Sunday, July 9, 2017

Pertembungan budaya




ADA cetusan rasa tidak puas hati kenapa pengumuman pelantikan Frank Bernhardt selaku ketua jurulatih skuad Sukan SEA 2017 sekadar di buat di tepi Wisma FAM tanpa sidang akhbar khas, namun lebih wajar dibincang ialah rasional di sebalik pemilihan individu itu dan bukan dua calon lain dalam senarai pendek.

Dalam sejarah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), proses pemilihan Bernhardt adalah yang paling komprehensif.

Pada era peminat hanya tahu Pestabola Merdeka selaku kejohanan berprestij di Asia, jurulatih negara dipilih secara ad-hoc, atau mengikut tugasan.

Maka hadirlah nama-nama seperti Neoh Boon Hean, Otto Westphal, Clement Da Silva, Dettmar Cramer, Jalil Che Din dan Dave McLaren.

Hanya Choo Seng Quee, sifu bola sepak merentasi seberang tambak, menjadi jurulatih sepenuh masa dari 1958 hingga 1964, dengan gaji permulaan RM700 waktu itu.

Jalil, Datuk M. Kuppan, Datuk M. Chandran dan Tan Sri Abdul Ghani Minhat antara jurulatih yang bersilih ganti mengisi kerusi panas itu sehingga Karl-Heinz Weigang dipinjamkan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerajui pasukan Sukan SEA 1977.

Memikirkan bahawa pasukan kebangsaan wajar dikendalikan jurulatih sepenuh masa yang profesional, maka FAM melantik beberapa pakar asing, termasuk Dr Josef Venglos, Ken Worden dan Claude Le Roy.

Mereka disyorkan oleh FIFA atau dilantik berasaskan pencapaian di peringkat tempatan. Bertalan Bicskei pula disenarai pendek bersama Dragoslav Stepanovic dan Bob Houghton sebelum ditemu ramah oleh Weigang selaku pengarah teknikal dan Setiausaha Agung, Datuk Dell Akbar Khan, di Frankfurt. Bisckei memulakan tugas pada 1 Julai 2004, menggantikan Allan Harris yang menghabiskan lima tahun bersama skuad nasional dan Bawah 20 serta Bawah 23 tahun.

Pelantikan Bernhardt menyusul selepas satu proses yang dikendalikan bersama oleh Pengarah Teknikal FAM, Fritz Schmid dan panel pemilihan sebelum dikemukakan kepada jawatankuasa petugas khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Dalam proses ini, Schmid menyediakan penilaian profesional dalam mengenal pasti calon, bermula dengan iklan menerusi media massa dan platform FIFA, AFC, UEFA dan negara tertentu, interviu menerusi Skype dengan calon tertentu, temu duga yang dihadiri panel pemilihan serta tugasan analisis perlawanan menerusi rakaman video.

Panel pemilihan dianggotai Datuk Junid Mohd Noor, Schmid dan B. Sathianathan selaku presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, selain tiga wakil Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu pengarah prestasi tinggi, Keith Power, pemangku Pengarah Bahagian Atlet, Jefri Ngadirin dan Ketua Cawangan sukan berpasukan, Shukri Harun.

Dalam temu duga terakhir, selain menjawab persoalan ahli panel, Bernhardt, Michael Weiss dan Datuk Ong Kim Swee diberi ruang menjawab dan menganalisis perlawanan menerusi rakaman video.

Pembabitan MSN disebabkan kesediaan agensi kerajaan itu membiayai sebahagian daripada perbelanjaan dalam menyiapkan pasukan menghadapi temasya dwitahunan itu pada Ogos 2017.

Proses sebegini tidak pernah dilakukan dalam FAM.

Namun pelantikan Bernhardt tidak menjamin apa-apa. Dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.

Lagipun sesetengah jurulatih tempatan berpendapat Bernhardt mungkin berdepan kesukaran bekerja dalam suasana budaya tempatan.

Sesetengah media pula menganggap Bernhardt tiada pasukan untuk dikendalikan selepas program Harimau Muda dimansuhkan.

Walaupun secara teori seorang pemain yang mencecah usia 16 tahun sudah tidak boleh diajar dari segi kemahiran asas dan teknikal, Bernhardt harus mampu menyemai budaya kerja, etika sepasukan dan disiplin untuk pemain yang rata-rata tahun ini berusia 17, 18 dan 19 tahun.

Jika saingan Sukan SEA 2017 dihadkan kepada Bawah 22 tahun, Bernhardt harus mengenal pasti pemain yang lahir pada atau selepas 1995, tentunya dalam kalangan bekas anggota skuad Harimau Muda A, B dan C, termasuk Ariff Farhan Md Isa, S. Kumaahran, Adam Nor Azlin, Jafri Firdaus Chew, Shahrul Akmal Adnan, Najmuddin Samad dan R. Kogileswaran.

Generasi ini masih ada ruang dibentuk dalam menyemai budaya pemikiran dan pendekatan profesional sebelum mereka dibebaskan ke dalam sistem senior yang ada.

Satu ketika dahulu jurulatih asing ada dua aspek yang mereka kerap pertikai – tiadanya profesionalisme dalam kalangan pemain dan kurang kecergasan fizikal.

Misalnya sambil jurulatih sudah menunggu jam 4.30 petang untuk sesi latihan, beberapa pemain masih memakai stokin dan membuat taping pergelangan kaki.

Sesetengah pemain pula tidak mahu memakai pelapik tulang kering atau shin pad sewaktu latihan, manakala Datuk Ong Kim Swee – yang sudah membawa pasukan negara di tiga edisi Sukan SEA – merungut mengenai jumlah perlawanan yang tidak mencukupi untuk pemain muda dalam liga.

Warga Jerman, Bernhardt pula sudah tentu berfikir seperti Lim Teong Kim. Sikap dan pendekatan Bernhardt disuburkan menerusi sistem kehidupan dan budaya negara yang melahirkan kereta berjenama bertaraf dunia, ahli sukan bergelar juara dunia dan pasukan bola sepak yang menakluki dunia.

Pertembungan budaya harus berlaku. Sama ada kita mahu menerima bibit perubahan atau kita kekal dengan budaya berkompromi dari segi kualiti, pendekatan dan sikap, tunggu dan lihat.

Dalam analisis akhir, apakah Bernhardt akan “diMalaysiakan” atau dia mengubah budaya bola sepak Malaysia?

No comments: