Saturday, November 1, 2014

Piala Malaysia 2014 - previu ringkas


Tahun lalu aku ke final Piala Malaysia sebagai penonton bersama jiran-jiran. Baca This is Pantai Timur final

Baca juga fasa hidupku di sini, Reviu final 2013 yang memihak kepada Pahang pula bertajuk kejayaan Pahang di tiga era berbeza

Hari ini aku bertugas, dengan misi khas membawakan serba sedikit kerja-kerja penyiaran di belakang tabir untuk dipaparkan dalam majalah digital Arena bulan depan, In Sha Allah.

Rumput Bermuda Princess 77 sudah sedia nampaknya selepas Stadium Nasional setahun ditutup, membentangkan laluan buat Johor Darul Takzim dan Pahang berentap menentukan juara sepanjang musim.

Dengan Liga Super dalam genggaman, JDT hanya 90 minit (atau lebih) daripada mendakap kejuaraan berganda, satu pencapaian cemerlang selepas melalui penjenamaan semula daripada asal-usulnya Johor FC.

Pahang pula terbukti sebuah Cup-winning side, menjulang Piala Sumbangsih awal tahun, disusuli Piala FA Jun lalu hasil rembatan deras jarak jauh anak jati Kluang dari Paloh, Faizol Hussain, dan sekali lagi tampil ke pentas final Piala Malaysia, buat kali kelima - dengan rekod juara 1983, naib juara 1984 serta juara 1992 dan 2013.


Kesetiaan Faizol tidak dipertikai.



Kejayaan Pahang membelasah Kedah 5-0 pada saingan kedua separuh akhir di Stadium Darulmakmur menunjukkan Tok Gajah sedang dalam mood untuk bermaharajalela. Namun apakah mereka sudah mencecah tahap prestasi tertinggi?

Sebagai juara bertahan, Pahang tahu yang lebih tertekan menjelang final ialah JDT, pasukan kelab yang tidak pernah merasai debar dan getar final sebesar ini.

Secara umumnya, Pahang dilihat mengutamakan etika sepasukan, didokong sentuhan individu seperti Dickson Nwakaeme (yang dikekang Razman Roslan dan Damion Stewart tahun lalu) dan R. Gopinathan.

JDT pula mara ke final dengan penuh gaya. Menewaskan Kelantan, ATM dan Terengganu dalam laluan ke Bukit Jalil. Pahang pula mengetepikan dua wakil Liga Perdana, Polis dan Kedah, untuk menempah tempat ke final.

Dilihat sebagai pasukan yang berteraskan individu, JDT menyandarkan harapan kepada Jorge Pereyra Diaz selaku pencetus inspirasi dan Lucho Figueroa selaku mesin pencetak gol, sesekali dibantu perencanaan Amri Yahyah dan Safiq Rahim.

Kedua-dua pasukan layak ke final.

Penyokong pula ikutlah cakap pihak berkuasa dan nikmati final dengan berhemah, sopan dan berlapang dada.

Astro Arena pula kemungkinan besar menyiarkan final ini selaku hos penyiar buat kali terakhir kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mempertimbang tiga bida - Astro-FoxSports, Telekom Malaysia-Media Prima dan Zenith Media-IMG.


Trak siaran luar Astro siap



Astro Arena akan bersiaran seawal tengah hari

Lazimnya aku bersikap objektif. Tetapi sesekali tidak salah memilih ikut sentimen. Disebabkan Johor tandus gelaran sejak 1991, pembawa nama Johor iaitu JDT berpeluang cerah menamatkan penantian. Jika empat serangkai Diaz, Figueroa, Safiq dan Amri mendapat sentuhan, harapan Zainal Abidin Hassan untuk menjulang Piala Malaysia selaku jurulatih buat kali pertama mungkin lebur.

Tentu sekali JDT mahu menghadiahkan Piala Malaysia sebagai hadiah perkahwinan bos mereka, Tengku Mahkora Johor (TMJ), tokoh pencetus revolusi bola sepak Johor yang tidak sepi daripada kontroversi. 

Baca laporan Malaysian Digest  di sini dan tontoni klip Dengan Izin.




Selamat berjaya buat kedua-dua pasukan. Bagi semua yang terbabit dalam final, semoga segala urusan dipermudahkan.

Bagi yang kalah, redha dengan kekalahan. Yang menang, nikmatilah kemenangan. Yang penting, bola sepak Malaysia dimartabatkan.



1 comment:

xfootballer said...

Wa... Salam abe Rizal... lama dok senyap je... apa cerita terbaru? Share share la ngn kami ye.