Sunday, July 9, 2017

Kereta rosak, hantar bengkel, bola rosak, buat bengkel



Bila bola sepak menjadi topik bicara, pelbagai idea dicanai dan dibukukan. Isunya adalah sistem penyampaian atau pelaksanaannya.

Tidak lama selepas skuad kebangsaan kendalian Abdul Rahman Ibrahim tersungkur 6-0 di kaki Indonesia pada Sukan SEA di Brunei pada 1999, satu negara kecoh dengan menuding jari kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kecaman, krtikan, kejian dan makian dihambur ke arah FAM. Barangkali FAM harus menjadi persatuan paling banyak menanggung hina gara-gara persembahan turun naik pasukan kebangsaan selain pengurusan Liga M yang jauh daripada sempurna.

Akhirnya Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan seminar hala tuju bola sepak negara pada 1999. Semua pemegang kepentingan dipelawa mencurahkan idea.

Antara resolusi yang dipersetujui pada akhir seminar ialah pentingnya seorang supremo dilantik bagi mengurus pasukan kebangsaan selain pelesenan untuk pemain diberi kelayakan bermain dalam Liga M.

Malangnya, dasar ini tidak dilaksanakan – kalaupun ada tidak secara konsisten. Sejak seminar itu, Pengarah Teknikal di FAM ada tiga – Robert Alberts, Lim Kim Chon dan Fritz Schmid. Ron Smith pula buat seketika menjadi Pengarah Kejurulatihan. Namun apakah mereka supremo dalam erti kata sebenar?

Isunya sudah tentu apakah semua idea yang disampaikan sama ada dalam bentuk dokumen, ketetapan dan rumusan dalam seminar, woksyop, bengkel dan persidangan diterima pakai dan dilaksanakan?

Syabas penulis ucapkan kepada pusat sukan UiTM Shah Alam yang menganjurkan Bengkel Penyediaan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara sempena Rancangan Malaysia ke-11 2016-2020.

Aspek pengurusan persatuan, mutu dan tahap kejurulatihan, pembangunan akar umbi, pengurusan liga peringkat negeri dan kebangsaan, fasiliti dan peranan sains serta teknologi sukan akan dibincang secara khusus.

Antara yang disenaraikan memberi input dan pandangan personaliti Astro Arena, Hafizal Hamad, bekas kapten pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Berbeza dengan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dihadkan kepada pemain berusia sehingga 17 tahun, pelan inisiatif Akademi Bola Sepak Negara di UiTM Shah Alam menyentuh semua sudut termasuk sama ada struktur dan eko-sistem yang ada menyokong pembangunan semua peringkat atau tidak.

Disebabkan ia inisiatif UiTM, penulis mengharapkan banyak kertas kerja dan penyelidikan serta kajian ilmiah dibentangkan bagi memberi nilai tambah kepada struktur yang ada. Antara perkara yang harus dibuat kajian:

1) Peraturan 10,000 minit untuk setiap pemain (menyentuh dan bermain bola sehingga dewasa) boleh dilaksanakan di peringkat akar umbi?

2) Mengapa S. Kunanlan sebagaimana K. Sanbagamaran seolah-olah boleh berlari sepanjang masa? Apakah disebabkan mereka cergas disebabkan saiz paru-paru besar atau dilatih sejak kecil dengan menunggang basikal?

3) Statistik pemain remaja yang terpinggir dan terus tenggelam sekalipun menyertai program elit di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail di Bandar Penawar.

4) Formula kejayaan Johor Darul Ta’azim dan Kelantan berbanding penguasaan Selangor pada 1970-an, 1980-an dan 1990-an.

5) Bilangan pemain berbangsa Cina yang semakin merosot dari tahun ke tahun.

6) Berapa jumlah pemain yang mengalami kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan dan rehat panjang.

7) Kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak mereka menyertai PPBN adalah dari latar belakang pertengahan ke bawah.

Pelaksana impian kepada semua idea yang dikemukakan adalah pembuat dasar yang ikhlas dan berwawasan di FAM dan persatuan negeri serta semua agensi kerajaan di bawah KBS dan Kementerian Pelajaran, kelompok jurulatih terlatih, pengurus program pembangunan di setiap lapisan serta ibu bapa yang mengajar anak mereka kaedah pemakanan dalam menguatkan otot dan minda.

Di pihak FAM pula, Schmid mencadangkan seorang pengurus teknikal atau prestasi bagi mewujudkan satu budaya prestasi kerja cemerlang bagi memudahkan semua jurulatih kebangsaan setiap lapisan bukan sekadar pentadbir pasukan yang menempah tiket dan mengurus jadual latihan.

Satu saja harapan penulis – tiada kertas kerja yang dibakul sampahkan, sebagaimana apa yang berlaku kepada Road Map nukilan Alberts pada 2006. Jika tidak wal hasil balik asal.


No comments: