Wednesday, July 22, 2015

Perlawanan sarkas?

Salam lebaran 1436H.

Pilihan Malaysia melayan Liverpool, Jumaat nanti.

Tiada pemain JDT dipilih. Sekalipun yang ada dalam senarai menunggu.

Pemain Pahang pula sekejap ada, sekejap tak da, sekejap ada balik.

Pemain Selangor - Rob Cornthwaite, Hazwan Bakri dan Afiq Azmi - tidak dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Kenapa jadi begini?

1. Perlawanan pertunjukan sebegini harus dihadkan. Ketika urusetia FAM diterajui Datuk Seri Dr Ibrahim Saad pada 2005-2007, dia tidak begitu gemar memberi kelulusan kepada perlawanan sebegini.

2. Jika diteruskan, bolehlah hadkan kepada pemain import Malaysia yang membentuk M-League selection.

3. Masalahnya, jadual padat Liga M menyukarkan pasukan. JDT, Pahang dan Selangor bergelut dalam lima tangga teratas Liga Super dengan baki tujuh perlawanan, termasuk lima dalam tempoh dua minggu dari 1 Ogos hingga 15 Ogos. Kalau nak lepas pemain import pun, ia akan menjejaskan perancangan rapi jurulatih pada pecutan terakhir untuk merebut tempat teratas liga. Tiadanya pemain JDT dalam senarai ini juga agak pelik, apakah ada pihak di FAM yang bermain politik, mahu menggembirakan pihak tertentu?

4. Dari sudut bola sepak, pemain dan jurulatih percaya perlawanan sebegini satu bentuk pendedahan bermutu tinggi menentang pemain bertaraf dunia. Apatah lagi Dollah Salleh berada dalam saat tertekan menghidupkan peluang Malaysia untuk layak sekurang-kurangnya ke Piala Asia 2019.

5. FAM dibayar RM250,000 sebagai harga meluluskan perlawanan sebegini dan rasanya peruntukan itu diagih bersama untuk pegawai perlawanan, pegawai pertandingan dan semua kakitangan bergaji FAM merasa habuannya. Bagi pemegang jawatan FAM yang dianggap sukarelawan tetapi berhak kepada elaun, yang mereka terima adalah kritikan.

6. Dari sudut penyokong pasukan seperti Liverpool, tidak mudah mendapat peluang ber"selfie" dengan bintang-bintang yang menjadi tontonan di kaca tv dan pujaan dari jauh.

Kesimpulannya, Selangor ada hak tidak melepaskan pemain bersandarkan semata-mata kepada peraturan panggilan pemain. Kerana jika benar pasukan kebangsaan menentang Liverpool, kenapa ada pemain luar? Apakah Pilihan Malaysia dapat membantu pasukan kebangsaan menyiapkan diri menentang UAE, Arab Saudi, Timor Leste dan Palestin?

Dengan pelbagai maklumat di hujung jari buat peminat di media sosial, FAM harus berhati-hati pada masa akan datang.

Selain menyusun jadual yang lebih wajar, perlawanan pertunjukan sebegini harus ditangani secara berhemah.

Masalahnya, kelab ternama dari luar akan tetap berkunjung ke Malaysia sebagai sebahagian usaha mereka meluaskan kelompok pemain dan atas faktor komersil di rantau ini.




No comments: