Saturday, April 20, 2013

Ahli sukan dan politik

Aku menulis mengenai ahli sukan, sukan dan politik dalam kolumku di arena.my.

Petikannya:

Penyenaraian bekas penyerang bola sepak Kedah, Samransak Kram, sebagai antara calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 atas tiket Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) menguatkan lagi hakikat bahawa politik dan sukan di Malaysia tidak dapat dipisahkan.

Samransak yang berketurunan Siam pernah menyarung jersi kebangsaan selain menjadi tonggak serangan pasukan Bawah 20 tahun bimbingan Datuk K. Rajagobal pada 2004.

Baru berusia 27 tahun, Samransak terpaksa mengumumkan persaraan awal gara-gara kecederaan berpanjangan. Dia dicalon bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, kawasan yang terkenal dengan Tasik Pedu.


Samransak kini mengejar undi, bukan pemain lawan

Datuk Ellron Alfred Angin, bekas pelari acara pecut negara, No 6 dalam acara 100m di Sukan SEA Jakarta 1979 dan No 5 acara sama di Manila pada 1983 serta finalis 100m di Sukan Asia di New Delhi 1982, adalah nama paling besar mewakili bekas atlet bertanding pada PRU12 pada 2008 untuk kerusi DUN Sook, Keningau, Sabah.

Di saat satu negara menyanjung kemenangan Rabuan Pit pada November 29, 1982, tidak ramai yang ingat bahawa Ellron, pada usia 23 tahun, turut layak ke final. Dia menduduki tempat kelapan dan terakhir dengan catatan 10.92 saat.


Tiga dekad lalu, Ellron belum bergelar YB. Tapi memang YB dari dulu, Yang Berlari...


“Saya antara empat pelari yang membuat false start kerana terlalu cemas. Saya ditenteramkan oleh Rabuan,” kata Ellron kepada penulis menjelang PRU12 lima tahun lalu.

Klik di sini untuk artikel penuh.

Kerusi panas!!!!


Ada seorang rakan mengirim mesej dia tidak hirau siapa setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tapi yang penting siapa jadi presiden FAM.

Sebenarnya setiausaha agung FAM ibarat ketua pegawai operasi sebuah organisasi korporat. Bahkan kadangkala boleh diiktiraf ibarat ketua pegawai eksekutif (CEO) disebabkan tugasnya yang bergaji besar selaku ketua urusetia di Wisma FAM.

Kalau CEO, bermakna setiausaha agung ada kuasa mencadangkan, membuat kerangka struktur keseluruhan dan mengemukakan dasar-dasar demi kepentingan bola sepak negara untuk dikemukakan kepada exco FAM yang dianggotai sukarelawan.

Secara idealnya, inilah tafsiran aku sebagai penulis bola sepak.

Bermakna, dari segi idea, konsep dan pelaksanaan sesuatu dasar, CEO terbabit dari awal hingga akhir.

Misalnya insurans berkelompok untuk pemain, kaedah latihan pengadil, struktur pertandingan, pengenal pastian calon jurulatih kebangsaan - idea, kertas kerja dan semuanya dicanai, dianalisis dan dibuat di peringkat urusetia untuk dipertimbang di peringkat jawatankuasa dan akhirnya exco. Aku percaya ini falsafah yang diamalkan oleh Datuk Seri Paul Mony Samuel (1984-2000), Datuk Dell Akbar Khan (2000-2005) dan mungkin Datuk Seri Dr Ibrahim Saad (2005-2007). Profesional atau tidak, itu cerita lain!

Tapi jawatan setiausaha agung, atau gensec (pendek buat general secretary) dalam istilah bola sepak, boleh juga ditafsirkan sebagai executor, atau sekadar pelaksana dasar-dasar yang ditentukan oleh jawatankuasa tetap dan exco FAM. Aku rasa ini amalan Lt Jeneral Datuk Azzuddin Ahmad yang akan mengosongkan kerusi panas itu bulan depan bagi menjawat jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Apabila ditemu bual oleh Pietro Felix untuk Nadi Arena 15 April lalu, aku melontarkan nama dua calon untuk menggantikan Azzuddin.



Calon 1 - Windsor Paul John (pengarah pertandingan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC)).

Kelayakan Windsor tidak boleh dipertikai. Berusia 52 tahun November kelak,Windsor yang berasal dari Kedah menjadi guru sebelum dilantik sebagai penolong jurulatih Selangor di bawah Datuk M. Chandran pada 1992 dan melatih skuad Piala Presiden 1993 sebelum memegang jawatan selaku pegawai pembangunan remaja di FAM dan seterusnya Ketua Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan sehingga 2000 sebelum menjawat tugas Pengarah Pertandingan dan Teknikal, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Berpengalaman luas mengendalikan kejohanan yang diiktiraf FIFA, Windsor turut menjadi Pegawai Pembangunan FIFA (rantau Asean dan Asia Timur) dan General Co-ordinator Piala Dunia dari 2002, 2006 dan 2010. Sebagai jururunding FIFA, Windsor memantau dan melaksana projek pembangunan di China, Thailand, Laos, Myanmar, Vietnam dan Korea Utara.


Aku dan Windsor di Paris, pertengahan 1995

Senario mungkin: Jika Windsor mengambil alih tugas itu, dia akan menuntut kuasa eksekutif penuh dalam merevolusikan bola sepak Malaysia dengan mengadakan perubahan root and branch. Ini akan meresahkan kebanyakan pemimpin persatuan yang tidak faham kehendak semasa.

Calon 2 - Datuk Hamidin Mohd Amin (naib presiden FAM dan setiausaha agung FAS)



Tidak ramai yang memiliki pengalaman seperti bekas pegawai bank ini. Berasal dari Gombak, Hamidin, 48 tahun Disember nanti, mendaki ke puncak bermula dari tingkat paling bawah, memahami selok-belok realiti bola sepak tempatan, dari segi penjualan tiket, sokongan kelab penyokong, pertandingan tempatan dan futsal.

Memegang jawatan setiausaha agung FAS sejak 1998, Hamidin mesra media dan bingkas melonjakkan imej futsal di mata pencinta bola sepak tempatan apabila ditugaskan menjadi pengerusi jawatankuasa futsal.

Hamidin barangkali satu-satunya pemimpin tertinggi FAM yang berani berdepan dengan pengkritiknya sama ada di kalangan wartawan atau peminat amnya. Memiliki PR skills yang cukup tinggi. Tidak kisah dikritik dan terbuka kepada pandangan berbeza. Di Selangor Hamidin dikenali sebagai seorang yang rajin bekerja tanpa mengenal siang malam.

Senario mungkin: FAM lebih bersifat inclusive dengan pendekatan mesra persatuan dan penggiat bola sepak tempatan. 

Soalnya, apakah Windsor sanggup meninggalkan jawatannya di AFC? Jika tidak, Hamidin yang mendapat sokongan ahli exco FAM, dilihat sebagai calon pilihan.

Bekas bos aku di Malay Mail, Tony Mariadass, turut melontarkan nama bekas penolong setiausaha agung FAM, Hj Saifuddin Abu Bakar. Baca remember Saifuddin?

Anak kelahiran Melaka berusia 52 tahun dan mendapat didikan dalam bidang perniagaan dan insurans, Saifuddin menjawat tugas Penolong Setiausaha Agung FAM sebelum berhijrah ke Doha, Qatar pada 2009 dan kini bertindak selaku Perunding Teknikal Liga Pro Oman.

Sebelum itu Saifuddin menghabiskan masa lapan tahun di FAM sebagai pegawai di jabatan teknikal, jabatan pengadil dan kemudian ketua jabatan pertandingan dan pelaksana di sebalik idea Super League yang dilancarkan pada 2005.

Baca Saifuddin quits. Hari ini apakah Saifuddin sanggup meninggalkan jawatan yang bergaji lumayan untuk menyumbang tenaga buat FAM?

Senario mungkin: Jika Saifuddin kembali ke FAM, badan induk itu tidak akan berdepan jadual pertandingan yang cacamarba dengan susunan yang lebih wajar, rasional dan profesional.

Seorang lagi calon outsider - Kolonel Azhar Ahmad, Pembantu Khas Sultan Ahmad Shah. Bekas setiausaha Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBAT) itu boleh berbahasa Perancis dan ada pengalaman mengurus persatuan.

Siapa yang bakal menjadi setiausaha FAM kesembilan sejak 1940?

Berikut senarai setiausaha FAM dari 1940


A.R. Singham (1940 hingga 1948) - pemain dan bek kanan bangsa Tamil pertama mewakili Selangor pada era 1920-an dalam Piala HMS Malaya sebelum bersara pada 1933. Lelaki bukan berketurunan Eropah yang pertama memegang jawatan setiausaha FAM (ketika itu MFA). Juga setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor.



S.C.E Singam (1948 hingga 1951) - pengetua Klang High School yang aktif sebagai penggiat sukan, juga setiausaha FAS dan kemudian menjadi naib presiden FAM serta setiausaha Lembaga Stadium Merdeka. Dikenali sebagai Bola Singam. Juga pernah menjadi Setiausaha FAS.


Datuk Kwok Kin Keng (1951 hingga 1979) - meletak jawatan pada November 1979 akibat masalah kesihatan, bekas penjaga gol Selangor dan pemain kriket itu adalah setiausaha paling lama berkhidmat, satu rekod yang sukar ditandingi. Bekerja di bawah tiga presiden - Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein dan Tan Sri Hamzah Abu Samah. Produk Victoria Institution.



Kin Keng, Murugasu dan Azzuddin (gambar 1972)

Datuk Paul Murugasu (1980 hingga 1985)  - setiausaha FAS yang kemudian mengisi jawatan penting FAM pada 1980. Berlatarbelakangkan kerjaya guru termasuk di VI, Murugasu bersifat kebapaan dalam pendekatannya.


Datuk Seri Paul Mony Samuel (1985 hingga 2000) - guru yang berasal dari Kuala Ketil dan berhijrah ke Kuala Lumpur berbekalkan sijil kejurulatihan, Mony mentadbir FAM ketika era semi-pro berputik. Bermula sebagai setiausaha eksekutif sebelum mengambil alih daripada Murugasu. Disenarai sebagai antara individu paling berpengaruh dalam bola sepak dunia oleh majalah World Soccer. Baca DPM mover and shaker. Zamannya FAM mewah hasil tajaan Dunhill.



Dalam misi mengumpul data dan maklumat pembangunan Jepun, aku di tengah-tengah Dell dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil yang pernah disebut-sebut menjadi setiausaha agung FAM. Gambar 1999 setahun sebelum Dell dilantik menggantikan Mony

Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (2000 hingga 2005) - Dell pemain kebangsaan pertama dilantik menjadi setiausaha agung FAM selepas berkhidmat selaku ahli majlis bebas, pegawai keselamatan dan pengurus pasukan kebangsaan. Anggota skuad Olimpik 1972 yang tidak menyertai temasya itu di Munich akibat kecederaan, Dell mengamalkan kaedah pengurusan terbuka, serta dia percaya kepada prinsip empowerment. Dia meletak jawatan. pada Februari 2005 bersama penolongnya Datuk Yap Nyim Keong selepas ada usaha memburukkan pengurusan mereka yang menuduh kedua-duanya kurang mesra ahli gabungan. Disukai kakitangan FAM. Ada kes saman Dell terhadap FAM yang belum selesai.


Aku antara pengkritik tegar FAM ketika di bawah urus tadbir Dr Ibrahim tetapi sebagai seasoned politician, dia sentiasa tenang dan tidak berdendam...gambar di atas satu kenangan manis muncul di kaca TV dengan Dr Ibrahim sekeluarga sempena Euro 2008 dalam Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9.

Datuk Seri Dr Ibrahim Saad (2005 hingga 2007) - tidak semena-mena bekas Timbalan Presiden FA Pulau Pinang itu dilantik selepas calon utama, bekas pemain Kelantan dan Kuala Lumpur, Rosli Hussein, ada sedikit masalah walhal FAM mengadakan sesi interviu dengan beberapa calon. Ibrahim mengurus sekreteriat sambil dibantu Rosli dan Noor Kefli Sulong sebagai penolong setiausaha agung. Ketika itu hubungan FAM dengan kerajaan, khususnya Kementerian dan Belia dan Sukan, cukup rapat dan berkesan. Maklumlah, Azalina Othman Said panggil Dr Ibrahim "uncle".


Lt Jen Datuk Azzuddin Ahmad (2007 hingga 2013) - Berusia 26 tahun ketka menganggotai majlis FAM selaku wakil ATM pada 1972, Azzuddin kembali menyertai badan induk itu selaku pengerusi jawatankuasa disiplin dan kemudian pengadil selain menjadi ahli majlis bebas serta pengurus pasukan Bawah 20 kebangsaan dari 2002 hingga 2005. Dia mencadangkan agar Jorvan Vieira dipecat dek kerana sukar menamakan teras pasukan menjelang Kejohanan Remaja Asia Bawah 20 tahun pada 2004, lantas membuka pintu kepada K. Rajagobal (sekarang bergelar Datuk) menjadi jurulatih. Pelantikan Azzuddin sebagai setiausaha agung kelapan diumumkan menerusi media selepas Presiden FAM menghubungi aku pada satu Jumaat dari London lalu maklumat itu dikongsi bersama Berita Harian dan Harian Metro. Sekalipun kontroversi melingkari FAM dan Azzuddin, dia boleh berbangga Malaysia memenangi semula pingat emas Sukan SEA, mara ke pusingan kedua Sukan Asia buat kali pertama sejak 1978 pada 2010 selain merangkul Piala AFF di bawah pentadbirannya.