Tuesday, May 12, 2015

CEO FMLLP jawab soalan Ultras Malaya


 Berikut kiriman emel daripada Kevin Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif Usaha sama Liabiliti Bola Sepak Malaysia atau Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) susulan beberapa persoalan yang berlegar dalam minda penyokong berhubung usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menswastakan Liga Super dan Liga Perdana bermula musim depan.

Seperti yang Kevin janjikan dalam program Kafe Sukan siaran Astro Arena malam tadi untuk menjawab beberapa persoalan yang dilontarkan menerusi twitter Ultras Malaya, saya cut and paste jawapannya. Saya sekadar membuat beberapa pindaan dari segi ejaan.  



Dear Rizal,

Ini adalah jawapan saya kepada soalan-­‐soalan yang Rizal ajukan pada saya waktu di Kafe Sukan.

Harap ini memadai dan mohon maaf atas kesukaran untuk menjawab semua soalan di alam twitter atau facebook sebab jika saya fokus pada alam media sosial agak susah untuk saya fokus pada perjalanan transformasi yang kini sedang maju dengan momentum yang memberangsangkan.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong-­‐penyokong individu, kelab-­‐kelab penyokong dan ultras yang sentiasa prihatin dan membakar semangat pemain-­‐pemain serta pasukan yang disokong termasuk kami yang bertugas di dalam industri bola sepak Malaysia ini.

Ternyata, tanpa anda arena bola sepak Malaysia tidak akan sehangat dan menarik seperti sedia kala.

Banyak yang telah saya pelajari dari perjuangan penyokong dan ultras di Malaysia termasuk dari Gate H Boys, KPBSK, TRWNS & TRWKB sewaktu di TRW dahulu dan juga dari kelab-­kelab penyokong yang lain dari pasukan-­‐pasukan dari Liga Super dan Perdana.

Pengalaman ini amat saya hargai. Perjuangan penyokong akan sentiasa saya hormati. Oleh itu, saya rasa perlu saya cuba menjawab soalan-­soalan ini sebaik mungkin supaya mereka dapat memahami sedikit sebanyak apa yang sedang berlaku kerana nyata terdapat sedikit kekeliruan di kalangan penyokong.

Maafkan saya jika jawapan yang diberi tidak memadai dan perlu diberi penerangan lagi. Saya akan cuba menerangkan sebaik mungkin dan kalau kita perlu berjumpa untuk keterangan lanjut saya sentiasa terbuka kepada cadangan.

1. Kenapa MP & Silva tidak dilantik sebelum semua pihak memulakan bidaan hak penyiaran?

Soalan ini saya telah cuba menjawab di Kafe Sukan tadi. Apa yang saya nyatakan ialah bahawa proses bidaan pada mulanya telah melibatkan 3 pihak. Ketiga-­tiga pihak menyerahkan proposal yang berbeza dari segi struktur, pengurusan, penyiaran serta komersial. Ini adalah kerana bidaan ini telah dijemput atas dasar proposal dan pihak FAM agak sukar untuk menilai bidaan dengan cara ini. Untuk memberi peluang yang adil kepada pembida-­pembida yang asal ini, setelah struktur yang baru telah diwujudkan, dokumen tender telah dikeluarkan untuk pembida ini di mana, dengan dokumen ini sebagai garis panduan, pembida diminta mengemukakan semula bidaan di dalam keadaan di mana bidaan ini dapat dibandingkan dari segi asas atau dasar yang selari dan bukan lagi berbeza seperti sediakala. Apabila pembida asal ini memilih untuk tidak meneruskan bidaan mereka, maka sebuah penyelesaian perlu untuk bergerak ke hadapan dan rundingan dengan MP & Silva telah dibuat hanya pada waktu ini. Oleh sebab ini, MP & Silva tidak terlibat sebelum bidaan asal.

2. Siapa yang memintas fungsi Exco FAM sebagai decision-­‐maker & mengarahkan pelantikan MP & Silva sebagai penasihat? 

Saya rasa soalan ini bukan untuk saya menjawab tetapi berdasarkan pengalaman saya sepanjang proses penswastaan ini, saya dapati bahawa pihak Exco FAM yang telah membuat keputusan di setiap anak tangga proses penswastaan ini.

3. Mengapa FAM mahu pasukan dan liga musim ini mangsa cacamarba dengan pelantikan MP & Silva pada saat akhir?

Saya rasa dari segi keputusan, keputusan yang terbaik telah dicapai. Ya, timing mungkin sedikit lambat. Tetapi kalau kita lihat dari segi keseluruhan, kita sekarang bergerak ke arah yang betul. Lambatnya keputusan FAM tempoh hari bukan disengajakan, tetapi dalam memilih jalan terbaik sedikit pengorbanan dari semua pihak mungkin perlu.

4. Adakah MP & Silva bukti kepercayaan kepada fungsi Exco FAM sebagai decision-­‐maker telah hilang?

Saya rasa tidak. Fungsi Exco FAM tetap ada dari segi skop urusan FAM. Pelantikan MP & Silva tidak menampakkan hilangnya kepercayaan tetapi mungkin menunjukkan bahawa pihak Exco FAM sedar bahawa mendapat khidmat nasihat dari pihak yang mahir di dalam bidang tertentu adalah perlu untuk bergerak ke arah pencapaian yang cemerlang. Syarikat-­syarikat serta persatuan-­‐persatuan terbesar di dunia menggunakan khidmat nasihat konsultan atau advisor dalam merangka masa depan syarikat atau persatuan mereka. Ini termasuk di dalam proses decision-­making. Jikalau advisor berkenaan mempunyai pengalaman dalam bidang itu, dan dapat membantu dalam proses itu, saya rasa ia tindakan yang bagus.

5. Adakah pelantikan @kevinramalingam merupakan token khidmat syarikat beliau, sebelum pelantikan MP & Silva?

Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk melakukan sesuatu yang dapat mengubah haluan bolasepak Malaysia dan berkhidmat untuk semua. Saya melalui proses interview untuk dilantik sebagai CEO ini, tapi saya rasa memang saya ada sedikit kelebihan sewaktu temuduga itu. Kelebihan ini ialah kerana saya terlibat dalam proses penswastaan ini dan memahami apa yang telah dan masih lagi perlu dilakukan. Kelebihan ini juga ternyata dari segi pengalaman di mana saya telah menimba pengalaman bersama pasukan di dalam liga Malaysia serta telah lama menjalin hubungan yang baik dengan kebanyakan pasukan di dalam liga. Saya memahami keperluan dari segi pasukan dan sekarang dari segi liga dan mampu berusaha mencari keseimbangan yang perlu. Kerja saya di bidang komersial dalam industri sukan tempatan juga terbukti. Pemahaman industri ini akan saya ketengahkan untuk memastikan kepentingan semua stakeholder termasuk penyokong dan media terpelihara sepanjang perjalanan yang penuh mencabar ini. Saya berharap bahawa keputusan pelantikan saya dibuat atas kebolehan saya, tetapi kalau ia dibuat sebagai token sekalipun saya rasa yang penting ialah untuk saya pastikan pelantikan ini tidak sia-­sia dan buktikan bahawa Football Malaysia LLP mempunyai seorang CEO yang komited kepada perubahan, progres dan pencapaian.

6. Adakah situasi cacamarba penyiaran musim ini bukti FAM tak bersedia walau telah memulakan bengkel penswastaan pada 2013?

Saya rasa oleh kerana perubahan yang kini sedang dilakukan amat besar sekali, walau bersedia macam mana sekali pun kita akan menghadapi keadaan yang tidak diduga. Yang penting kini ia sedang berlaku. Dan penswastaan yang diwar-­warkan selama ini telah menjadi realiti.

7. Adakah hak penyiaran musim ini dibayar mengikut matchday, mengakibatkan sesetengah matchday tidak disiar langsung?

Hak penyiaran musim ini bukan dibayar mengikut matchday. Penyiar Media Prima dan RTM telah dan sedang cuba sedaya upaya untuk mencapai tahap siaran yang lebih memuaskan. Saya rasa memang kita dapat lihat penambah baikan yang sedang dilakukan dari segi penyampaian dan siaran kalau dibandingkan dengan awal musim. Realitinya ialah dengan jadual stesen tv “free-­to-­air” tidak semua perlawanan dapat disiarkan.

8. Adakah kelembapan FAM menjana hasil siaran berupa geran musim ini punca sesetengah pasukan liga hampir gulung tikar? 

Ini mungkin perlu jawapan daripada seorang pegawai FAM, tetapi oleh kerana saya ada sedikit pengetahuan dalam isu ini saya rasa jawapannya tidak oleh kerana walaupun dengan kekangan yang harus dilalui, disebabkan “survival-­‐ clauses” dan sebagainya dari kontrak-­‐kontrak lepas, FAM telah memberi geran yang lebih besar tahun ini berbanding pada tahun-­‐tahun lepas. Jadi sukar untuk kita katakan bahawa FAM bersalah dari segi ini.

9. Adakah benar proses decision-­making oleh FAM dipengaruhi pihak-­pihak luar & Exco FAM hanya boneka?

Saya rasa jawapan ini sama seperti jawapan no. 2 di atas di mana berdasarkan pengalaman saya pihak Exco FAM yang membuat keputusan.

10. Berapa banyak wang rakyat telah dibelanja untuk RTM bayar hak siaran kepada MP & Silva?

Buat masa ini pihak RTM tidak ada apa-­‐apa perjanjian sedmikian. Harus diingat bahawa setiap kontrak hak siaran akan dibuat antara Football Malaysia LLP dan penyiar. Jadi jikalau RTM mengikat perjanjian siaran di masa akan datang, maka bayaran siaran itu akan dibuat kepada Football Malaysia LLP di mana Football Malaysia LLP akan mengedarkan wang tersebut mengikut pecahan yang ditetapkan kepada pihak pasukan-­‐pasukan, FAM, operasi liga dan pembangunan pengadil serta remaja.

11. Kalau MP & Silva janjikan RM70 juta semusim kepada FAM, berapa juta MP & Silva janjikan pada diri sendiri?

Pelaburan MP & Silva sebanyak RM70 juta semusim itu adalah minimum yang dijamin oleh pihak mereka atas penglibatan mereka sebagai penasihat di dalam sektor pengurusan hak-­hak siaran dan komersial. Jika kita tidak mencapai RM70 juta ini dari segi jualan siaran serta tajaan, maka MP & Silva akan membayar Football Malaysia LLP baki yang tidak mencukupi itu. Dengan ini, pihak yang terlibat di dalam liga Malaysia akan pasti bahawa minimum pendapatan yang akan diagihkan setahun itu adalah RM70 juta (untuk 6 tahun pertama). Jumlah ini meningkat selepas itu setiap 3 tahun. Untuk mendorong MP & Silva untuk memberi kita jaminan ini, pihak MP & Silva telah diberi peluang untuk meraih keuntungan tetapi hanya selepas RM70 juta diterima sepenuhnya terlebih dahulu. Keuntungan ini sebanyak 20%. Jadi, kalau ada pendapatan atas daripada RM70 juta maka ya pihak MP & Silva akan mendapat keuntungan sebanyak 20%. Maka, RM70 juta bersih kepada bola sepak Malaysia dahulu, baru mereka dapat mula meraih keuntungan 20% atas daripada itu.

12. MP & Silva punya jutaan RM ditunjukkan dalam carta pai mana?

Oleh kerana carta itu menunjukkan apa yang akan diagihkan kepada stakeholder dan operasi dari RM70 juta yang bakal diterima setiap tahun, maka tiada bahagian MP & Silva di dalam carta itu. Harus diingat, keuntungan MP & Silva tidak terjamin. Mereka akan hanya mendapat keuntungan jikalau dapat merangka pelan serta pakej jualan hak siaran serta tajaan yang membolehkan Football Malaysia LLP mendapat RM70 juta dahulu. Jika mereka gagal, mereka bertanggungjawab secara kontrak untuk membayar Football Malaysia LLP bahagian yang kurang itu. Inilah tanggungjawab utama MP & Silva. Jadi keuntungan MP & Silva boleh jadi RM1 juta atau RM10 juta (tidak tetap) atau mungkin juga mengalami kerugian. Yang penting unutk kita kita akan mendapat RM70 juta minimum kerana pendapatan kita tidak terhad kepada pendapatan dari MP & Silva sahaja.

Diharap jawapan di atas dapat membantu pihak penyokong untuk memahami apa yang sedang berlaku. Jika ada apa-­‐apa kekurangan, saya harap suadara-­saudari maafkan. Bola sepak Malaysia, Liga Malaysia, Football Malaysia LLP dan saya sendiri amat memerlukan sokongan daripada pihak penyokong untuk menjayakan penswastaan ini dan untuk kita membina agihan kepada setiap pasukan kepada jumlah yang sebesar mungkin. Saya akan juga memastikan bahawa pihak kami menyediakan senarai jawapan kepada soalan-­soalan lazim untuk merungkai persoalan-­persoalan yang ada di minda penyokong. Jawapan ini akan saya cuba edarkan sama ada di laman sosial, web atau media bertulis.

Minta saudara-­saudari memberi kami sedikit masa untuk berbuat demikian kerana kami masih lagi di tahap persediaan dari aspek operasi. Saya faham bahawa kekangan kemampuan pelaksanaan yang lepas mungkin menjadikan sesetengah pihak sukar untuk mempercayai bahawa ini sedang berlaku dan sedang berlaku dengan sebaik mungkin.

Diharap lambat-laun saudara-saudari dapat melihat penswastaan ini dengan minda yang terbuka serta positif. Percayalah bahawa Football Malaysia LLP akan dianggotai dan diurus dengan prihatin kepada semua stakeholder serta komitmen untuk melakukan yang terbaik untuk masa depan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Yang penting sekarang adalah pembuka episod baharu yang kita akan cuba corakkan bersama. Adalah menjadi harapan kami bahawa pihak penyokong akan terus memberi sokongan kepada bola sepak Malaysia serta pasukan saya di Football Malaysia LLP untuk membolehkan kami menjadi penggerak transformasi di arena bola sepak Malaysia ini.

Tanggungjawab ini amat berat sekali, dan kami memerlukan bantuan semua.

 #SupportMalaysianFootball

 Kevin Ramalingam CEO – Football Malaysia LLP


3 comments:

lelongbank said...

Penerangan yg baik...harap dgn penambahbaikan dlm pengurusan fam ini dpt menambah baik kualiti dn liga malaysia...cuma berharap dpt diuruskan dgn lebih cekap dn lebih tersusun

MuhdKamalgs said...

Sdr Rizal,

Pertama sekali kita harus tanya apa meritnya bolasepak Malaysia. Adakah usaha2 seperti ini boleh mengubah pandangan umum terhadap bukan sukan tersebut tetapi badan2 yang kawal selia sukan ttersebut.

Problemnya bukan permainan sukan itu, yang dimana boleh di tingkatkan dgn pendekatan2 yang mandatory kalau mempunyai kefahaman dlm latihan dan didikan.

Buat masa ini, kita hanya boleh beranggapan bahawa semua usaha yg di lakukan di peringkat pengurusan dan pentadbiran bolasepak Malaysia hanyalah satu persembahan CIRCUS.

Lihat bagaimanan pasukan Pahang dan JDT layak ke AFC peringkat 16 pasukan.

Tidak mustahil ada elemen2 'fix' untuk laluan team dari Malaysia ke peringkat tersebut - analisis terperinci game2 yang melibatkan Pahang dan JDT boleh memberi gambaran yg sebenarnya, kalau mahu mencari kebenaran.

Penyelidikan juga harus di buat keatas pasukan2 yang lawan Pahang dan JDT bagi laluan tersebut.

Pokoknya kita harus berhenti berpura-pura.

rizal hashim said...

Saudara HS Kamal, begitulah...kita harus buat keputusan, terus menerima kepura-puraan itu atau berbuat sesuatu....