Selongkar punya selongkar, rupa-rupanya Annuar bekas Menteri Belia dan Sukan. Patutlah macam familiar.
Check punya check, aku pernah menulis komentar bertajuk Pertelagahan Annuar, Hamzah jejaskan imej negara dalam kolum Kacamata sisipan Jaguh pada 1 Oktober 1992...hampir 20 tahun lalu...alamak, 20 tahun lalu aku menulis pasal Annuar Musa? Biar betul...
KETIKA negara membuat persiapan menganjurkan Sukan Komanwel pada 1998, dua tokoh paling penting ke arah menjayakan temasya itu, bertelagah sesama sendiri, sedangkan mereka adalah pengerusi bersama Sukan Komanwel Sdn Bhd (Sukom).
Namun, daripada berganding tangan, jelas Menteri Belia dan Sukan, Senator Annuar Musa, dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (Mom), Tan Sri Hamzah Abu Samah, bergesel bahu menonjolkan kuasa masing-masing.
Percakaran itu menyebabkan Sukom, yang ditubuhkan untuk mengendali dan melicinkan penganjuran, seakan tempang sebelum pandai berjalan.
Berdasarkan laporan akhbar, kedua-duanya bertindak menyangkal kenyataan.
Hamzah mendakwa Annuar membelakangkan perlembagaan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dengan mengemukakan senarai lembaga pengarah Sukom tanpa persetujuannya.
Annuar pula menjawab semuanya dibentangkan dengan persetujuan Hamzah. Lantas, percanggahan itu mencetuskan kekeliruan dan lebih perit, menjejaskan imej negara.
Selepas berhempas-pulas memancing undi Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dan akhirnya tersenyum puas diberi penghormatan menjadi tuan rumah, pertelingkahan terbaru ini cuma membuat badan itu berfikir dua kali sama ada undian Julai lalu tepat atau tidak.
Sebagai negara membangun, pemimpinnya juga perlu memupuk semangat dan pemikiran membangun.
Jika asyik bercanggah pendapat, semua tugas tidak jadi.
Bayangkan media luar yang memang kerap mengambil kesempatan menggembar-gemburkan pertelingkahan sekecil mana pun.
Berita ini pasti tersebar ke seluruh gagasan Komanwel dan memburukkan nama negara.
Seteru dalam mengejar hak penganjuran tempoh hari, Adelaide, pasti ketawa jika mendapat tahu wujudnya pergeseran di antara pengerusi bersama yang sepatutnya bakal memastikan temasya dikendalikan dengan lancar.
Namun, apa yang penting, hak penganjuran itu tetap di tangan. Mengikut perlembagaan CGF, tugas mengendalikan temasya dipikul oleh Persatuan Sukan Komanwel (jika tiada, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan).
Dalam hal ini, Mom bertanggungjawab menyusun struktur dan membuat setiap keputusan, daripada perlantikan lembaga pengarah Sukom kepada kaedah pemasaran temasya.
Sememangnya, kita kena hormat peraturan. Namun, apakah tujuan sebenar Mom membidas Annuar? Mungkinkah kerana ketiadaan nama beberapa orang kuatnya dalam senarai lembaga pengarah Sukom yang Annuar kemukakan, sedangkan mereka turut terbang ke sana ke mari untuk melobi?
Sewajarnya, Mom jangan lupa di sebalik perlembagaan yang mengikat setiap tindakan, kerajaan berfungsi penting kerana bertanggungjawab menyusun infrastruktur seluruh negara, termasuk di segi pentadbiran dan pembinaan kemudahan seperti stadium.
Sementara Mom cuma mencari jalan menentukan corak penganjuran dan temasya itu, serta memastikan pengendalian acara dan kategori sukan dilaksanakan tanpa masalah.
Biarkan Mom dengan diterajui Hamzah, menjalankan tugasnya, manakala Annuar mendokong watak wakil kerajaan dan memberi nasihat di segi kepentingan kerajaan.
Annuar sudah melakukan paling optimum dalam usaha menterjemahkan impian menganjurkan temasya itu kepada satu kenyataan. Kewibawaannya sudah terbukti kerana beliau adalah antara penyumbang utama usaha negara menjadi penganjur.
Sebagai tokoh yang sudah melalui asam garam kehidupan, termasuk arena sukan tempatan dan antarabangsa, Hamzah pula memang layak memimpin meskipun kadangkala diulit kontroversi.
Yang jelas, kerajaan menerusi Annuar dan Mom saling memerlukan. Tanpa kerjasama kedua-duanya, sukar menjayakan sebarang kejohanan besar seperti Sukan Komanwel.
Tanpa kerjasama kedua-duanya juga, hasrat menganjurkan temasya paling agung, Sukan Olimpik pasti terkubur, sedangkan Annuar sudah menyatakan kesediaan Malaysia berbuat demikian menjelang 2020.
Paling penting, nama baik negara wajib dijaga, khususnya apabila membabitkan negara asing dan jalinan antarabangsa.
Selongkar punya selongkar, Annuar pernah ambil mentor aku di Berita Harian, Rahime Yusoff, sebagai setiausaha akhbarnya. Oh patutlah familiar.
Check punya check, lah aku pernah tulis pasal Annuar...cuba klik Alahai Annuar Musa dan Tidak ada sebab Annuar Musa tak puas hati. Yang paling mengundang kemarahan peminat dari Kelantan kononnya aku derhaka kepada Al-Sultan Kelantan...kerana Annuar membaca satu perenggan dari surat terbuka aku kepada FAM tanpa membaca surat itu secara keseluruhan lalu diuar-uarkan dalam facebooknya. Aku didesak oleh pelbagai kumpulan untuk memohon maaf. Hingga ada page Anti Rizal Hashim di sini. Tapi generasi Y dan Z tidak didedahkan dengan perspektif yang berbeza. Cuba baca pandangan blogger Kelantan dan blog politik kisah derhaka April 1993
Cukup hebat penangan daripada seasoned politician ini! Maklumlah, dia hebat berpidato dan pakar strategi.
Isu terbaru meletup apabila Annuar "bubuh" Rajagobal tanpa sebut nama dia pun...hehehe, disiarkan oleh Nadi Arena pada Selasa lalu, diikuti Info Sukan TV1 keesokannya. Astro Awani pun tanya pendapat aku...apakah wajar media dipersalahkan...
Kalau dari segi etika, bagi aku yang simplistic dan kurang cerdik ini, kenyataan Annuar menyalahi semangat kekeluargaan dalam FAM (kalau ada semangat begitulah). Macam mana Annuar dok mengadu kepada Ahmad Khawari Isa yang aku bukan saja melanggar etika kewartawanan bahkan mencabar kewibawaannya (fuh, rupa-rupanya pemimpin sukan kita tidak boleh dicabar kewibawaan mereka...patutlah aku diam menikus apabila berdepan Azalina Othman Said dulu kah kah kah)...
Kalau dari segi point yang cuba disampaikan oleh Annuar, aku setuju 100 peratus...kerana aku pun pernah mempertikaikan strategi dan pemilihan Rajagobal. Tapi aku pemerhati dari luar...tidak memegang jawatan dalam FAM, dalam mana-mana persatuan peringkat kelab, kampung, mukim, jajahan mahupun daerah apa lagi negeri. Tidak ada pengaruh, tidak ada kuasa. Tidak ada access dalam mesyuarat untuk berhujah, berdebat dan mempersoal dasar-dasar FAM dari dalam. Tetapi Annuar ada access, boleh SMS Tuanku dan boleh call bila-bila...lepas tu, tidak gentleman lah selepas mengeluarkan kenyataan, tiba-tiba media pula dipersalahkan cuba memanipulasi kenyataan.
Sebenarnya isu ini tidak akan meletup jika Annuar mengeluarkan kenyataan atau rasa tidak puas hati dalam mesyuarat dalaman FAM. Tapi kalau nampak cara-cara sekarang ini, macam nak political mileage atau publisiti murahan...hahahah macam ramai penyokong Kelantan tuduh aku nak publisiti murahan dulu...
Bacalah kolum aku dalam goal.com di sini. Sudahnya, Rajagobal harus terbuka kepada kritikan. Annuar pula kritik dari dalam, kalau tidak mahu dituduh cuci kain kotor depan orang ramai atau, dengan izin, dalam bahasa Inggeris washing dirty linen in public.
198 comments:
Post a Comment