Monday, November 4, 2013

This is Pantai Timur final - Satu reviu


Apabila Slamet Sazly Yakub mengirim emel jadual kerja Grandstand Ahad, aku memohon agar dikecualikan daripada tugas pada 3 November kerana ada hajat. Untuk menonton final Piala Malaysia, tidak kira siapa ke ke Stadium Shah Alam.

Aku teringin merasai suasana perlawanan dengan jiran untuk kali pertama, selepas berpuluh tahun membuat kerja sebagai wartawan dan biasa membawa keluarga bagi menonton final 2009.

Tertunai jua harapan. Sekalipun aku meramalkan Pahang muncul juara, ia tidak menghalang majoriti daripada 15 yang mengisi Toyota Estima Mus dan Toyota Unser Tengku untuk terang-terangan menyatakan sokongan kepada The Red Warriors.


Selepas diarah polis untuk tidak melalui bulatan menuju ke stadium dari arah Tesco sekalipun tertampal stiker W dengan alasan jalan menuju stadium sudah ditutup, kami terpaksa membuat satu pusingan sebelum mencuba nasib. Mujur kali ini kami diberi ruang, selepas melalui laluan tidak jauh dari rumah Datuk Hamidin Mohd Amin dan Datuk Hishamuddin Aun. Aku dengan anakku menumpang kereta Mus, orang Pulau Pinang tetapi anak-anaknya menyokong Kelantan, manakala Tengku orang Kelantan membawa bersamanya Nik dan isteri kedua-duanya anak jati Tanah Rendah Sekebun Bunga serta Asyraf, separuh Johor separuh Kelantan.
  

Berbapakan anak kelahiran Johor dan beribukan orang Kedah tetapi menghargai aura Kelantan...


Siap dengan sticker TRW tu


Selesa naik Estima...jiran punya


Ammar dan Salman, dua bintang bola sepak perumahan kami, naik Unser


Lega rasanya apabila masalah parkir selesai. Masuk stadium sebelah kem Kelantan, iaitu sebelah kiri stadium, alahai terserempak dengan Datuk S. Sivasundaram, bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang juga pengerusi jawatankuasa tiket dan pintu FAM, "eh Rizal I never knew you supported Kelantan"...hahahah. Jam sudah menunjukkan 5 petang, sekali imbas stadium sudah penuh, Masalah kedua - macam mana nak cari tempat duduk untuk 9 dewasa, 2 remaja dan 4 kanak-kanak bawah 12 tahun. Aku dah sakit pinggang memikirkannya, sesekali terbayang alangkah indahnya aku dapat duduk semula di media tribune di atas...selesa dan tidak pening! hahahah. Aku bercakap dengan beberapa sumber yang mengatakan ada satu pintu pagar dirempuh dan 2,000 penonton dapat masuk stadium, mengakibatkan penyokong sebelah Kelantan melimpah ruah melebihi penyokong Pahang. Apakah tiket dicetak melebihi kapasiti atau ada pemegang tiket palsu dibenarkan masuk?


Mujur ada member yang berniaga di situ yang ada lesen besar bawak kereta dalam stadium mencadangkan kami pergi menyelitkan diri ke sebelah atas di sebelah papan layar markah atau scoreboard lah. Dia buat tiga trip untuk kami! Alhamdulillah! Melalui ceruk stadium yang tidak pernah aku singgah, termasuk satu kawasan yang seolah-olah dibiarkan berselerak, kami menjumpai satu kawasan yang menawarkan sudut menarik.


Yang penting anak-anak kami dapat menyaksikan perlawanan dengan selesa. Ini sudut kami.  Duduklah mana yang ada ruang. Seperti biasa aku suka berjalan sekeliling stadium untuk merakamkan suasana.


Penyokong Kelantan sudah selalu begini, berkelah sambil menonton bola


Berani Asyraf singgah ke kem Pahang eh


The best seat in the house?

Waktu rehat aku turut berpusu-pusu membeli air membasahkan tekak...


Aku melepaskan lelah bersandarkan dinding stadium sambil diapit Saiful penyokong Kejor Yob Kejor dan Asyraf


Dalam pening Salman yang penat training dari pagi, menikmati final ditemani bapanya Tarmizi penyokong Liverpool dan Terengganu yang menyokong Kelantan. Frust berganda selepas Liverpool juga tewas kepada Arsenal 


Institut Terjemahan Negara ambil kesempatan menjual buku Supermokh dengan harga RM150...


Nampak tak segala pelosok ruang diisi di stadium yang berusia 19 tahun?


Aku memasuki ruang untuk pengulas televisyen dan krew kamera di kalangan non-rights holders, mereka yang diizin melaporkan berita mengikut tempoh tertentu tanpa hak siaran sepenuhnya


Ini pula perspektif tidak jauh dari media tribune, sebelah kem Pahang


Untuk ulasan bahasa Inggeris, Ross Yusof ditemani wira Singapura 1994 Abbas Saad


Hakim Amir yang sebelum ini banyak memberi ulasan selari Liga J di Supersport diberi penghormatan mengulas final ini, ditemani bekas pemain Kelantan dan kini orang kuat Felda United, Rosli Hussein 

Akhirnya, sebagaimana aku meramal Kelantan menang 2010 dan 2012, Pahang menepati tekaan aku, hasil tandukan Matias Conti susulan hantaran Azamuddin Akil. Dengan tema Misi 1992 (walaupun sepatutnya 1992 redux atau 1983, 1992 dan 2013), penyokong Tok Gajah pulang ke Pahang tersenyum lebar.

Ternyata Dollah memiliki keistimewaan menjulang piala dengan pasukan ketiga dengan sentuhan penyerang Argentina, sebagaimana Juan Manuel Arostegui selaku hujung tombak MPPJ pada 2003 dan Brian Fuentes di sisi Bambang Pamungkas bersama Selangor pada 2005.

Dengan hujan lebat lebih kurang 40 minit sebelum sepak mula, kedua-dua pasukan tentunya sukar menyesuaikan diri dengan padang licin.

Namun Pahang lebih pantas berbuat demikian, dengan Amirulhadi Zainal dan Hafiz Kamal menguasai jentera tengah. Amirulhadi, memburu gelaran Piala Malaysia pertama selepas tewas kepada Kedah ketika bersama Selangor pada 2008,  rajin berganding bahu sebelah kanan dengan R. Surendren manakala Hafiz, dengan sentuhan kaki kirinya, kerap membuat distribution ke penjuru kiri kepada R. Gopinathan.

Damion Stewart mencungap-cungap menutup ruang setiap kali Dickson Nwakaeme menggegar tanah.

Tapi seawal permainan corak Dollah mudah - Amirulhadi dan Hafiz harus bijak menggunakan penjuru dalam apa yang aku anggap susunan 4-1-4-1 atau 4-2-3-1 bergantung kepada posisi Hafiz sama ada seiring dengan Amirulhadi atau melindungi empat sekawan benteng Pahang.

Surendren dan Gopinathan cukup hampir dengan garisan tepi, bermakna Pahang menggunakan seluruh padang dalam mengucar-kacirkan pertahanan Kelantan yang merindui daya fizikal Obinna Nwaneri.

Setiap kali menyerang, Pahang ada sekurang-kurangnya lima pemain berbanding Kelantan yang berteraskan Dickson dengan Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad membantu.

Malang buat Kelantan kerana Zairo Anuar Zalani dan Badhri Radzi tidak mendapat sokongan di sayap kerana Nik Shahrul Azim dan Zairul Fitree terlalu sibuk mengawal Surendren dan Gopinathan, maka jarak Norfarhan dengan Nik Shahrul jauh, manakala Indra lebih kerap ke tengah tanpa bantuan dari sebelah kiri.

Jadi Jalaluddin Jaafar, Razman Roslan (yang juga tewas kepada Kedah pada 2008), Stewart dan Shahrizan Salleh kekal berempat bersaing biasanya dengan tiga penyerang Kelantan.

Namun Dickson bersendirian adalah satu ancaman. Stewart menjatuhkan Dickson, pengadil Nagoor Amir Noor Mohamed menunjukkan isyarat penalti tetapi bertukar fikiran selepas berbincang dengan penolong pengadil. Ini menimbulkan kemarahan penyokong Kelantan.

Di sebalik kekalutan itu, game plan Dollah menjadi. Dibantu keadaan padang yang menyukarkan sentuhan pertama, Pahang lebih bijak menggunakan segenap padang.

Tidak hairan dengan Conti memenangi kebanyakan bola tinggi, Azamuddin Akil atau Alex bijak mencari ruang. Kalau hendak tahu play-by-play, rujuk sports247.my.

Dalam pada menyaksikan final, aku berkomunikasi dengan team penerbitan Kafe Sukan, sejak awal aku cadangkan siapa saja muncul juara, jurulatih dan kapten harus dibawa ke studio!

Mus merumuskan bahawa Kelantan mencapai kemuncak apabila menumpaskan JDT di suku akhir dan sekali lagi pada separuh akhir apabila menyingkir ATM. Betul jugak tu...

Dalam analisis akhir, Pahang berhak menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga...mengingatkan aku kepada nostalgia 1983 sebagai penonton di kaca TV, 1992 sebagai wartawan dan 2013 sebagai jiran yang menyelit di ruang-ruang yang ada di stadium!

Final This is Pantai Timur mengagumkan!

6 comments:

kyuzie a.k.a ultraman said...

masih ade yg syg bola sepak mlysia. jgn le dibiarkan mati semangat ini dgn perkara negatif.

tokcik said...

TC berpendapat mutu permainan sepatutnya lebih meningkat sekirannya permukaan gelanggang permainan dijaga rapi mengelak akibah cuaca hujan. Isu yang kian masa diperkatakan, peruntukan besar disediakan, namun ia masih begitu juga. Begitulah keadaannya disemua gelanggang diserata negara. Masa sudah tiba gelanggang final sekurang-kurangnya dibelai. Janganlah bikin gelanggang itu menjadi multi-purpose (serba-guna). Perparitan "drainage" bawah tanah hendaklah di kawal rapi & diselenggara sepanjang masa. Jika kelab di Eropa menanggung beban sendirian boleh melakukannya mengapa tidak di Malaysia dimana peruntukan besar disediakan oleh kerajaan. Sungguh membazir. Dimanakah penguat-kuasa? FAM patut memerhatikan perkara ini sepanjang masa dibawah kawalan salah satu jawatankuasa yang bertanggung jawab tentang "tournament" (pertandingan) atau gelanggang.

Hakim Amir said...

i thought it was u snapping away in front of us malam tu ... great article bro, and the one before the final as well..!

Anonymous said...

Salam Tok Cik, saya bersetuju dengan penggunaan dan penguatkuasaan padang. Namun tidak bersetuju apabila padang dipersalahkan kerana mutu permainan yang rendah. Sepatutnya ada kepelbagaian dalam permainan samada di atas padang kering atau basah.

KERMIT THE SPIDER

Azim Aris said...

Pasukan pahang steadylah..pemainan nya mantap mantop.......memang betul lah piala m'sia d sandang pahang kali ini..hope menjadi inspirasi dan contoh yang baik kpd anak2 pahang yg lain utk mse akan dtg....koi org temerloh :)

Anonymous said...

Salam semua, sekadar ingin melontarkan pandangan tentang infrastruktur khususnya bola sepak di Malaysia.

Berada di Angola, kadang-kadang ada jugak menonton liga Nigeria dan Afrika Selatan. Jika dibandingkan Malaysia tiada bandingan dari segi stadium kerana liga Nigeria dan Afrika Selatan hanya memiliki mini stadium di mana penonton tidak ada stand untuk duduk. Kualiti padang hanyalah setaraf padang sekolah di Malaysia yang selalunya tidak di jaga rumputnya.

Namun, itu seakan tidak menjadi isu bagi pemain-pemain liga tersebut yang menampilkan mutu perlawanan yang menarik dan bertenaga. Tidak terlihat di wajah pemain bahawa mereka sedang bermain di atas padang yang buruk keadaan.

Tiada kunjungan pasukan2 besar seperti Man U & Barca ke Afrika untuk perlawanan persahabatan namun impian pemain adalah berusaha ke kelab2 tersebut.

Adakah kita terlampau mengharap keajaiban tanpa usaha buat pemain kita? Tidakkah pemain kita mempunyai keingnan dan iltizam untuk melangkah lebih jauh?

Saya tetap merasakan pemain-pemain kita harus dididik dari kecil tentang keyakinan dan keinginan beserta usaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Janganlah berharap bahawa infrastruktur sahaja yang diperlukan untuk berjaya dalam hidup.

Berharap bahawa para bekas pemain atau jurulatih bertauliah diterapkan ke sekolah rendah di malaysia supaya para pemain di sekolah diberikan teknik dan mentatliti pemain professional dari awal permulaan pembangunan permainan bola sepak mereka.

Azam Jalil