Saturday, June 8, 2013

Kenangan di Toulon




Menonton aksi pemain remaja dalam Kejohanan Jemputan Toulon yang disiarkan di kaca televisyen mengembalikan ingatan aku kepada lawatanku ke bandar tenggara Perancis itu, genap 18 tahun yang lalu. Kerap menulis mengenai perkembangan skuad Olimpik bimbingan Claude Le Roy, aku sekadar senyum sinis apabila Hishamuddin Aun, pengarang sukan Berita Harian, menuturkan kata-kata: "Melobi nak ke Toulon ke ni?" Tapi aku tidak menyangka akhirnya Hisham (kini Datuk) menyuruh aku membuat anggaran perbelanjaan lalu dipanjangkan kepada Penolong Pengarang Kumpulan BH, Haniff Hadi. Sudahnya impian terlaksana. Ketika itu hanya tiga wartawan dikirim organisasi masing-masing. Usaha Lazarus Rokk dari New Straits Times dinafikan oleh bos-bos di NST. Maka hanya aku, Amran Mulup (Zimbo) untuk Watan dan Zainul Azhar Ash'ari (Utusan Malaysia) dilimpahi rezeki menjejakkan kaki ke Toulon. Di Toulon, bukan saja aku dibawa meluncur laju menaiki Mercedes 190E milik Le Roy, bahkan bertemu David Beckham, Juninho Pernambucano dan Fabrice Akwa. Pentadbir pasukan Olimpik ketika itu Windsor John, kini orang besar Gabungan Bola Sepak Asia (AFC). Antara artikel yang kutulis: -


HANYA lima daripada 31 pelatih yang dihimpunkan di Institut Kemahiran Iktisas Pahang (Ikip), Kuantan, pada 24 Februari 1994, disenaraikan menganggotai skuad Olimpik Malaysia (OM) ke Kejohanan Remaja Toulon, 5-14 Jun ini.
Kenyataan itu sekaligus mencerminkan kecenderungan panel jurulatih skuad itu yang diketuai oleh Claude Le Roy untuk membuat rombakan sambil mencari pemain yang benar-benar sesuai bagi menyuluh laluan pada pusingan kelayakan Olimpik, 10 hari selepas kejohanan Toulon.
Ikip menjadi gelanggang Le Roy mengumpul teras pasukannya buat julung kali tetapi yang kekal meneruskan perjuangan dan menepati cita rasa jurulatih dari Perancis itu ialah Ching Hong Aik, Tuan Kamree Yahya, Rusdi Suparman, Zambil Ahmad dan Paul Raj.


Belakang dari kiri M. Chandran, Ahmad Shaharuddin Rosdi, Nazaruddin Zain, Azmin Azram Aziz, Rusdi Suparman, Faizal Zainal. Depan dari kiri Raizuwah Idris, Shadan Zahari, Idris Karim, Hasnizam Uzir dan Ching Hong Aik

MALAYSIA ... 0 ANGOLA ... 3

SIX-Fours, tempat penginapan skuad Olimpik negara sepanjang tugasan di Toulon, membawa maksud enam ketuhar - mungkin disebabkan cuaca yang agak panas berbanding daerah lain di tenggara Perancis.

Kebetulan ia seakan-akan membayangkan tekanan dan bahang sehebat dipanggang dalam ketuhar apabila bertemu England pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Verger, malam ini.

Peluang Malaysia untuk melangkah jauh agak tipis selepas kecundang 0-3 kepada Angola hasil tiga jaringan penyerang Benfica, Fabrice `Akwa' Maeico, di Manosque, kelmarin.

England yang dipimpin oleh penolong jurulatih juara Liga Perdana Inggeris, Blackburn Rovers, Ray Harford, seharusnya mahu bangkit sesudah dipersendakan dengan dua jaringan ala-samba daripada penyerang Brazil, Leonardo dan Leandro, di Toulon.

Selepas perlawanan dengan Angola, jurulatih kebangsaan, Claude Le Roy, membebel mengenai mutu pengadilan pengadil dari Amerika Syarikat, Esse Baharmast, tetapi dia sepatutnya berpegang kepada ungkapan Perancis, C`est La Vie (inilah kehidupan).

MALAYSIA 0 ENGLAND 2

DAPATKAH gajah dialahkan oleh pelanduk? Berpegang kepada pepatah itu, agak mustahil untuk mengharapkan skuad Olimpik negara membuat kejutan apabila melangkah ke Stadium Brulat di Draguignan, malam ini.

Menanti ialah Brazil dengan khidmat lima anggota skuad Kuning Emas yang muncul juara Piala Dunia Belia di Australia dua tahun lalu - Fabio, Bruno, Hermes, Caico dan Perreira. Malaysia sesungguhnya memerlukan kuasa sakti untuk merakamkan sejarah, apatah lagi jurulatih, Claude Le Roy, terpaksa merombak kesebelasannya akibat masalah kecederaan.

Di Draguignan, kira-kira 80 kilometer dari Toulon, Malaysia akan bertarung tanpa pemain terbaik dan satu-satunya anak muda geliga yang bertaraf Asia - Azrul Amri Burhan - gara-gara kecederaan lutut kiri dan sweeper muda, Affendy Hamzah.

Perancang dari Pahang, Ahmad Shahruddin Rosdi, dijangka mengisi tempat Azrul manakala posisi sweeper diisi sama ada oleh bek Kelantan, Nazaruddin Zain atau ketua pasukan, Faizal Zainal.

Formasi sedemikian menagih komitmen dan wawasan daripada pemain Selangor, M Chandran - pemain terbaik ketika menentang England dan kunci jentera tengah, Idris Karim manakala Paul Raj mesti meluahkan bisanya selepas hambar ketika bersua Angola dan England.

Kelmarin, dengan Azrul menayangkan ketrampilan ibarat penterjemah taktik Le Roy di padang, Malaysia tidak takut tetapi agak berwaspada kerana England pandai dan pentas menyempitkan ruang. Malah, Azrul sempat mencemaskan pertahanan England menerusi dua rembatan jarak jauh yang melewati palang sebelum dia diterjah dengan keras oleh pemain pertahanan, Phillip Neville.

MALAYSIA 0 BRAZIL 3

KIRA-kira 700 penonton - ada antaranya mendengar nama Malaysia hanya kerana skandal rasuah tahun lalu - memekik `Bravo, bravo Malaisie' selepas perlawanan di Stadium Raoul Brulat, Draguignan, kelmarin.

Mereka, kebanyakannya penduduk Draguignan, kira-kira 100km dari Toulon, menghargai cara skuad Olimpik negara berjuang sebelum tunduk 0-3 kepada Brazil.

Disaksikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang singgah di Toulon untuk meninjau perkembangan pemain, anak didik Claude Le Roy lasak menyaingi Brazil, khususnya pada babak pertama.

Namun, kesilapan pertahanan mengakibatkan gawang Malaysia dibolosi dua kali, termasuk keajaiban rentak samba Brazil menghasilkan jaringan kedua yang disempurnakan oleh Leonardo.


Kelaziman buat aku juga sentiasa membuat penpix kepada anggota skuad buat tatapan pembaca.


AZMIN AZRAM AZIZ (Kuala Lumpur) (19 tahun, 174sm, 70kg) Lebih mesra sebagai Am, lahir di Taiping tetapi mewakili Kuala Lumpur dalam pertandingan had umur sejak berusia 10 tahun. Tangkas dan menjadi penjaga gol skuad senior negara ketika bertemu FC Aarau, awal tahun ini.

S RAGESH (Kedah) (22 tahun, 176sm, 75kg) Mencipta nama selepas dijadikan penjaga gol utama skuad Olimpik berikutan persembahannya bersama Langkasuka. Bersaing hebat dengan Am untuk mengekalkan kedudukannya.

FAIZAL ZAINAL (Negeri Sembilan) (21 tahun, 173sm, 67kg) Along adalah ketua pasukan kedua selepas Faizul Saharom. Boleh bermain sebagai bek tengah atau bek kiri dan mewakili negara pada Sukan Asia Hiroshima. Lasak dan pandai membaca permainan serta lantang memimpin benteng.

B RAJANIKANDH (Negeri Sembilan) (20 tahun, 174sm, 64kg) Stopper atau sweeper berasal dari Melaka yang cekap menguasai bola tinggi tetapi agak perlahan bagi seorang pemain paling berpengalaman. Pernah mendapat didikan Richard Bate dalam skuad pelapis. Direhatkan daripada kejohanan Toulon.

MD RAIZUWAH IDRIS (Pahang) (21 tahun, 175sm, 62kg) Lokek memberi ruang kepada penyerang lawan dan sentiasa memberi komitmen padu. Berasal dari Klang dan mewakili Polis selama dua musim sebelum dipancing oleh Pahang tahun ini.

KHAIRIL ZAINAL (Negeri Sembilan) (21 tahun, 174sm, 65kg) Adik kembar Faizal yang digelar Angah, agresif sama ada sebagai penyerang atau bek kanan dan cekap menyempurnakan tandukan. Kadangkala membuat terkaman yang melulu.

ROSLAN RAHIM (Kedah) (19 tahun, 175sm, 60kg) Corak permainan anak jati Langkawi ini keras, sesuai untuk tugasnya sebagai pembayang penyerang lawan atau bek kanan.

NAZARUDDIN ZAIN (Kelantan) (19 tahun, 170sm, 57kg) Serba boleh sama ada sebagai pemain tengah, bek kanan atau kiri. Bekas anggota pasukan Bawah 19 kebangsaan ini lebih menitikberatkan kesempurnaan daripada gaya.

TUAN KAMREE YAHYA (Kelantan) (20 tahun, 169sm, 58kg) Anak peladang tembakau di Bachok ini semakin matang selepas menonjolkan diri pada 1993. Pemain kidal ini boleh bertindak sebagai perancang tengah atau bek kiri.

IDRIS KARIM (Johor) (18 tahun, 173sm, 58kg) Antara paling muda tetapi remaja dari Johor Bahru ini dijangka memegang fungsi penting sebagai nadi penggerak di bahagian tengah. Memiliki tahap kecergasan yang tinggi.

CHING HONG AIK (Melaka) (21 tahun, 170sm, 55kg) Kaki kiri yang menakjubkan dan rajin tetapi kadangkala mudah tenggelam dalam permainan. Tugasnya mencakupi posisi tengah di penjuru kiri.

MAIZAL HAIRI MARZUKI (Kedah) (22 tahun, 174sm, 60kg) Berpengalaman sebagai perancang sebelah kanan, bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid ini lahir hasil program pembangunan Kedah dan disifatkan sebagai pengganti mutlak Radhi Mat Din. Direhatkan daripada kejohanan Toulon.

M CHANDRAN (Selangor) (20 tahun, 176sm, 61kg) Berebut tempat dengan Maizal, Chandran laju dan sesekali berani mencuba nasib menerusi rembatan jarak jauh.

AHMAD SHAHARUDDIN ROSDI (Pahang) (20 tahun, 172sm, 60kg) Pakar rembat dan perancang tengah dari Kuantan. Sukar mengintai peluang dalam barisan tengah tetapi berpotensi untuk dijadikan teras masa depan.

AZRUL AMRI BURHAN (Kuala Lumpur) (19 tahun, 173sm, 67kg) Arkitek posisi tengah atau penggempur kelahiran Tapah tetapi permata yang digilap oleh Kuala Lumpur sehingga menyarung jersi negara awal tahun ini. Meniti laluan setiap pasukan kebangsaan peringkat umur.

RUSDI SUPARMAN (Selangor) (22 tahun, 173sm, 62kg) Mencari tapak dalam skuad Selangor sejak 1992 tetapi menjadi calon utama untuk berfungsi sebagai penyerang. Konsisten dan lincah serta pakar menyimpan dan melindungi bola.

ZAMBIL AHMAD (Kedah) (20 tahun, 170sm, 60kg) Pemain dari Pendang ini dihantar oleh Kedah untuk menimba ilmu selama dua bulan bersama kelab bahagian dua Sweden, Landskrona Boys, tahun lalu dan mampu menjadi penyerang pantas atau bek kanan.

HASNIZAM UZIR (Johor) (19 tahun, 170sm, 60kg) Tampil dalam kesebelasan Johor bersama Idris musim ini. Menyerlah pada Sukan Malaysia (Sukma) di Johor Bahru pada 1992 sebelum menembusi pasukan Merah Biru musim ini, lalu diserapkan ke dalam skuad Olimpik.

MOHD NOOR DERUS (Terengganu) (19 tahun, 165sm, 58kg) Bertubuh kecil tetapi lincah. Berasal dari Melaka, bakatnya dikesan oleh penasihat teknikal Terengganu, Marco Bilic, yang bingkas membuka pintu kepada Mohd Noor di negeri itu pada 1993.

PAUL RAJ (Selangor) (21 tahun, 171sm, 62kg) Memiliki kaki kiri ajaib dan pakar gelecek tetapi keluar masuk daripada skuad ini kerana kurang disiplin dalam dan luar padang. Seharusnya menjadi penggerak yang berupaya mencetuskan ilham buat rangkaian penggempur.

AFFENDY HAMZAH (Kuala Lumpur) (18 tahun, 173sm, 62kg) Anggota skuad Projek FAM/Coca-Cola Piala Dunia Belia 1997, penyenaraian Affendy bukan setakat bertujuan memberi pendedahan, malah diberi kepercayaan menghangatkan saingan merebut posisi penyerang.

SHADAN ZAHARI (Pahang) (22 tahun, 173sm, 66kg) Biarpun anak jati Pekan ini dianggap penyerang utama, prestasinya terumbang-ambing sejak kebelakangan ini. Penyepak utama penalti. Direhatkan daripada kejohanan Toulon.

Jurulatih/Penolong jurulatih

CLAUDE LE ROY (Perancis) (47 tahun, 175sm, 79kg) Bekas jurulatih Cameroon dan Senegal yang dilantik sebagai perencana Malaysia pada Februari 1994. Menganggap skuad Olimpik sebagai barisan kesayangannya.


Aku dan Claude


IRFAN BAKTI SALIM (Kelantan) (44 tahun, 174sm, 78kg) Penolong jurulatih yang banyak meringankan tugas Le Roy dengan pendekatan tersendiri dari segi psikologi hasil pengalamannya sebagai kapten dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).


Irfan (kanan). Aku di sebelah Affendy. Pakai topi PSG 1995...lama sebelum Beckham sertai kelab itu. Belakang aku dari kiri Azmin, Tuan Kamree, Zambil, Paul Raj dan Khairil Zainal.


LIM CHUAN CHIN (Melaka) (37 tahun, 180sm, 78kg) Bekas penjaga gol kebangsaan yang berasal dari Melaka dan pernah mewakili Selangor serta Kuala Lumpur. Lahir dalam keluarga Lim yang terkenal dengan ahli sukan, termasuk lima beradik dalam bola sepak, Chuan Chin bertanggungjawab memupuk kemahiran Ragesh dan Azmin.



Barang diingat, 1995, internet masih asing. Aku mengirim berita Montpellier risik Azrul menerusi telefon, dicatat perenggan demi perenggan oleh senior, Jamhariah Jaafar. Ini kerana aku tidak dapat mengirim berita menerusi talian telefon.

SELANG beberapa minit selepas Claude Le Roy melihat anak didiknya tewas 0- 3 kepada Angola di Manosque Selasa lalu, dia dihampiri seorang lelaki berkulit hitam yang berpakaian kemas.

Mereka berbual dan berbincang hampir 20 minit. Rupa-rupanya perbualan itu berkisar di sekitar ketrampilan perancang utama skuad Olimpik Malaysia, Azrul Amri Borhan. Sekalipun gagal membantu Malaysia menundukkan Angola, Azrul dianggap memiliki skil dan pemahaman taktikal serta pembacaan permainan yang boleh digilap untuk menghiasi Liga Perancis.

Lelaki itu ialah jurulatih pasukan simpanan Montpellier Herault, Maman Ouettara, yang meninjau bakat baru di kalangan lapan negara di kejohanan remaja ini. Namun, Azrul, yang genap 20 tahun November ini, tidak mahu terburu-buru membincangkan masa depan, sebaliknya menyerahkan kepada budi bicara majikannya, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL).

Sambil menganggap pengalaman di Perancis harus mengangkat corak permainannya, Azrul berkata: "Jika ada tawaran rasmi, ia harus dibincang di peringkat pentadbiran PBKL dan Montpellier.

Minat yang ditunjukkan oleh Montpellier - kelab yang pernah diwakili oleh Eric Cantona, Laurent Blanc, Stephane Paille dan Carlos Valderrama - adalah sinar terbaru buat Azrul, produk tulen PBKL.


Di Lapangan Terbang Charles de Gaulle...bersama Azrul yang bertongkat. Berbaju batik di belakang ialah Amran Zimbo, dengan Hasnizam, yang kini menjadi penganalisis di Astro Arena


Sekembalinya ke Kuala Lumpur, aku turut menyumbang artikel buat ruangan Rantau Lipur, sebuah catatan pengembara.

"LEGA bukan kepalang," bisik hati ini selepas kami tiba di stesen kereta api Toulon, kira-kira 1,000 kilometer dari Paris. Jarak Paris-Toulon hampir menyamai perjalanan dari Singapura ke Kangar, tetapi dengan TGV (Train a Grand Vitesse), kereta api paling laju di dunia yang berupaya mencecah tahap kelajuan 480 kilometer sejam di sesetengah laluan, ia ibarat perjalanan dari Kluang, Johor ke Kuala Lumpur.

Toulon, kota berkubu yang menjadi pangkalan utama Tentera Laut Perancis selain di Brest, sudah hampir lengang ketika tubuh kami mula diterpa bayu Mediterranean pada waktu senja.

Destinasi saya bersama seorang teman wartawan, Amran Zimbo, ialah Hotel Du Parc, Sanary, tempat penginapan kami sepanjang Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Toulon ke-23, awal bulan lalu.

Sepanjang perjalanan, kami ditemani oleh pengadil Malaysia, Nik Ahmad Yaakub. Seperti juga Toulon, Sanary Sur Mer (Sanary di tepi laut) yang terletak di pesisiran Cote DAzur, adalah antara tempat pelancongan dalam wilayah Var di tenggara Perancis.

Tenteram adalah perkataan paling tepat untuk menggambarkan suasana di Sanary, tujuh kilometer dari Toulon dan bandar berdekatan, Six-fours, yang membawa maksud enam ketuhar.

Malah, 60 peratus daripada penduduknya adalah warga tua dan pesara yang lebih selesa menikmati udara tenang di Riviera.

Tiba hujung minggu, kebanyakan kedai ditutup dan warga muda mahupun tua sekitar Sanary dan Six-fours (sebut sifu) menghabiskan waktu sama ada berjemur di pantai, bermandi-manda atau membelah ombak Mediterranean dengan meluncur layar.

Musim bunga di kawasan itu sama seperti musim panas, malah seorang pemandu teksi yang juga bekas kelasi, Michel Daffour, berkata usah hairan jika ada yang sanggup mengocak laut pada musim sejuk.

"Itulah kelebihan setiap bandar di pesisiran Cote DAzur, malah kalau di Monaco atau Cannes dan kawasan sekitarnya, kami boleh memilih sama ada pergi ke pantai atau luncur salji pada musim sejuk," kata Daffour.

 Setiap kali musim panas, Daffour mengukir senyuman lebih lebar daripada biasa. Sepanjang tempoh itu, jumlah pelancong yang datang ke sekitar Toulon meningkat sekali ganda, berbanding musim lain.

"Ketika itu, pelancong menjadi sumber pendapatan saya. Hotel juga perlu ditempah sebulan lebih awal. Tetapi, yang saya benci ketika itu ialah emboutaillage (kesesakan lalu lintas)," kata Daffour.

Selain berkereta sendiri, penghuni Sanary lebih gemar berjalan kaki, apatah lagi mereka menganggap hanya orang kaya mampu menaiki teksi, berikutan tambang yang dikenakan agak tinggi.

Bagi mereka yang meminati keindahan hidupan air, Pantai Du Brusq berdekatan Sanary menyediakan khidmat Aquascope, kapal selam khas yang boleh memuatkan 50 penumpang. Sesiapa yang berpeluang menyelami dasar laut selama 35 minit bagaikan melawat dunia di bawah air atau akuarium dan sudah pasti terpegun melihat kecantikan semula jadi terumbu serta pelbagai jenis ikan yang menghuni Laut Mediterranean - semuanya dengan harga 70 francs (kira-kira RM35).

Aquascope berlepas sama ada dari Du Brusq atau Bandol setiap 45 minit dan menuju ke Iles Du Soleil (Pulau Matahari). Dalam kerancakan mengikuti kejohanan yang akhirnya dimenangi oleh Brazil, kami sempat bersiar-siar di Toulon, di samping membeli-belah di pasar Lafayette.

Beraneka jenis barangan boleh didapati di situ, daripada barangan dapur hinggalah kasut kulit berjenama berharga kira-kira 100 francs (kira-kira RM50). Anehnya, pasar itu yang lazimnya hingga tengah hari saja, dikelilingi gedung membeli-belah, termasuk Carrefour - seakan-akan memang sengaja memberi banyak pilihan kepada pengunjungnya.


4 comments:

Haresh Deol said...

That hairstyle of yours reminds me of Will Smith during his early days acting in Fresh Prince of Bel Air!

Anonymous said...

Haresh jealous... :)

akmanizal ismail said...

nazarudin zain sekarang berada di Jeli, Kelantan..menguruskan gelanggang futsal disana. ptg2 Says ajak bermain tenis

akmanizal ismail said...

nazarudin telah bersara dari bermain bolasepak...sekarang berada di jeli...Kelantan menguruskan sebuah gelanggang futsal disana...ptg2 duk main tenis dgn says di gelanngang. tenis mdj...