Sunday, July 9, 2017
PhD paling tinggi dalam sukan
UNTUK kita keluar daripada kepompong keselesaan kita, apakah kita perlukan sentuhan pakar asing atau tempatan?
Persoalan ini bukan berkisar kepada bola sepak sahaja. Sukan lain turut berdepan dilema yang sama.
Politik jurulatih tempatan dalam menyingkir pakar asing juga bukanlah baharu. Menyentuh bola sepak, ramai beranggapan tidak perlu jurulatih asing jika kualiti pemain yang ada berada di takuk yang sama.
Jurulatih tempatan pula tidak gemar ditegur, bahkan menganggap mereka lebih berpengetahuan daripada pakar asing yang mungkin lebih terdedah kepada ilmu sukan moden, terbuka dan jauh lebih profesional.
Kelemahan utama jurulatih asing pula mungkin ada dalam kalangan mereka tidak memahami budaya dan sikap orang kita. Sudahnya, wal hasil balik asal.
Pokoknya, masalah negara kita ialah kita pantang ditegur, tidak kira dalam bidang apa sekalipun.
Kita kurang memahami konsep muhasabah diri. Sebaliknya kebanyakan penggiat sukan Malaysia berkelulusan peringkat paling tinggi PHD, iaitu perasaan hasad dengki.
Apabila seorang profesional menegur rakan sejawatannya secara terbuka, tidak semestinya dia mahu membunuh kerjaya rakan senegara. Khususnya dalam bola sepak, bukankah dalam satu perlawanan itu ada lebih 50,000 jurulatih yang ada idea tersendiri? Itulah indahnya bola sepak, tidak kira sama ada yang mengeluarkan kritikan dan teguran itu bertauliah atau tidak.
Tiada formula tepat dalam merangka sesuatu kejayaan, sebaliknya ia banyak bergantung kepada pelbagai faktor dalaman dan luaran.
Namun rata-rata atlet negara, sebagaimana masyarakat kita amnya, berada dalam zon selesa. Untuk mengajak mereka keluar daripada kepompong ini, kadangkala kita perlu perspektif dan sentuhan orang luar.
Tetapi tidak semestinya semua orang luar lebih baik.
Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, misalnya memperkenalkan syarat untuk semua jurulatih tempatan dan asing mengemukakan laporan dan perancangan setiap dua minggu untuk dipantau.
“Jadi kita boleh pantau apakah benar mereka melaksanakan apa yang dirancang, jumlah kehadiran atlet naungan mereka, kaedah dan kadar latihan mencukupi atau tidak. Saya juga meminta pakar daripada ISN mengadakan ujian otot teras terhadap semua atlet olahraga untuk mengetahui tahap kekuatan tubuh mereka. Dari situ kita boleh rangka usaha ke arah penambah baikan aspek tertentu,” katanya.
Bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula, tiga calon untuk memikul tugas ketua jurulatih Sukan SEA 2017 disenarai pendek iaitu Frank Bernhardt, Michael Weiss dan Datuk Ong Kim Swee.
Sesiapa saja dilantik menggalas tugas itu dijangka bekerja dengan teras skuad Harimau Muda C atau Bawah 19 tahun, antaranya Jafri Firdaus Chew, Shahrul Akmal Adnan, R. Kogileswaran, Dominic Tan dan Hafiy Haikal Hamzah selain S. Kumaahran – iaitu satu kelompok generasi baharu yang harus didedahkan dengan etika kerja berlainan daripada budaya sedia ada.
Dari segi kemahiran teknikal, tidak banyak yang boleh dilakukan, namun pemahaman taktikal, disiplin diri dan transisi mereka daripada junior kepada senior ini harus digilap dan diberi keutamaan agar generasi ini bukan sekadar hebat di Asia Tenggara.
Sasarannya tidak harus terhad kepada emas Sukan SEA 2017. Sasarannya harus saujana mata memandang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment