memindahkan story aku ke dalam sistem. Itu juga detik pertemuan sulung aku dengan Bakti yang akhirnya menjadi pengarang sukan BH.

Pertemuan ringkas itu tidak terlalu signifikan. Yang lebih penting adalah usaha aku melobi untuk menyertai meja sukan sekalipun memulakan tugasan sebagai wartawan secara rasmi pada 1 Disember 1991 bersama meja am (berita) BH, Dua rakan sepelatih - Mohd Saufi Hamzah dan Munir Ana'am Zuljadan - beruntung dikirim ke meja sukan - unit yang aku impi-impikan.


Haji Bakti, Zian, aku dan Fariq Rahman bergambar kenangan sempena kenduri di rumahku pada 2 Disember, 2017.



Dalam aku gigih meredah kesesakan jalan raya untuk menuju ke pejabat atau destinasi tugasan membuat liputan berita, setiap kali ada kesempatan aku akan singgah di meja Zian. Bila dia free, aku suka menyapa dan bertanya khabar. Beberapa kali juga Zian mengajak aku duduk bersembang dengannya. Dari situ kami sering berkongsi info mengenai bola sepak luar negara.

Sampailah akhirnya aku mendapat surat pertukaran ke meja sukan dan melapor diri kepada Zian pada 1 Januari 1992. Aku dan V. Ashok ditukarkan dari meja berita ke meja sukan.

Namun aku dikejutkan dengan keputusan meletakkan aku ke dalam unit sisipan mingguan Jaguh. 

"Ah, Jaguh? Dahlah sekali seminggu, tak banyak cabaran," bisik hatiku.

Zian menjelaskan kepada aku "I letak u kat Jaguh, nanti bila ada kekosongan I transfer you ke main desk." Aku sekadar mengangguk setuju. Yelah, budak baharu, nubis (dalam slanga sekarang), takkan nak lawan boss.

Dua orang kuat Jaguh - Radzi Wahab dan Shaharuddin Ramli - bertukar tugas. Radzi memperkuatkan meja sukan sebagai penulis senior manakala Shahr menjadi penyunting, atau sub-editor untuk buat page atau muka surat.

Benarlah, setiap tindak-tanduk Zian itu bersebab. Di Jaguhlah aku belajar secara perlahan mengenai dunia sukan tempatan selain belajar menterjemahkan ratusan artikel agensi berita asing untuk diolah menjadi tatapan pembaca.

Pertama, aku diberi ruang dan masa untuk mengenal pegawai, jurulatih, atlet dan masyarakat sukan amnya tanpa didesak memenuhi tuntutan deadline. Aku dibimbing oleh Rosli Safar, yang kerap membawa aku ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk diperkenalkan kepada pegawai berpangkat besar, termasuk Ketua Pengarah, Datuk Kamalul Ariffin Abdul Rahim dan timbalannya, Datuk Wira Mazlan Ahmad, serta Datuk Ho Koh Chye.

Kedua, aku diberi ruang menemu bual ramai personaliti dari sisi yang kurang diketahui umum. Misalnya menemu bual Misbun Sidek di kedai keretanya di Kampung Baru dan menemu bual Wan Nor Zaleha Wan Ahmad Radzi sekeluarga di kediaman ibu bapanya di Damansara. Masih aku ingat ketika jurufoto Kamaruddin Ahmad memarkir kereta agak jauh dari kediamannya, aku dipayungkan untuk mengelak gerimis oleh Wan Zaleha sendiri. 



Dikirim meliput final Piala Malaysia 1992 menggunakan kuota Jaguh. Sembang dengan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil di tepi pagar Stadium Merdeka


Sebelum telefon bimbit berkamera dicipta, jurufoto gemar merakam gambar aku. Kenal tak Shahrin Majid? Gambar dengan Wan Zaleha, Misbun dan Azman Adnan tak ambik pulak...


Ketiga, aku bekerja dengan orang berpengalaman dan banyak ilmu seperti Ishak Dalib (penyelia Jaguh), Nasir Ahmad (penyunting Jaguh yang juga bekas pengarang Dunia Sukan), Rosli serta Rahime Yusoff, penulis yang terkenal dengan lenggok penulisan yang berbunga. Tentu sekali aku banyak belajar memerhati, meniru dan berkongsi pandangan dengan otai.



1992, Zian membuat liputan Sukan Olimpik. Kalau sambungan 365 tidak diangkat, secara automatik panggilan telefon akan disambung ke 363, sebelah tempat aku duduk. Dari Barcelona, Zian akan menelefon mengesahkan sama ada storynya dah masuk sistem atau belum


Keempat, aku bergilir dengan Ishak, Nasir, Rosli dan Rahime menulis ruangan Kaca Mata yang dikhaskan dalam Jaguh. Aku belajar menjadi kolumnis yang melontarkan pandangan.



Dari kiri, Shahr, Rodly, aku, Zian, Bakti, Rahime dan Zulkifli mengeteh dan mengopi di Kayu Ampang. Sesi sebegini memberi ruang kami mengimbau kenangan lalu


Kelima, aku belajar menulis rencana, bukan berita. Agensi berita AP dan AFP banyak menyiarkan rencana berbanding Reuters, yang sesuai untuk diterjemahkan dan diolah menjadi rencana buat tatapan pembaca setia Jaguh, 

Keenam, aku belajar bergaul. Aku belajar proof read, turun ke production untuk meninjau proses penerbitan Jaguh, apa itu bromide, aku belajar bagaimana paste-up artist menampal bromide untuk dicetak.

Ketujuh, aku belajar menguatkan otot tanganku mengangkat dua jag air minum petang untuk mesyuarat Jaguh setiap Rabu yang dipengerusikan oleh Zian. Dari kantin hingga ke tingkat 4, bayangkan...walaupun sesetengah rakan semeja menganggap aku ego, tidak ada dalam kalangan mereka yang sanggup bawak jag air babe tidak menggunakan lif... 

Kelapan, aku melihat dengan dekat bagaimana seorang pemimpin mendorong anak buahnya. Zian, bagiku, seorang natural leader dengan aura dan karisma tersendiri. Allahyarham meletakkan penanda aras terhadap mutu dan etika kerja yang amat tinggi.

Kesembilan, tanpa tekanan untuk merangka story setiap hari, aku mempunyai masa untuk mentelaah keratan akhbar lama di Pusat Sumber NSTP yang menyimpan khazanah tidak ternilai di dalamnya. Ada sekali itu, aku terjumpa keratan akhbar dengan picture byline Zian, berambut panjang dan bermisai, perghhh rugged tu....juga aku teringat artikel terbitan New Straits Times pada 1975 yang memaparkan byline Zian.


Zian meliput final Pestabola Merdeka 1976 yang ditandai dua jaringan Mokhtar Dahari menumpaskan Jepun yang dianggotai Kunishige Kamamoto dan Yasuhiko Okudera.


Kesepuluh, aku belajar mengenai catur, kabaddi, sukan berkuda, taekwondo, karate, olahraga, golf, angkat berat, menembak, sukan-sukan yang kurang glamour berbanding bola sepak, badminton dan hoki.

Ketika membincangkan byline yang sesuai untukku, memandangkan di meja berita dan artikel pertama mengenai Kau Git Kaur menggunakan nama penuhku, "Panjang sangatlah, kita pendekkan...pakai M Rizal Hashim?" cadang Zian. Ia dipaparkan mengiringi artikel mengenai Lorraine Bottreau, wanita berasal dari Argentina yang membangunkan Pusat Ekuestrian Taman Rimba Templer.

Untuk minggu seterusnya, Zian mencadangkan Rizal Hashim saja. "Baik boss," jawabku.

Antara pengalaman tidak dapat kulupakan, apabila Nasir yang terkenal dengan kalutnya terpaksa menukar muka depan Jaguh atas arahan Zian, walhal deadline untuk cetak biasanya petang Selasa untuk keluaran setiap Khamis. Biasanya Nasir akan mengetap bibirnya dan aku syak membisikkan kata-kata kurang manis terhadap Zian. Aku syak saja.

Asalnya Jaguh disiarkan setiap Sabtu dengan bersaiz tabloid. Pada 1992 majalah sisipan Berita Harian bertukar saiz junior broadsheet.

Hujung tahun 1992, aku ditukarkan ke meja sukan harian. Setidak-tidaknya aku sudah mengutip pengalaman berharga meskipun tempoh berguru di bawah otai-otai Jaguh tidak sampai setahun.



24 Disember, 1992 - story pertama aku yang dijadikan tajuk utama muka belakang atau back page lead (best story of the day konon). Story aku pendek, disedapkan oleh sentuhan Saodi Mat Atar yang berkata: "Dengan Zian ni kau kena main sentimen, bubuh background sikit"


Tugasan pertama di luar KL? Temasya sukan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Stadium Lumut. Lebih kurang hari keluarga la tu. 

Zian pesan jangan lupa singgah jumpa Raja Lumut, Khairul Anuar Mokhtar, sambil mengirim ikan talang masin. Sebab itu aku teringat apabila pegawai perhubungan LPP, Iskak Syono, ada datang sembang dengan Zian beberapa minggu sebelum itu. Last-last aku kena cover, duduk stail dorm tidur atas katil dua tingkat.

Aku juga meliput Sukan Malaysia (Sukma) di Johor pada 1992 apabila aku menemu bual Rosdi Talib dari Terengganu selain perlumbaan lebuh raya Jelajah Pantai Timur anjuran Persatuan Lumba Basikal Wilayah Persekutuan (PLBWP) serta Borneo Safari pada 1993.


Borneo Safari 1993. 


Muka belakang aku yang pertama adalah story sepak takraw. Beberapa minggu aku ditugaskan memburu Rehan Mohd Din, killer handalan negara, yang merajuk gara-gara kekecohan penyertaannya di Piala Raja Thai pada Mac 1992. Story yang memetik Pak Lah Marzuki tersiar pada 24 Disember, 1992.

Baca beberapa coretan kenangan wira-wira Jagoan dan Reunion Kelab Met

Di sebalik ketegasan Zian menerajui meja sukan ibarat seorang maharaja, beliau menitikberatkan ukhwah. Ramadan dilazimi dengan buka puasa secara bergilir di rumah kakitangan tertentu, bermula dengan bosslah. 


Detik manis di rumah Zian buka puasa 1994. Dani (di pangkuan Zian) ditakdirkan mengimamkan solat jenazah selepas Zohor, Sabtu lalu. Bacaan doa dalam bahasa Arab diselangi doa dalam Bahasa Melayu membuatkan sebahagian daripada kami menitiskan air mata. Bakti masih ingat bulan puasa ini kerana beliau ditugaskan membuat liputan Kejohanan Badminton Seluruh England menjelang Hari Raya. "Aku baru kahwin dan raya pertama di England pulak...tapi Zian bagi aku extend stay seminggu dan orang rumah join aku later...itu aku ingat," kata Bakti.


Pada 1 April, 1994, Zian dinaikkan pangkat menjadi Pengarang Eksekutif Harian Metro, manakala Hishamuddin Aun, bekas rakan serumah, sepasukan dan sekerja Zian di meja sukan BH pada 1980-an, menggantikannya sebagai pengarang sukan BH.

Aku mengikuti perkembangan Harian Metro dengan rapat. Apabila aku berhijrah ke The Malay Mail pada 1996, aku kerap juga singgah di Harian Metro di Tingkat Tiga, berkongsi pandangan dan kadang-kadang story dengan rakan-rakan seperti Allahyarham Hazli Hussaini, Azahar Md Taib, Kasdi Ali, Manan Samad dan Sufian Thauri Muhammed.

Apabila NSTP menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) pada 2004, Zian antara yang memohon dan akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada lubuk rezekinya sejak 1975.

Hubungan kami tidak terputus. Misalnya, Zian menjemput rumah sesetengah daripada kami ke rumah terbukanya pada 2009.


Zian, Rahim Lajis, adik ipar Zian, Afandi dan Razali Yahya


Pada 2010, Zian dilantik menjadi Ketua Pengarang akhbar Transisi yang diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM). Baca di sini dan di sini. Malangnya akhbar itu tidak bertahan lama sekalipun kandungannya berbeza dan mencabar minda. Zian menawarkan aku kerja sebagai kolumnis tetapi disebabkan komitmen tugas, aku terpaksa menolak pelawaannya.

Layari pautan edisi 8 Transisi.





Wajah-wajah pengarang sukan Berita Harian


Aku kekal rapat dengan Zian selepas pindah hanya sepelaung dari rumahnya. Kami berjiran sejak 2010 dan selalu terserempak di kedai makan jika tidak ke rumah masing-masing. Kami selalu berhubung menerusi aplikasi whatsapp untuk bertanya khabar.

Dalam pertemuan kami, Zian dan isterinya Kak Fuzilah, membincangkan beberapa perancangan mereka, termasuk mewujudkan tadika berdekatan rumah mereka dan memohon sokongan aku.

Sambil menunggu jenazah dikafankan di Masjid Ukay Perdana, aku berbual dengan adik keenam Allahyarham, Haji Saufi.

Haji Saufi yang pernah duduk serumah dengan Zian di Brickfields pada awal kerjayanya di NSTP, menceritakan bahawa Zian menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke MCKK ketika Tingkatan 1 dan juga menolak ke RMC ketika Tingkatan 4.

"Arwah bapak kecewa dengan keputusannya itu. Tawaran ke MCKK waktu itu bukan mudah, mungkin Zian antara kelompok kecil dari Melaka yang terpilih," cerita Haji Saufi.

Zian yang dilahirkan pada 23 Mac, 1954, adalah anak kelima daripada lapan beradik.

Yang sulung guru Siti Rohani, 73, kedua Haji Mohd Anuar, 71, yang juga bekas bendahari UiTM.

Ketiga Zaiton, 69, diikuti Haji Mazlan, 67, bekas juruterbang TUDM, Zian dan Allahyarham Khalid, yang meninggal dunia tiga tahun lalu ketika sedang mengajar di sekolah di Hulu Tembeling. 

"Zian rapat dengan Khalid dan pemergiannya amat dirasai," kata Saufi, 62. Adik bongsu mereka adalah Norzalilah, 53.

"Ramai tidak tahu Zian menyara hidup kakak kami Zaiton," kata Saufi.

Bapa mereka, Johari Madun, guru besar Sekolah Kampung Brisu di Alor Gajah. Ibu mereka Salbiah Haji Nor. Mereka menetap di Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina.

Saufi terkenang detik-detik menunggu Zian di kedai buku.

"Itu hobinya. Dia boleh duduk dalam kedai buku dan perpustakaan sampai tiga jam."

Saufi juga terkenang perbualan dengan abangnya mengenai cahaya mata Zian, Zeeti Izati.

"Zian memberitahu saya Zeeti dinamakan sempena Tan Sri Zeti Akhtar Aziz," katanya.

"Bila Zeeti menunjukkan bakat dalam sukan dan juga akademik, Zian dengan bangganya berkata ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi...like father, like daughter," katanya.

Selain pantas berlari dan mewakili Alor Gajah Secondary English School dalam lari berganti-ganti, Zian juga kaki bola.

"Dia boleh pergi rumah ke rumah untuk ambil kawan-kawan bermain bola."

Benar, seperti kata Hussin Rahman, yang menyertai New Straits Times pada 1979 sebelum berhijrah ke Berita Harian tiga bulan kemudian dan kembali ke NST pada 1991 dan seterusnya The Malay Mail.

"Aku kongsi tarikh lahir dengan Zian, tapi dua tahun lebih muda. Kami duduk sebumbung di Jalan Taban, Lucky Garden, Bangsar. Sebagai kapten pasukan sekolah-sekolah Melaka bawah 18 tahun, Zian seorang pemain tengah yang elegant.

"Apabila aku dapati hujung minggu tiada aktiviti berfaedah, aku cadangkan kita buat team bola. Lagipun adanya Rahim Zain bekas pemain Melayu Negeri Sembilan, Rahim Lajis yang juga bekas penjaga gol remaja kebangsaan serta Razali Yahya dan Johari Mohd yang main dalam Liga Pasir Gudang, BHFC ada potensi. Akhirnya Zian menjadi penggerak utama BHFC. Dengan Renault 5nya, Zian tak jemu ambik dan hantar pemain dan belanja sarapan. But kereta penuh dengan barangan bola," kata Hussin.

Hussin mengingati detik Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari menjadi tetamu kehormat satu daripada perlawanan BHFC.

"Reporter biasalah, datang lambat...ada yang bangun lambat. Mokhtar mendengus, apa ni game start lambat," kenang Hussin. "Biasalah, bila VIP macam Mokhtar ada, semua nak tunjuk hebat, termasuk Zian. Aku sengaja membuat hantaran agar terkeluar di garisan tepi dan aku tengok reaksi Zian dan Mokhtar sama - macam bengang dengan aku."

"Satu hari, disebabkan aku banyak cakap, Zian menawarkan aku jadi kapten. Sambil menamakan starting line-up aku drop Zian hahaha....terlalu banyak kenangan manis bersama Zian, seorang insan yang pemurah," kata Hussin.



Gambar dirakam pada 1983 ketika BHFC berkunjung ke Johor Bahru untuk melawan NST Johor. Berdiri dari kiri Allahyarham Maarof Bakar, Hussin, Isha' Jamil, Mohd Ali Majid, Zian, Hishamuddin Aun dan Rosli Safar. Depan dari kiri Salim Shaari, Zul, Allahyarham Rahim Zain, Khairul Mazzaman Ghazali, Ishak Dalib, Razali Yahya dan Jailani Harun.


Keghairahannya tidak luput ditelan zaman. Apabila aku menyertai meja sukan, Zian tanya pandai main bola tak? Aku cakap sikit-sikit aje hahahaha. Kemuncak keghairahan kami adalah Piala Dunia Berita Harian, saingan antara unit-unit dalam BHSB.


Jagoan 1992. Belakang dari kiri Rahime Yusoff, Saodi Mat Atar, Ali Mansor Aman, Radzi Wahab, Rosli Safar, Rosli Rahmat dan Zulkifli Ibrahim. Depan dari kiri Mohd Ali Majid, aku, Ishak Dalib, Rodly Nayan, Munir Ana'am Zuljadan dan Badrulhisham Othman. Kami muncul naib juara selepas tewas kepada Harian Metro pada final.


Jagoan 1993. Belakang dari kiri Rahim Zain, Saufi Hamzah, Meor Pusat Sumber, Solmi Ahmad. Depan dari kiri Rosli Safar, Rodly Nayan, aku, Nasir Ab Wahab dan Ishak Dalib. Malang sekali gambar Zian selaku jurulatih merangkap pengurus tiada dalam simpanan.



X Men BH...2010


Apabila Zian menjadi pegawai media Tan Sri Annuar Musa, pada awalnya kami berbincang politik dan bola sepak sambil menghidup udara petang.

Pada Mei 2015, Zian mewujudkan kumpulan aplikasi whatsapp Mukmin Buddies, bertujuan mengajak ahlinya mengaji Al-Quran secara bersendirian dan mengikut juzuk pilihan masing-masing, seterusnya berkumpul untuk bertalaqqi dan bertadabbur jika ada kelapangan.

Empat bulan sebelum itu, Zian meminta aku menjadi pentadbir kumpulan bekas penulis sukan Berita Harian. Aku mewujudkan kumpulan Team Retro Jagoan BH yang menghimpun wartawan sukan era 1970-an hingga 1990-an pada Januari 2015 atas gesaan Zian. Objektifnya agar mengekalkan ukhwah dan sesekali bertemu, ziarah-menziarahi serta berkongsi jemputan perkahwinan dan kenduri-kendara.



Aku, Zian dan Rodly menziarah Zam Zam Isa, isteri Saufi Hamzah (kiri), yang menderita sakit kencing manis. 


Kenangan mengusik jiwa. Biasanya aku ditugaskan menyelaras jemputan dan mencadangkan lokasi mengeteh...dalam pertemuan sebegini aku kerap mengingatkan bagaimana wartawan senior pun menikus bila Zian masuk ofis. Persoalan yang dilontarkan apabila masuk ofis "macam mana cuaca?" Kalau bos bad mood, jawapannya ialah "bahaya untuk bot-bot kecil". Mengenang ini kembali, Zian akan ketawa berdekah-dekah...apatah lagi apabila diingatkan dengan perkataan "kalakahak"...


Menghadiri walimatul urus anakanda Nasir Ahmad di Kajang....


Ini detik yang tidak dapat kulupakan. Membawa Zian, Nasir Ahmad dan isteri menziarahi Datuk Hishamuddin Aun di rumahnya di Shah Alam pada November 2012, menaiki Avanzaku.


Dari kiri Haji Aziz, suami kepada Hajah Rosniza Rasul, Rasid Rahaman, aku, Haji Rodly, Haji Ali Mansor Aman dan Haji Bakti bersama Fazil Mahmud menziarahi Zian, kali terakhir aku menatap wajah bossku.


Beberapa jam sebelum pemergiannya, Harian Metro menganjurkan doa selamat buat Zian di Surau NSTP. Dihadiri antaranya Haji Najib Rahman dan Haji Farush Khan.

Tengah malam itu, Zian menghembuskan nafas akhirnya. Aku mendapat pengesahan daripada kawan-kawan dan memajukan mesej sedih itu kepada kawan-kawan lain.

Keesokan pagi, aku bersama isteri menziarahi jenazahnya yang tiba di rumah kira-kira jam 3.0 pagi. Ku dengar anaknya Dani membaca surah Ar-Rahman di sisi jenazah. Ku lihat Annuar, bekas Menteri Belia dan Sukan serta timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menyambut tetamu yang mengucap salam takziah.


Dari kiri Othman Mamat, Datuk Ahmad Burak, Daeng Salim Bachok dan aku di luar rumah Zian. Kelibat Seri Intan Othman dan Norhayati Md Said turut kelihatan.

Jenazah dimandi dan dikafankan di Masjid Ukay Perdana yang belumpun berusia dua tahun. Selain begitu ramai sahabat handai yang juga bekas rakan seperjuangan dan anak buahnya yang hadir memberi penghormatan terakhir disusuli solat Zohor dan solat jenazah, masjid dipenuhi peserta kursus haji.

Solat jenazah diimamkan oleh Dani, yang menyulami doa dalam bahasa Arab dengan bait-bait dalam bahasa Melayu menyebabkan ada antara kami yang menitiskan air mata.

Turut hadir Randhir Singh, bekas wartawan The New Straits Times era 80-an dan 90-an.

"He was a good friend. We discussed many things in private. We grew close over the years after I was first introduced to him by Ravi Nambiar in Kota Kinabalu in 1987," said Randhir, or Randy to his friends.

Randhir adalah antara kelompok kecil manusia yang sering mengajak Zian minum petang di pejabat. Zian memilih siapa teman minum kerana di pejabat seperti BH, siapa pergi minum dengan siapa boleh jadi topik membawang. Ketegangan di pejabat boleh kendur jika Randhir atau Rahime dan Rodly diajak minum apabila cuaca bahaya untuk bot-bot kecil. Pada awal kerjaya ku di meja sukan, aku sesekali diajak Zian untuk minum. Banyak topik perbualan kami berkisar kepada liga bola sepak luar negara. Tapi sejak ditegur beberapa senior, aku perlahan-lahan menolak pelawaannya.

Bagi Nasir Ahmad, beruntunglah mereka yang berguru dengan Zian.

"Zian mahaguru dunia persuratkhabaran," kata Nasir.

C. Ramasamy menceritakan pengalaman peribadinya di bawah seliaan Zian di Harian Metro dalam artikel yang disiarkan akhbar itu pada 15 Januari 2019.

TERIMA KASIH ENCIK ZIAN.

Ia minggu kedua September 2001. Dunia masih dalam kejutan akibat serangan nekad ke atas simbol kekuatan dan hegemoni Amerika Syarikat - menara berkembar World Trade Center di kota New York. Dan buat pertama kali juga insiden 11 September itu disaksikan oleh khalayak umum secara langsung di kaca televisyen.

Setiap detik perkembangan peristiwa itu yang kemudiannya mengubah percaturan kuasa besar dunia dilaporkan pada masa benar di media elektronik. "Paper agak tercabar. TV sudah bawa cerita terkini. Kita nampak ketinggalan. Kita kena fikirkan sesuatu atau orang takkan beli paper," kata Mohd Zian Johari yang ketika itu yang menjadi Pengarang Eksekutif Harian Metro.

Pada waktu itu, Harian Metro menerbitkan edisi Kuala Lumpur yang keluar pada waktu tengah hari dengan berita terkini. Satu pasukan terdiri daripada wartawan, jurugambar dan penyunting akan masuk jam 4 pagi untuk memastikan akhbar berada di pasaran pada waktu makan tengah hari. Untuk memastikan liputan terbaik 9/11, untuk minggu-minggu berikutnya Zian hadir ke pejabat selepas Subuh dengan membawa bersama sarapan untuk petugas waktu dinihari itu.

Beliau akan bersama wartawan mencari angle story terbaik, bersama penyunting mencari heading terbagus, bersama jurugambar memilih foto semasa, malah bersama-sama mereka bentuk muka depan. Apabila akhbar yang siap dicetak berada di tangan, Zian akan kembali meneliti apa yang boleh ditambah baik - dari segi laporan dan design - untuk hari berikutnya.

Komitmen beliau dalam soal kerja memang tiada tolok bandingnya.Kesungguhan dan kegigihannya sukar ditandingi. Beliau sememangnya tegas, tetapi di sebalik ketegasan itu ada sisi lembutnya. Bagi ramai dalam kalangan kami - warga kerja Harian Metro dan Metro Ahad yang berpeluang bekerja bersamanya, beliau sememangnya seorang legenda. Sebab itu apabila Zian menghembuskan nafas terakhirnya pada tengah malam Sabtu lalu akibat komplikasi jantung pada usia 65 tahun, kehilangannya mengusik banyak hati.

Zian amat arif dalam segenap aspek persuratkhabaran. Daripada menulis berita sehingga mengenali jenis font dengan hanya melihatnya, semua dimahirinya. Dengan pantas beliau boleh melakar dua atau tiga layout paper yang berbeza. Bermula dengan Meja Sukan New Straits Times pada 1975, kemudian ke Meja Sukan Berita Harian dan seterusnya menjadi wakil Berita Harian di London, Zian kaya tendang terajang dunia kewartawanan.

Beliau menyertai Harian Metro pada penghujung 1994 sebagai pengarang ketika sedang membuat persiapan untuk ke Los Angeles, Amerika Syarikat bagi membuat liputan perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Dalam buku peringatan sempena sambutan 20 tahun Harian Metro yang diterbitkan pada 2011, beliau menulis: "Ketika mendapat arahan ke Harian Metro sedangkan saya sudah bersiap sedia untuk ke Amerika Syarikat sudah tentu saya rasa geram namun saya menjadikan geram itu sebagai pencetus perubahan dalam Harian Metro."

Dan perubahan yang diilhamkan beliau bukan sedikit. Zian adalah antara orang yang bertanggungjawab meletakkan batu asas kukuh untuk membolehkan Harian Metro muncul sebagai akhbar terlaris dalam sejarah persuratkhabaran di Malaysia pada kemudian hari.

Satu faktor kepada kejayaan beliau ada keberaniannya untuk mencuba formula baru meskipun ramai yang tidak berapa bersetuju dengannya.

Ini dijelaskan beliau sendiri dalam buku peringatan berkenaan: "Kita banyak menyiarkan laporan berlainan. Pelbagai reaksi diterima. Ada yang suka dan ada yang sebaliknya namun ketika itu pengedaran Harian Metro agak terumbang-ambing. "Saya perlu lakukan sesuatu. Saya boleh katakan eksperimen ini berjaya kerana ramai yang sedar mengenai Harian Metro dan pengedaran kita naik sehingga 100,000 naskhah."




Meskipun begitu, Zian, yang turut berperanan melancarkan edisi hujung minggu Metro Ahad pada 20 Ogos 1995 sehingga keluaran sulungnya mencecah 100,000 naskhah, tidak gemar menjaja kejayaan beliau.

Malah, pada satu ketika apabila pengedaran Harian Metro mencecah angka 230,000 naskhah, beliau pernah mengarahkan poster mengenai pencapaian itu yang sudah siap dipasang di dinding pejabat diturunkan.

Beliau berkata kepada saya dalam bahasa Inggeris: "Work hard in silence. Your success will be your noise." Saya antara yang menampal poster berkenaan.

Zian yang dilahirkan di Kampung Sungai Jernih, Lubuk Cina, Melaka pada 1954 kemudiannya kembali ke Berita Harian sebagai Pengarang Eksekutif Berita Minggu sebelum mengambil keputusan untuk berhenti daripada bidang kewartawanan dengan mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2004.

Selepas meninggalkan kumpulan The New Straits Times Press, beliau dalam satu mesej mengingatkan warga kerja supaya terus berusaha keras memaju dan mempertahankan Harian Metro/Metro Ahad dan membawanya ke tahap seterusnya.

Saya secara peribadi banyak belajar daripada Zian mengenai jatuh bangun dunia kewartawanan dan persuratkhabaran. Tetapi pelajaran paling berharga yang saya timba daripada beliau ialah betapa setiap seorang daripada kita perlu memberikan dedikasi yang utuh dan tidak berbelah bahagi kepada tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Terima kasih Encik Zian!

Datuk Badrulhisham Othman turut menukilkan perasaannya dalam artikel untuk NST pada 13 Januari, 2019.

YESTERDAY WHEN WE WERE YOUNG

KUALA LUMPUR: NOT many journalists would have the opportunity to experience the full life of a newspaperman who writes, edits, lays out pages, knows how to crop pictures, has good knowledge of font sizes and creates impactful headlines. 

This is more so if a person is given the chance to lead the revamp of a newspaper and gets involved in the management of its sales copies, advertising revenue and promotional activities.It was between the 1970s and the 2000s - the golden age of print journalism - that Zian Johari achieved them in the New Straits Times Press. His passing yesterday at the age of 65 due to heart complications was a mournful day for those who knew and worked with him throughout those years.

Back in 1975, Zian, with his shoulder-length hair, left Melaka to join the New Straits Times' Sports Desk. It was believed that the New Straits Times Press Chief Editor Pak Samad (Tan Sri Samad Ismail), who interviewed Zian in his move to strengthen Berita Harian and break Utusan Malaysia's dominance in the industry, had transferred some Malay journalists from NST and Malay Mail, including Zian, to the new NSTP Malay outfit. 

There, Zian and former NST crime reporters, like Haniff Hadi (later promoted to BH deputy group editor), as well as other young reporters, formed a dynamic BH Sports Desk under Zainuddin Bendahara.

Besides reporting, these young chaps learned picture cropping, newspaper layout and page output at a time when computer usage was minimal. Perhaps the desire to inject a new look and feel to the sports pages had prompted them to do so as the pages were done by veteran sub-editors who were P.Ramlee's friends.

I came to know Zian during my practical training days at the Berita Harian Sports Desk in 1984. At that time, Zian had been assigned as a sub-editor to design pages for the Sports Desk. There was a new breed of talented sports writers like Hishamuddin Aun (who later became NSTP group editor in chief), Rahim Zain and Ghafar Ismail (who later became Harian Metro deputy group editor).

He was a good footballer too. Rumour has it that such a remark was made by football legend Datuk Soh Chin Aun, when they played for their school in Melaka. Zian, who was nicknamed Zian Brady (after Arsenal and West Ham midfielder Liam Brady), was crazy about football. 

On almost every Sunday morning he would arrange games for the Berita Harian team. He would knock on our doors to wake us up and join him for the game. His car boot was full of jerseys, balls, pails and water bottles. He would make two or three trips to ferry us to the game. We played with any team that was available from the Indian youth team in Segambut and even the Malaysian women's national team with former international Khadir Buyong, the coach, as the centre-back. Khadir would be ready to "whack" anybody out of his view if you tried to dribble past him. 

 We had also gone to Singapore to play against Berita Harian Singapore, which fielded a few international players. It was believed that Pak Samad's eyes were still on Zian as he was then sent to London to work at BH's staff correspondent office. 

There, Zian was exposed to the new world of tabloid and broadsheet newspapers, which satiated his desire for a new attraction in the print media that emphasised pictures and loud headlines. After the London stint, Zian was sent to Sabah as a BH staff correspondent before returning to BH Sports Desk as an editor to replace Zainuddin Bendahara, who had retired.

On my first day at the desk, Zian had asked me to do a Malaysia Cup preview for a Selangor match against Kuala Lumpur the next day. I told him that was not possible as I had never attended any Selangor game, let alone met the team. He lashed out with a Malay proverb "Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih". Zian's mantra in the Sports Desk was - don't be predictable, add more graphics, special reports, and opinion columns, as well as human interest elements where they must all be choreographed with pictures and layout. 

Writers and sub-editors worked hand in hand to produce a good page. Zian often arranged makan-makan, but made us share to pay for it. During Ramadan, we took turns to host buka puasa either at our homes or restaurants in Bangsar. He also invited us to break fast at his house.

As he was planning his month-long trip to cover the World Cup USA 1994 in Los Angeles, he was called by Berita Harian group editor Datuk Ahmad Nazri Abdullah to inform him that he would be promoted to Harian Metro editor.

And he could not go to the World Cup despite having his application for accreditation approved by then FAM secretary-general Datuk Seri Paul Mony Samuel, who was also the media director for the 1994 Fifa World Cup. 

Zian's stint in Harian Metro was a successful one, but not without hard work and sacrifice, as well as a few ups and downs. It was the case of a small team of editors trying to bring out the best in a bunch of young reporters, who were fresh out of college. His hands-on style, combined with his understanding of the editorial and production processes, helped shaped his team.

It's normal for editors to sacrifice their weekends by going around the country attending events to promote Harian Metro, such as Suara Emas industry, inter-club takraw and family bowling. Zian started the Sunday edition of Harian Metro called Metro Ahad in 1995 with his first news editor, Zainuddin Ayip, and I was the second news editor before I left for BH in 2002. 

Zian was hard to please and couldn't bear those who procrastinated. He used to say to me that he was a "man in a hurry". On Friday nights, we would sit for a meeting to decide the Metro Ahad front page. Even with two or three exclusive reports complete with pictures or graphics, you could not be assured that your proposed page one would be accepted.

Zian was later transferred back to Berita Harian as one of its executive editors after having succeeded in putting Harian Metro on a strong footing. 




Later, he made up his mind to do something else in life and decided to leave the newspaper. I seldom met him after that, which I sincerely regret.

One night in 2017 (a few days before I relinquished my post as the deputy group editor of Berita Harian) when I was going through the posi-proof of the BH page one, I received a couple of WhatsApp messages.

They were from Zian. One was a reminder to always read the Quran and the other was a song called Yesterday When I Was Young by Roy Clark.

Yes, Zian, I cherished the moments we had when we were young. Trudging through the muddy football fields, being crammed in the car, battling with other publications for news scoops, makan-makan sessions and burning the midnight oil to put the newspaper to bed. 

Al-Fatihah.

 



Semoga Allah merahmati dan mengampuni dosa roh Mohd Zian Johari, serta menempatkan rohnya dalam kalangan para solehin di syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. 

Semoga Allah merahmati juga roh-roh semua warga kerja Berita Harian dan Harian Metro yang sudahpun dipanggil pulang ke Rahmatullah menuju negeri akhirat.

Juga  Mak Ayah dan Atok Nindaku, saudara-mara, sahabat-handai dan jiran-jiran serta rakan-rakan setugas yang telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi.

Aamiinnn.

Sesungguhnya kami akan menyusul.


No comments: