Thursday, March 21, 2013

Zam Zam, Meor dalam kenangan


Terserempak dengan Saufi dalam lif di Ampang Puteri, kami saling bertukar soalan ringkas. Masing-masing tergesa-gesa.

"Aku bawak orang rumah dialisis," katanya di saat pintu lif tingkat bawah hampir tertutup.

Menuju ke parkir, aku terlihat seorang wanita menunggu dalam kereta. Sekali imbas aku tidak perasan tetapi bila kian hampir, aku menegurnya.

"Assalamualaikum, Zam...apa khabar?" sapaku.

"Siapa ye?"

"Rizal, kawan Saufi dekat Berita Harian dulu..."

"Ah, sorry la tak nampak sangat," katanya.

Ku lihat tubuhnya yang dulu berisi sudah bertukar kurus.

Aku bertanya sedikit soalan mengenai rawatan alternatif untuk sakit buah pinggang, kerana Makcikku bergelut dengan dilema sama ada menjalani dialisis atau tidak.

Aku menceritakan tahap kreatinin dalam badannya melebihi 1,200...bacaan normal 64 hingga 122.

"Tinggi tu...elok buatlah dialisis...kalau apa-apa berlaku atau koma nanti susah, siapa yang nak bertanggungjawab," kata Zam.

"You makan ubat tak dari Beranang tu?"

"Taklah, I rasa panas...lagipun banyak ubat yang I makan," katanya.

Disebabkan orang rumah aku menunggu di lobi hospital, aku pun meminta diri.

Itu kali terakhir aku berbicara dengan Zam Zam Md Isa, bekas penerbit TV3 dan tenaga di sebalik tabir pelbagai program majalah stesen itu pada 1990-an.

Disebabkan aku mahu berkongsi maklumat mengenai dialisis dan penyakit buah pinggang, aku kerap bertukar mesej dengan Saufi. Sehinggalah dia memaklumkan kepada rakan-rakannya Zam Zam diletakkan di bawah unit rawatan rapi di Ampang Puteri selepas mengalami komplikasi berikutan pembedahan batu karang.

Kenduri nikah Saufi dan Zam Zam aku pergi...di Pantai Dalam pada 1995. Antara yang pergi seingat aku Rodly Fadly dan Veena Rusli . Saufi dan aku seangkatan dalam melangkah ke alam kewartawanan apabila kami terpilih menyertai kursus skim latihan kewartawanan NSTP atau dalam Bahasa Inggerisnya Pre-Editorial Training Scheme (PETS). Kami generasi keempat PETS yang diserapkan pada 1991.


Saufi dan Zam Zam bersama tiga puteri mereka. Gambar dipetik daripada FB Saufi

Saufi yang kini menjawat tugas penolong pengarang berita BH online, dari awal memang tampak yakin dan selalu tampil kemas dengan baju bercorak batik, menyebabkan kami memanggilnya Mat Belia. Ramai juga di kalangan kakitangan Berita Harian keliru antara aku, Saufi dan Munir Ana'am Zuljadan. Ketiga-tiga kami diserapkan ke meja sukan BH pada waktu yang sama, lebih kurang sebaya, segak dan kurus, dengan ukur lilit pinggang masing-masing tidak sampai 30 inci, tinggal lagi Munir paling cerah berbanding aku dan Saufi.

Aku dimaklumkan Zam Zam menghidap penyakit buah pinggang lebih lima tahun. Bagi senior/mentor/otai dan bekas pengarang Dunia Sukan Utusan Malaysia yang menjadi rakan setugas aku dan Saufi di meja sukan BH, Nasir Ahmad, Saufilah bapa, dialah ibu sejak Zam Zam bergelut dengan penyakitnya.

Kulihat dua lagi rakan PETSIV, Azizi Othman (Editor Eksekutif Projek Khas NSTP) dan Johari Ibrahim, antara yang bersolat Zohor dan diikuti solat jenazah di Masjid Al-Mukhlisin di Alam Damai, Cheras. Turut sama Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Azlan Abdullah serta rakan-rakan setugas Saufi termasuk Zainudin Isa, Wan Hazmir Bakar dan M. Thillinadan.

Turut mengiringi jenazah ke liang lahad pegawai eksekutif agama NSTP, Ustaz Zamanuddin Jusoh, yang pernah kupinta menunaikan solat hajat secara berjemaah di surau NSTP pada awal 2004, selain Wan Jailani Razak, Zulkofli Jamaluddin dan Sariha Mohd Ali, rakan-rakan aku ketika ditugaskan di meja berita pada 1996. Aku ditemani Rodly, yang juga berkesempatan melawat Allahyarhamah di ICU seminggu sebelum dia menyahut panggilan Ilahi.


Dari kiri Saufi, aku, Zian Johari, bekas pengarang sukan BH dan kemudian Pengarang Harian Metro yang kian dilupakan dan Rodly. Rodly tersenyum kerana aku buat lawak ketika Fadli, adik Saufi, memetik butang kamera. Dirakam di luar ICU Ampang Puteri, genap seminggu sebelum pemergian Zam Zam.

Keesokannya, aku dikejutkan dengan pesanan dalam Facebook.

Hasnita Shaari, rakan setugas di The Malay Mail, meninggalkan tag bahawa Meor Shariman Shafie, seorang lagi rakan seangkatan PETSIV, meninggal dunia.

Pernah aku meninggalkan komen di dinding FBnya agar berusaha dan bertawakkal serta tabah menghadapi ujian Allah.


Meor (depan, kiri baju putih) bersama anggota editorial Malay Mail, antaranya Johnson Fernandez (depan, baju biru), Yushaimi Yahaya, Zainal Alam Kadir, Chan Wai Kong, Graig Nunis, Badrolhisham Bidin dan Muzli Mohd Zin serta Datuk Ahirudin Attan atau Rocky, kini blogger sosio-politik yang berpengaruh. Nampak tak aku?

Selain menjadi penulis hiburan yang disegani, Meor dikurniakan bakat menulis skrip. Latar belakangnya sebagai penulis skrip mengagumkan. Klik di sinilaporan NST dan wawancara eksklusif dengan Meor.

Bertegur sapa, bergurau senda dan berkongsi idea adalah norma kehidupan buat rakan sepejabat. Lebih 20 tahun mengenali Meor dan secara lebih dekat apabila kami sama-sama sebumbung di Malay Mail, ada juga kesempatan aku bertanya mengenai kehidupan artis yang diurusnya.

Kita sedekahkan Al-Fatihah dan Al-Ikhlas buat Zam Zam dan Meor Shariman. Moga roh mereka damai di sana, di kalangan solehin dan solehah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin.

Bagi Saufi, semoga tabah membimbing tiga puteri.






2 comments:

Valarie said...

This is cool!

theprofessor said...

Just read this again. Didn't know that Meor was that good